Saturday, October 25, 2008

ANALISIS PERGOLAKAN POLITIK THAILAND

oleh: hilman idham (promega44@gmail.com)
PENDAHULUAN

Penulisan ini akan berkisar mengenai pergolakan politik yang berlaku di Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pergolakan yang akan dikaji adalah mengenai situasi politik yang melibatkan Perdana Menteri Thailand pada masa ini. Kajian akan dimulakan dengan bermula sewaktu kerajaan Thaksin Shinawatra digulingkan oleh Tentera Diraja Thailand sehingga situasi yang berlaku pada hari ini. Fokus utama adalah mengenai kes Samak Sundaravej yakni Perdana Menteri Thailand yang dipilih oleh rakyat Thailand bagi menggantikan Thaksin selepas rampasan kuasa berlaku. Penulisan ini akan bermula dengan sedikit latar belakang kepimpinan Thaksin dan Samak. Bagi skop dan perbincangan dalam esei ini pula akan merangkumi pelbagai perspektif dengan melihat beberapa situasi dan kejadian yang berlaku semasa pemerintahan Samak dan masalah-masalah yang dihadapinya. Selain itu, penulisan juga akan mengambil kira perspektif penunjuk perasaan bagi penghuraian secara lebih kritikal. Pada akhir penulisan, beberapa jalan penyelesaian akan ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah pergolakan yang kian meruncing. Jalan penyelesaian yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian penulis terhadap kejadian yang berlaku dan juga keadaan politik serta situasi semasa.


THAKSIN SHINAWATRA

Thaksin Shinawatra merupakan pengasas bagi Parti Thai Rak Thai iaitu sebuah parti tunggal yang pertama memenangi pilihanraya Thailand. Beliau menjadi Perdana Menteri Thailand bermula pada tahun 2001 setelah memenangi pilihanraya. Selain menjadi seorang ahli politik, Thaksin juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya yang membina empayar perniagaan dan politik yang kukuh di Thailand. Beliau mempunyai pengaruh yang besar dikalangan rakyat Thailand terutama di kawasan luar Bandar.

Pada 19 September 2006, rampasan kuasa telah berlaku dimana pemerintahan Thaksin digulingkan oleh Tentera Diraja Thailand. Kejadian yang berlaku adalah disebabkan beberapa perkara yang berlaku semasa pemerintahan Thaksin. Beliau dilihat mengamalkan pentadbiran ‘ala CEO’ di mana banyak keputusan diputuskan oleh keuntungan wang ringgit tanpa mempedulikan maruah negara dan nyawa rakyat.

Thaksin dilihat mengamalkan kronisme dalam pentadbirannya. Ramai sanak saudara dan rakan sekolahannya dilantik dalam pasukan tentera, polis dan perniagaan. Natijahnya rakyat di kota dan bandar Bangkok telah hilang kepercayaan kepadanya. Namun sebaliknya, penduduk luar bandar masih menyukai beliau kerana banyak menabur wang terutama untuk pembangunan luar bandar. Sistem demokrasi yang subur pula tidak wujud dalam tempoh lima tahun pemerintahan Thaksin. Hal ini kerana, beliau menggunakan pendekatan menyekat kebebasan media dan juga menutup mulut pembangkang daripada menyuarakan kritikan terhadap pemerintahan beliau.

Pergolakan politik di Thailand benar-benar serius sebaik sahaja peristiwa pembunuhan banyak berlaku di selatan Thailand. Selatan Thailand yang meliputi Yala, Pattani dan Narathiwat seringkali bermandikan darah sepanjang 5 tahun Thaksin berkuasa. Thaksin juga telah melakukan beberapa perkara lain yang mencetuskan kemarahan rakyat dan memalukan pihak istana. Akhirnya, pihak tentera diraja Thailand mengadakan rampasan kuasa pada 19 September 2006 kerana situasi dan keadaan politik Thailand yang semakin meruncing. Walau bagaimanapun, Surayud Chulalont yang memimpin rampasan kuasa ke atas pentadbiran Thaksin telah berjanji bahawa junta tentera akan memulangkan kuasa pemerintahan kepada tangan rakyat melalui pilihan raya yang akan dijalankan pada penghujung 2007.


SAMAK SUNDARAVEJ DAN KEPIMPINANNYA

Nama Samak Sundaravej bukanlah nama asing dalam politik Thailand. Samak merupakan antara politikus yang telah lama bertapak dan memegang pengaruh yang besar dalam politik Thailand yakni sejak tahun 1968. Selain itu, Samak juga merupakan seorang tukang masak televisyen yang terkenal dan telah mengacarakan rancangan itu selama tujuh tahun sebelum beliau dipilih menjadi Perdana Menteri.

Selepas rampasan kuasa oleh tentera diraja Thailand, Samak yang memimpin Parti Kuasa Rakyat (PPP) telah memenangi pilihanraya Thailand dengan menewaskan Parti Demokrat pada 23 Disember 2007. Beliau memenangi pilihanraya tersebut dengan cara menarik beberapa orang pemimpin utama daripada Parti Thai Rak Thai yang telah diharamkan oleh Mahkamah Agung Thailand untuk bertanding atas tiket PPP (The Nation, 2007). Strategi Samak ini ternyata berhasil apabila memenangi pilihan raya tersebut dan Samak dipilih menjadi Perdana Menteri Thailand selepas mendapat undian tertinggi dalam undian di parlimen pada 28 Januari 2008 dengan menewaskan calon dari Parti Demokrat, Abvisit Vejjejava. Samak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 6 Febuari bersama-sama barisan kabinetnya setelah mendapat restu daripada Raja Bhumipol Adulyadej.

Sepanjang pentadbirannya, kepimpinan Samak dibayangi pemerintahan Thaksin dan mengalami masalah kepimpinan. Pentadbirannya tidak menunjukkan banyak perubahan yang dibawa sebaliknya dilihat begitu lemah dengan pelbagai masalah yang rumit. Samak masih tetap dengan kebanyakan dasar-dasar Thaksin yang diselubungi masalah korupsi, penyelewengan kuasa, dan cengkaman terhadap hak asasi manusia serta kebebasan media. Samak juga dilihat gagal dalam menangani peristiwa perbalahan dengan kerajaan Cambodia. Perbalahan yang berlaku disebabkan oleh perebutan hak milik Kuil Preah Vihear dan masalah persempadanan negara (Head, 2008). Kesemua masalah ini menjadi antara punca ketidakstabilan kepimpinan Samak lantas menjadikan pimpinannya lemah. Selain itu, menurut pensyarah kanan Program Pengajian Hubungan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Ruhanas Harun, Samak juga berdepan dengan penentangan di kalangan kumpulan politik elit yang turut ingin menjatuhkan beliau (Utusan Malaysia, 4 September 2008).


PERGOLAKAN POLITIK DAN TUNJUK PERASAAN

Pergolakan politik yang berlaku di Thailand merupakan keadaan dan situasi yang berlarutan sejak zaman pentadbiran Thaksin. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, keadaan menjadi semakin rumit dan membimbangkan. Samak Sundaravej yang merupakan pengganti Thaksin sebagai Perdana Menteri turut menjadi korban kemelut yang bagai tiada penghujungnya. Beliau yang memenangi pilihanraya dan kemudian mempertahankan diri dan jawatannya daripada desakan rakyat untuk berundur akhirnya akur dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand apabila diputuskan untuk beliau meletakkan jawatannya.

Pergolakan politik di Thailand berlaku adalah disebabkan demonstrasi dan tunjuk perasaan yang dilancarkan oleh rakyat atas pimpinan parti pembangkang yang semestinya mendesak agar kerajaan dijatuhkan. Kemelut politik melalui tunjuk perasaan yang melanda kepimpinan Samak dilihat begitu menonjol. Tunjuk perasaan dan demonstrasi yang berlaku adalah di atas beberapa perkara dan situasi yang berlaku sejak Samak mengambil tampuk kepimpinan di Thailand.

Tunjuk perasaan yang berlaku di zaman pentadbiran Samak bermula sejak Mei lalu dan di gerakkan oleh Parti Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD). Beribu-ribu penyokong PAD berarak dan turun di jalan raya bagi menyatakan desakan mereka ke atas Samak. Gesaan yang mereka lakukan adalah menuntut Samak dan kabinetnya berundur dan PAD mempertaruhkan masa depannya dengan penuh keyakinan bahawa pentadbiran Samak akan tumbang dengan tindakannya itu. Sambil menyatakan bahawa himpunan rakyat sebagai ‘usaha terakhir’, seorang pemimpin PAD, Sondhi Limthongkul juga berkata: “ Jika kami gagal kali ini, kami akan berhenti dan menyerahkan negara kepada mereka”.

Tunjuk perasaan berlaku adalah atas tuduhan bahawa Samak mentadbir negara bagi pihak Thaksin, yang disingkir tentera dalam rampasan kuasa 2006. Samak dilabel oleh parti pembangkang ini sebagai proksi kepada Thaksin kerana di bawah pemerintahannya, Samak tetap meneruskan agenda dan dasar yang dibawa oleh Thaksin dan pentadbirannya (Berita Harian, 27 Ogos 2008). Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Thaksin terutama yang pro Amerika Syarikat dilihat menjadi punca Samak dituduh menjadi proksi kepada Thaksin selain tidak mengubah dasar ekonomi yang hanya mementingkan keuntungan wang ringgit berbanding rakyat. Samak juga merupakan calon PPP yang mendapat sokongan kuat daripada Thaksin dengan beberapa orang pemimpin Parti Thai Rak Thai pimpinan Thaksin terdahulu telah mengisytiharkan untuk menyertai pilihan raya dengan menggunakan platform PPP (Head, 2008).

Selain itu, Samak juga dilihat cuba mempertahankan Thaksin dan keluarganya daripada tindakan undang-undang semasa perbicaraan terhadap Thaksin sedang berjalan. Thaksin dan isterinya telah melarikan diri mereka ke England dan memohon suaka politik disana. Pada ketika itu, Mahkamah Perlembagaan telah mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Thaksin dan isterinya kerana gagal hadir ke Mahkamah. Namun begitu, Samak menyatakan beliau tidak berhasrat untuk meminta kerajaan Britain mengesktradisi bekas Perdana Menteri Thailand itu dan beliau juga tidak bercadang untuk membatalkan pasport diplomatiknya walaupun mendapat gesaan daripada rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di hadapan Kementerian Luar Thailand (Kosmo, 23 Ogos 2008). Kemuncak penentangan terhadap isu ini dilihat ketika Samak mengumumkan kebenaran pulang Thaksin ke Thailand dengan jaminan semua sekatan politik ke atasnya akan dimansuhkan (Utusan Malaysia, 4 September 2008).

Dalam hal ini, kita melihat bahawa penunjuk perasaan membawa desakan ke arah perubahan dasar-dasar kerajaan yang dibawa oleh Thaksin. Tentangan melalui tunjuk perasaan ini dilihat menolak segala bayangan Thaksin dalam pentadbiran secara total. Mereka juga turut memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan media. Perkara ini berikutan kepimpinan Samak yang masih gagal menyelesaikan isu Selatan Thai dan juga media yang masih lagi dicengkam oleh kerajaan sebagaimana yang dilakukan semasa Thaksin berkuasa. Samak juga dikatakan tidak mengambil serius dalam menangani masalah ekonomi Thailand yang kian meruncing dan hal ini menyebabkan rakyat semakin menolak kepimpinan Samak (Mydans, 2007).

Walau bagaimanapun, pendirian yang diambil Samak untuk terus bertahan dilihat menyebabkan pentadbirannya kelihatan terancam dengan demonstrasi dan tunjuk perasaan yang menyebabkan pergolakan politik menjadi semakin rumit. Tentera Diraja Thailand juga didesak oleh rakyat untuk membuat rampasan kuasa sekali seperti mana yang dilakukan terhadap Thaksin. Walau bagaimanapun, ketua pemerintah tentera, Jeneral Anupong Paochinda menyatakan pendirian bahawa tiada rampasan kuasa akan berlaku lagi. Menurut beliau lagi, krisis politik harus diselesaikan menurut cara politik dan rampasan kuasa akan memberi akibat yang negatif terhadap ekonomi dan hanya mengeruhkan lagi keadaan (Bangkok Post, 4 September 2008).

Pada 18 Jun 2008, Parti Demokrat yang dipimpin oleh Sathit Wongnongtoei meyerahkan usul celaan terhadap kepimpinan Samak dan tujuh orang menteri kabinetnya kepada Timbalan Speaker di parlimen. Mereka berhasrat menjatuhkan kepimpinan Samak berdasarkan keadaan dan situasi pergolakan poltik di Thailand yang kian teruk dengan diselubungi oleh tunjuk perasaan oleh penyokong PAD. Perbahasan diadakan pada 28 Jun dan berlangsung selama tiga hari dan di akhiri dengan undi tidak percaya. Seperti yang dijangkakan oleh Abvisit Vejjejava, Samak terus mendapat mandat setelah mengatasi undi tidak percaya. Samak meraih sebanyak 280 undi percaya daripada 442 ahli yang hadir sementara undi tidak percaya hanya sebanyak 162 undi.


KRISIS POLITIK 2008 DAN KEJATUHAN SAMAK

Tunjuk perasaan dan kempen-kempen menggesa perletakan jawatan Samak kian hebat. Walau bagaimanapun, Samak tetap tekad dengan pendiriannya bahawa dia tidak akan tunduk dengan gesaan pembangkang dan akan mengadap Raja Bhumipol Adulyadej untuk melaporkan hal semasa.

Krisis politik di Thailand bertambah buruk apabila hampir 30,000 penunjuk perasaan menceroboh halaman Rumah Kerajaan Samak di Bangkok dengan memaksa Samak dan penasihatnya meletakkan jawatan secepat mungkin. Namun begitu, polis rusuhan Thailand berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir penunjuk perasaan. Tunjuk perasaan yang berlaku juga menyebabkan 35 perjalanan keretapi ke wilayah-wilayah lain terjejas juga 118 penerbangan ditunda. Hal ini menyebabkan polis Thailand mengeluarkan waran tangkap ke atas Sondhi Limthongkul dan lapan pemimpin gerakan yang lain atas tuduhan mendesak, merancang konspirasi dan ingkar arahan bersurai daripada perhimpunan haram.

Pada 2 September 2008, Samak mengisytiharkan darurat berikutan pertumpahan darah telah berlaku dan keadaan yang kian serius (Bangkok Post, 2 September 2008). Pada masa yang sama, usaha pembangkang untuk menjatuhkan Samak masih dijalankan. Samak kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Perlembagaan Thailand atas aduan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand dan para Senator. Mereka membuat aduan kepada Mahkamah Perlembagaan dengan alasan bahawa seorang Perdana Menteri tidak boleh bekerja dengan mana-mana syarikat swasta menurut perlembagaan. Selain itu, Samak juga didakwa atas tiga tuduhan rasuah dan penyelewengan.

Akhirnya, pada 9 September 2008, Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan bahawa Samak dan kabinetnya mesti meletakkan jawatan atas sebab muncul dalam rancangan masakan. Mahkamah Perlembagaan Thailand dengan itu bersetuju bahawa Samak telah mencabuli peruntukan Perlembagaan Thailand menurut Artikel 267 (Bangkok Post, 9 September 2008). Walau bagaimanapun, Parti PPP masih lagi bercadang untuk melantik semula Samak sebagai Perdana Menteri Thailand berdasarkan undian di Parlimen yang akan dijalankan nanti.


SOMCHAI WONGSAWAT DAN PERGOLAKAN YANG BERTERUSAN

Samak yang akur dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand meletakkan jawatan bersama-sama keseluruhan kabinetnya. Selepas Samak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand, kepimpinan PPP secara majoritinya bersetuju untuk memilih Samak sekali lagi sebagai Perdana Menteri melalui undian di Parlimen. Samak juga kelihatan bersungguh-sungguh untuk kembali ke posisi atas dalam pentadbiran negara itu.

Namun begitu, masalah tunjuk perasaan dan pergolakan yang masih lagi berlaku menyebabkan Samak bertukar pendirian. Samak mengambil keputusan untuk tidak kembali mempertahankan jawatan tertinggi dalam pentadbiran itu. Hal ini kerana, Samak turut mengalami masalah-masalah lain yang akan menyebabkan beliau gagal menjalankan tugas dengan baik. Sebagai contoh, Samak tidak mempunyai persefahaman yang baik dengan ketenteraan di Thailand dan hal ini menyebabkan tentera sukar memberikan kerjasama dengan kerajaannya sepertimana yang berlaku ketika pengumuman darurat di Bangkok yang dibuat oleh Samak ( Bangkok Post, 14 September 2008).

Selain itu, Samak juga mengalami tekanan daripada 4 buah parti komponen PPP yang tidak ingin menyertai persidangan bagi memilih Perdana Menteri yang baru sekiranya Samak tetap mahu kembali merebut jawatan tersebut. Bagi Samak, jalan penyelesaian yang terbaik ialah untuk tidak kembali merebut jawatan itu. Kemudian, pemimpin dan rakan kerajaan campuran PPP mencalonkan telah mencalonkan Somchai Wongsawat sebagai calon Perdana Menteri Thailand. Sokongan dan kekuatan PPP di parlimen masih lagi jelas kelihatan. Somchai Wongsawat akhirnya dipilih sebagai Perdana Menteri yang baru bagi menggantikan Samak ( Pracha Hariraksapitak, 2008).

Walau bagaimanapun, masih lagi tiada jalan penyelesaian yang kelihatan dengan keputusan Somchai Wongsawat sebagai Perdana Menteri yang baru. Hal ini kerana, demonstrasi dan tunjuk perasaan terus berlaku dan ini benar-benar menggugat kestabilan politik Thailand. Perlantikan Somchai juga mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada penyokong pembangkang atas alasan Somchai juga adalah proksi kepada Thaksin Shinawatra. Mereka berhujah bahawa Somchai adalah proksi Thaksin berikutan pertalian kekeluargaan dengan Thaksin. Somchai merupakan abang ipar Thaksin dan hal ini menjadikan pergolakan kian berlarutan. Namun pada hari ini, Somchai dilihat tetap dengan pendirian untuk mempertahankan jawatan dengan tidak mengambil kira desakan daripada rakyat dan penunjuk perasaan.


KESIMPULAN

Keadaan politik di Thailand memperlihatkan bahawa negara tersebut masih belum mencapai kestabilan politik walaupun telah berlaku pertukaran Perdana Menteri beberapa kali. Desakan rakyat dilihat begitu kuat dengan demonstrasi dan tunjuk perasaan yang berlanjutan hingga ke hari ini. Melalui kronologi penceritaan dan pemerhatian yang dilakukan, Thaksin adalah kunci utama permasalahan. Bermula dengan pentadbirannya yang bermasalah dengan unsur-unsur kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya sehinggalah rampasan kuasa berlaku, masalah ini dilihat merebak kepada Samak yang menjadi Perdana Menteri selepas itu.

Samak turut dituduh menjadi proksi Thaksin. Dasar-dasar kerajaan yang pro-Amerika yakni yang diperkenalkan oleh Thaksin, yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kebajikan rakyat juga terus menjadi celaan rakyat kepada pentadbirannya. Hal ini kemudian berlanjutan lagi kepada pentadbiran Somchai yakni pengganti Samak yang telah meletakkan jawatannya atas arahan Mahkamah Perlembagaan. Kedua-dua mereka ini dituduh menjadi proksi kepada Thaksin lantas hal ini secara jelas membuktikan bahawa Thaksin adalah musuh sebenar rakyat yang melakukan tunjuk perasaan. Perkara inilah yang kemudiannya menjadi sandaran harapan pembangkang untuk membawa satu dimensi baru kepada rakyat Thailand.

Secara rumusannya dapat kita huraikan bahawa pergolakan politik yang berlaku di Thailand adalah disebabkan tuntutan dan desakan rakyat yang masih tidak lagi berpenghujung. Perubahan dasar kerajaan atau reformasi secara besar-besaran mungkin boleh diambil demi untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada. Sekiranya reformasi ini tidak dilakukan, maka tanggapan umum masyarakat dan rakyat masih tidak akan berubah dengan hamburan tuduhan dan desakan yang pastinya tidak akan menyelesaikan permasalahan. Maka, kerajaan seharusnya menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan masalah yang menyelubungi kerajaan sendiri dengan kedudukan Perdana Menteri Somchai yang tidak stabil akibat desakan rakyat.

Wednesday, October 22, 2008

HUBUNGAN MARXISM DAN KOMUNISME

oleh: hilman idham (promega44@gmail.com)
PENDAHULUAN

Teori Maxism dan komunisme seringkali dikaitkan bersama dalam setiap aspek dan perspektif. Hal ini menyebabkan ianya kelihatan tiada perbezaan jika dilihat sekali imbas sahaja. Namun begitu, adakah ia benar-benar tiada perbezaan? Penulisan ini akan menjelas dan menghuraikan persoalan ini secara teliti. Skop bagi kajian mengenai persoalan ini akan diteliti melalui semua aspek.dengan mengambil kira pengasas kepada teori ini sendiri, asal-usul, perkara-perkara yang menyumbang kepada penghasilannya dan banyak lagi. Di akhir penulisan ini, akan diketengahkan pula mengenai persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam perbandingan kedua-dua teori ini. Segala persoalan yang dikemukakan akan dijawab melalui penulisan ini dan diharapkan agar ianya dapat membantu menghuraikan segala permasalahan mengenai kedua-dua teori ini.


PENGENALAN KEPADA KARL MARX

Karl Marx dilahirkan pada 5hb Mei 1818 di Trier, Jerman. Seorang yang berasal dari keluarga kelas menengah yang berketurunan Yahudi tetapi yang telah memeluk agama Protestan (Anderson, 1981). Marx mendapat didikan dalam bidang sejarah, undang-undang dan filsafat dan memperoleh gelaran doktor falsafah pada 1841 di Jena (Deliar Noer, 1996).

Karl Marx berkahwin dengan seorang wanita yang berasal dari golongan bangsawan. Wanita ini amat setia sebagai teman hidupnya walaupun Marx hidup bertahun lamanya di dalam buangan. Ini semua adalah disebabkan oleh perjuangan Marx yang memperjuangkan nasib golongan pekerja yang seringkali ditindas oleh golongan majikan. Marx ketika itu juga hidup dalam keadaan susah dan miskin (Anderson, 1981).

Marx mempunyai seorang sahabat bernama Friedrich Engels. Engels dilahirkan pada tahun 1820 dan berasal daripada golongan bangsawan. Beliau adalah anak kepada pengusaha tekstil yang kaya dan beliau mewarisi perniagaan itu dengan menjadi wakil bapanya di pusat industri tekstil yang bergerak di Manchester (Deliar Noer, 1996). Engels adalah seorang teman yang baik dan amat setia kepada Marx. Kelebihan kehidupan Engels yang lebih baik memberinya peluang untuk mendapat lebih banyak bahan-bahan tulisan dan ajaran Marx yang dimuatkan dalam perpustakaan di London. Engels juga berkelebihan kerana dia dapat memerhatikan sendiri keadaan golongan pekerja yang amat menyedihkan pada waktu itu lantas dia turut menyumbangkan idea-ideanya kepada Marx untuk dimuatkan dalam penulisannya.


PENCETUS IDEA MARXISM

Antara filasuf dan pemikir yang banyak mempengaruhi idea pemikiran Marx dan teori Marxism ialah George Wilhelm Federick Hegel dan Ludwig Feurbach. Hegel memperkenalkan kaedah analisis dialektik beliau manakala Feurbach pula adalah orang yang mempengaruhi perkembangan idea teori materialisme Marx.

Teori Marxism bermula dengan pengaruh perkara yang disebutkan diatas. Melalui dua perkara ini, kita dapat melihat dengan lebih jelas perkembangan ideologi Marx dengan teori Marxism dan bagaimana ia mampu dijanakan sehingga tercetusnya ideologi komunisme.

Kaedah analisis dialektik merupakan satu konsep asas yang memperlihatkan bagaimana kelahiran idea baru itu berlaku. Kelahiran idea baru ini tercetus apabila muncul suatu penentangan terhadap idea-idea asal. Hal ini memperlihatkan bahawa tiada perkara yang kekal dan tetap. Semua perubahan yang berlaku adalah hasil daripada perkara-perkara yang bercanggah dan kontra kepada idea asal.

Untuk mempermudahkan idea kaedah analisis ini, terdapat tiga perkara yang penting menurut kaedah ini iaitu tesis, anti-tesis dan yang terakhir sintesis. Idea ini akan dapat diperkembangkan dengan lebih jelas sekiranya kita dapat memahami dan menguasai maksud dan perihal ketiga-tiga perkara yang dimaksudkan ini.
Tesis dapat kita analogikan sebagai suatu idea yang sedang digunakan menurut situasi dan keadaan semasa. Apabila wujudnya satu penentangan terhadap tesis atau lahirnya satu idea baru yang kontra dengan tesis yakni idea asal, maka akan lahir satu idea baru yang dapat kita analogikan juga sebagai anti-tesis. Anti-tesis adalah idea yang bercanggah dengan idea asal yakni tesis dan kelahiran idea baru bagi menggantikan tesis adalah sintesis.

Dalam konteks hari ini mungkin sintesis dapat kita faham dengan jelas sebagai pemulihan atau perubahan bagi menambah baik idea asal yang berkemungkinan sudah tidak relevan atau kurang relevan berdasarkan faktor-faktor tertentu seperti masa, situasi, keadaan semasa dan lain-lain. Maka apabila kita berbicara tentang suatu ketetapan atau perubahan dan mengapa semua itu berlaku, maka kaedah ini dapat menerangkan dan menghuraikan dengan lebih jelas tentang segala persoalan dan mengapa hal ini terjadi sedemikian rupa.

Walau bagaimanapun, Marx tidak menyatakan persetujuannya terhadap perkara ini dan menentangnya dalam penulisan beliau dan Engels (1975). Marx berfikiran bahawa idea bukanlah elemen yang mampu menggerakkan sejarah sebaliknya keadaan material atau mudahnya keadaan ekonomi manusia yang menggerakkannya.

Beralih pula kepada teori materialisme yang juga penggerak kepada idea Marx dan teori Marxism. Teori materialisme bukanlah teori yang merujuk kepada makna asal dan kontemporari meterialisme yang bermaksud ‘gila pada kebendaan’. Istilah yang sempit ini harus diperluaskan skopnya. Materialisme yang dimaksudkan ini merujuk kepada keadaan hidup seseorang dalam sesebuah masyarakat dengan kaitan material dalam ekonomi sebagai asas utama kehidupan bermasyarakat.

Dalam kehidupan seharian, masyarakat memerlukan sesuatu yang menjamin keselesaan hidup mereka yakni ekonomi yang bersumberkan materialisme. Hal ini dapat membantu mereka menguruskan kehidupan seharian dengan lebih baik. Engels sendiri mengakuinya semasa upacara pengebumian Marx dengan berkata “... Hakikatnya, manusia mesti makan, minum dan punyai tempat tinggal dan pakaian – dengan itu perlu bekerja – sebelum dia boleh berusaha kepada politik, sains, seni dan agama...” (Engels & Marx, 1975).

Menurut keadaan dan situasi ini, Marx dan Engels memahami bahawa masyarakat sebagai sesuatu yang pada asasnya bergantung dan ditentukan oleh keadaan materialisme atau ‘material conditions’. Maka hubungan yang dijalinkan antara sesama masyarakat ketika itu adalah berdasarkan situasi memenuhi kehendak masing-masing dari segi perkara dan keperluan asas (Engels & Marx, 1932).


TEORI MARXISM

Teori yang dihasilkan ini adalah berasal dari idea Merx dan Engels yang dimanifestasikan hasil daripada penulisan mereka. Menurut teori ini terdapat 4 perkara atau ciri-ciri asas yang perlu dikuasai. Asas-asas bagi teori inilah yang akan menerangkan idea sebenar perjuangan Marx dan Engels dan kesemua asas ini perlu di fahami dengan baik.

Asas atau ciri yang pertama ialah eksploitasi kelas. Menurut asas ini, kita diperlihatkan oleh Marx tentang bagaimana pengeksploitasian antara masyarakat atau kelas yang berbeza berlaku. Hal ini dilihat oleh Marx sebagai bibit utama bagi kapitalisme dan perdagangan bebas. Dalam kapitalisme, keuntungan para kapitalis dapat dikecapi dengan perbezaan antara hasil pengeluaran dengan kos pengeluaran yang merangkumi kos tenaga buruh.

Dalam konteks ini dapat diperlihatkan bahawa semakin rendah kos pengeluaran, semakin rendahlah kos tenaga buruh. Hal ini kerana, kapitalisme adalah berasaskan pembayaran yang diberi kepada pekerja yang mana nilainya adalah lebih rendah dari nilai barang yang dihasilkan. Perkara ini menunjukkan betapa rendahnya nilai manusia yang dikawal oleh segolongan yang berkepentingan dalam ekonomi dan kaya atau berkuasa.

Ciri yang kedua pula ialah berkenaan ‘base’ dan ‘superstructure’. ‘Base’ dan ‘superstructure’ ini adalah istilah yang digunakan untuk memahami suatu konsep kehidupan dalam masyarakat yang cuba digambarkan oleh Marx. Idea Marx ini juga cuba memberi gambaran bahawa terdapat kaitan antara dua entiti yang berbeza ini. Akan tetapi apakah takrifan sebenar ‘base’ dan ‘superstructure’ ini dan apakah hubungkaitnya?

‘Base’ menurut Marx adalah kesedaran masyarakat sosial terhadap sesuatu isu yang meliputi semua aspek kemanusian. ‘Superstructure’ pula menakrifkan suatu institusi yang wujud sama ada institusi politik mahupun perundangan. Teori Marxism ini memperlihatkan bagaimana kesedaran ini akan mewujudkan sebuah intitusi yang bergerak. Hal ini kerana, mereka melihat bahawa ‘base’ hanya sekadar organisasi sosial yang cuma mampu berfikir dan perubahan itu hanya dapat berlaku melalui sebuah badan yang berorganisasi yakni ‘superstructure’ atau institusi itu tadi.

Berdasarkan perkara ini, kita dapat mengetahui bahawa ‘base’ dan ‘superstructure’ ini saling bergantungan dalam aspek kehidupan seharian. Marx juga sering menggunakan contoh pengeluaran sesebuah produk dalam penghasilan sesebuah barangan asas. Namun begitu, perkara ini tetap sama dengan kedua-duanya saling bergantungan antara satu sama lain dalam mempelopori kehidupan.

Ciri seterusnya adalah berkenaan dengan kesedaran kelas atau ‘class consciousness’. Kesedaran kelas bermaksud kesedaran sesebuah masyarakat mengenai kepentingan diri dan masyarakat mereka dan juga disekeliling mereka. Kesedaran ini terbentuk dengan mereka mengetahui bahawa mereka adalah kalangan masyarakat yang berupaya dan mempunyai kapasiti dari segi tenaga dan bilangan bagi memperjuangkan segala kehendak mereka. Signifikannya, kesedaran kelas ini adalah asas yang paling penting untuk mencetus dan menjayakan sebuah revolusi.

Dalam konteks kehidupan masyarakat, pembahagian masyarakat kepada kelas-kelas sosial adalah berdasarkan tahap kekayaan atau kekukuhan ekonomi sahaja. Walau bagaimanapun, Marx berpendapat bahawa sesebuah kelas atau struktur sosial itu dapat dikelaskan dengan berdasarkan hubungan mereka dengan kaedah pengeluaran dan pembuatan. Hal ini menunjukkan bagaimana Marx melihat bahawa kelas itu mampu diubah atas dasar keupayaan, kapasiti atau bilangan majoriti dan ini mampu menggerakkan satu perubahan struktur masyarakat dan ini yang cuba dijelaskan bahawa revolusi boleh berlaku dengan timbulnya kesedaran kelas.

Ciri yang terakhir bagi teori Marxism ini ialah kesedaran palsu masyarakat atau ‘false consciousness’. Dalam ‘The German Ideology’ karya Marx, beliau menghuraikan tentang kesedaran palsu dan bagaimana perkara ini diterapkan dalam masyarakat. Menurutnya, lapisan masyarakat ‘superstructure’ telah menggunakan kekayaan dan kekuasaan mereka untuk memberi kesedaran palsu kepada masyarakat. Istilah “carrot and stick” sangat sesuai untuk dijadikan analogi bagi situasi ini. Dengan cara ini, masyarakat bawahan digula-gulakan oleh golongan atasan tentang keadaan ekonomi, status kehidupan masyarakat dan lain-lain dengan menyembunyikan kebenaran sebenar.

Hanya dengan cara ini, masyarakat dapat ditenangkan supaya mereka merasakan bahawa pembangunan dan kesenangan dapat mereka kecapi melalui sistem kapitalisme walhal mereka mendapat keuntungan yang terlalu sedikit berbanding golongan yang mengula-gulakan mereka yakni golongan masyarakat ‘superstructure’. Golongan ini bertindak hanya untuk kepentingan individu dan masyarakat mereka dengan mengaut segala keuntungan yang ada. Bagi masyarakat yang kurang peka dan prihatin, inilah bahana yang sering menimpa mereka.

Melalui pendekatan teori ini, kita dapat mengetahui bahawa tujuan sebenar marx ialah untuk menyedarkan masyarakat yang terkongkong dan di eksploitasi berdasarkan kedudukan mereka. Marx membawa teori melalui kesemua ciri-ciri ini hanya dengan satu matlamat akhir yakni untuk membangkitkan kesedaran rakyat bawahan bahawa mereka sering ditindas oleh masyarakat atasan. Demikianlah juga dengan idea dan perjuangan Marx untuk menghapuskan kelas masyarakat dan membawa satu konsep kesamarataan.


KELAS SOSIAL MENURUT MARX

“... those individuals who sell their labour power, and who, in the capitalist mode of production, do not own the means of production...” (Engels & Marx 1848)

Kata-kata di atas adalah mengelasan yang dibuat oleh Marx untuk satu golongan yang dinamakan proletariat. Golongan ini adalah tulang belakang kepada sistem pengeluaran dalam ekonomi dan merupakan golongan majoriti. Hal ini kerana, mereka adalah golongan majoriti yang tidak mempunyai modal, kilang, alat-alat industri dan hanya merupakan buruh dalam sektor tersebut. Dalam sistem kapitalis, golongan ini sentiasa dieksploitasi oleh satu lagi golongan dengan pelbagai syarat-syarat tertentu.

“... those who own the means of production and buy labour power from the proletariat, thus exploiting the proletariat...” (Engels & Marx 1848)

Siapakah golongan yang menindas proletariat tadi? Menurut Marx seperti di atas, mereka ini boleh dikenali sebagai golongan bourgeoisie. Penjelasan di atas menghuraikan betapa golongan ini mengeksploitasi proletariat kerana mereka mempunyai modal, kilang serta jentera dan membeli tenaga buruh proletariat. Hal ini kerana proletariat adalah tidak berkemampuan dan oleh itu mereka dibeli oleh bourgeoisie untuk menjalankan proses pengeluaran.


TEORI KOMUNISME

Prinsip asas komunisme yang digariskan oleh Marx dan Engels (1969) mendefinisikan komunisme sebagai satu doktrin mengenai keadaan bagi kemerdekaan proletariat. Dalam konteks ini kita dapat menakrifkan bahawa komunisme adalah sebuah ideologi yang berfalsafahkan Marxism. Hal ini kerana, falsafah Marxism yang menzahirkan kesedaran asas untuk membentuk sebuah masyarakat sosialis bagi menggantikan kapitalis dengan membebaskan golongan proletariat.

Deliar Noer pula dalam karyanya ‘Pemikiran Politik di Negeri Barat’ pula memberi dua pengertian bagi komunisme. Menurutnya, komunisme yang pertama ialah berkenaan hubungan dengan penyatuan dasar bagi wilayah bagi negara yang berpemerintahan sendiri dengan negara itu sendiri adalah sebuah negara federal untuk wilayahnya. Keduanya, komunisme hanya merujuk kepada milik atau keperluan bersama.

Ideologi komunisme yang diasaskan oleh Marx dan Engels ini dikatakan bermula dengan penerapan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Russia pada November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain. Ideologi ini tidak begitu jelas tetapi terdapat beberapa ciri yang boleh digunakan hasil daripada analisis untuk merumus berkenaan teori ini.

Melihat daripada gerakan dan sejarah perjuangan ideologi komunisme, kita melihat bahawa terdapat ciri-ciri radikal yakni gerakan radikal yang berunsurkan kekerasan dan keganasan. Komunisme juga menolak sepenuhnya aspek keagamaan dengan tiada kepercayaan atau berfahaman atheism (free thinker). Pelaksanaan komunisme juga menunjukkan sifat kejam dan ianya berubah-ubah kepada beberapa bentuk rejim dan ia menolak kelas sosial secara total.

Idea komunisme jika dilihat dengan teliti adalah menjurus kepada sistem egalitarian yakni tanpa kerajaan, harta, dan kelas. Hal ini adalah untuk membentuk satu konsep kesamarataan dalam segala aspek. Komunisme memperjuangkan bahawa semua rakyat mempunyai hak yang sama dalam semua harta dan pengagihan ekonomi. Perkara ini bertujuan mencapai matlamat mereka untuk membawa kesejahteraan hidup dengan menghapuskan jurang kehidupan dalam masyarakat.





PERBANDINGAN ANTARA MARXISM DAN KOMUNISME

Secara umumnya, teori Marxism dan ideologi komunisme tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Komunisme adalah sekadar manifestasi kepada falsafah Marxism yang dizahirkan dalam bentuk gerakan. Maka demikianlah kita melihat komunisme menjalankan gerakan-gerakan yang bersifat radikal dan keras. Pada asalnya ideologi komunisme ini sememangnya menjurus kepada falsafah Marxism kerana diasaskan oleh filasuf yang sama iaitu Karl Marx. Namun begitu, selepas zaman Marx, ideologi komunisme dilihat mula di olah oleh kepimpinan mereka untuk disesuaikan mengikut keadaan semasa.

Melalui pelbagai perspektif yang diteliti, terdapat dua aspek yang dilihat berbeza dan bertentangan dengan idea asal Marx. Dua aspek ini ialah agama dan juga revolusi. Dengan mengambil sebuah negara komunis iaitu People’s Republic of China sebagai contoh, perbezaan dan perbandingan ini dapat dibuat dengan lebih baik dan jelas.

Negara ini di bawah pemerintahan Mao Zedong dilihat mengubah asas agama yang melingkari ideologi komunisme iaitu menolak aspek keagamaan secara total. Mao Zedong semasa pemerintahannya mengubah haluan ini dengan menerima agama conficionis ketika itu. Ini menunjukkan bahawa bagaimana beliau meraih sokongan rakyat bagi memberi keabsahan terhadap pemerintahannya. Mao Zedong mengubah aspek agama menjadi fleksibel kerana keadaan semasa yang sudah berubah dan rakyat mempunyai kepercayaan masing-masing.

Perbezaan yang kedua iaitu revolusi juga dapat diperlihatkan oleh negara China. Menurut falsafah Marx, revolusi yang bakal bangkit adalah di kalangan masyarakat kelas sedarhana atau proletariat. Hal ini yang difokuskan dalam asas atau ciri Marxism yang menekankan bagaimana proletariat yang ditindas, diberi kesedaran palsu dan sebagainya. Akan tetapi, hal yang sebaliknya berlaku di China apabila revolusi yang bangkit digerakkan oleh golongan petani. Maka, jangkaan bagi falsafah Marxism di China adalah meleset dengan kebangkitan golongan petani yang mempelopori kebangkitan revolusi.


KESIMPULAN

Teori Marxism yang dibentangkan oleh Marx dan Engels memperlihatkan bahawa ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kehidupan mereka. Kesemua ciri-ciri asas bagi Marxism menunjukkan bagaimana penindasan berlaku dan bagaimana ia memberi impak yang mendalam kepada golongan bawahan. Golongan masyarakat yang diperjuangkan oleh Marx dan segala apa yang diperjuangkan ini kemudiannya dizahirkan dalam bentuk perjuangan berideologi yakni komunisme. Falsafah Marxism lebih banyak mengutarakan hal-hal berkaitan kesedaran masyarakat pada dasar sahaja. Hanya melalui ideologi komunisme sahaja perlaksanaan itu dapat dilihat dengan jelas melalui gerakan-gerakan yang dipelopori oleh golongan mereka yang sedar.

Komunisme adalah manifestasi daripada falsafah Marxism dan hal ini menyebabkan kedua-duanya sama dari sudut dasar perjuangannya. Akan tetapi, perubahan yang berlaku terutama dari perspektif masa, situasi serta keadaan menyebabkan cara dan pendirian perjuangan berubah. Perjuangan komunisme yang asalnya hanya sekadar menzahirkan idea Marxism dilihat oleh penulis sebagai sebuah perjuangan yang fleksibel tanpa satu pendirian yang kukuh. Soal agama dan perubahan zaman menyebabkan perjuangan ini diolah oleh pemimpin gerakan semata-mata untuk menjayakan perjuangan mereka. Tujuan mereka lebih kepada bagaimana untuk menjayakan perjuangan dan mendapat sokongan rakyat. Hal ini menyebabkan terdapat sedikit perbezaan antara Marxism dan Komunisme.

Namun begitu, tidak semua ideologi komunisme yang di perjuangkan dalam bentuk gerakan mempunyai perbezaan dengan falsafah Marxism. Semua cara dan pendirian tentang perjuangan tertakluk kepada kuasa pemimpin mereka. Demikianlah yang berlaku jika kita melihat beberapa buah negara yang pernah mengaplikasikan ideologi komunisme dalam pentadbiran dan dasar kerajaan mereka. Secara kesimpulannya, ideologi Komunisme pada asalnya adalah menurut kepada falsafah Marxism secara keseluruhan. Namun begitu, perubahan-perubahan yang berlaku menyebabkan ia di ubah menurut gaya kepimpinan dan menyebabkan dasar perjuangan itu mempunyai sedikit perbezaan dengan Marxism. Akan tetapi, perbezaan yang dinyatakan tidaklah merangkumi keseluruhan kerana walaupun ia mempunyai perbezaan namun perjuangan itu masih menurut falsafah Marxism secara keseluruhan.

TERKENANG SEMULA NASIONALISME YANG MUNCUL..

oleh: hilman idham (promega44@gmail.com)
PENDAHULUAN

Persoalan mengenai Malayan Union sememangnya gemar diperbahaskan dikalangan semua pihak. Tajuk “Penubuhan Malayan Union Sebagai Pemangkin Semangat Nasionalisme Tanah Melayu” bertujuan mengupas isu sama ada Malayan Union yang ditubuhkan oleh British ini menjadi pemangkin kepada gerakan nasionalisme di Tanah Melayu atau sebaliknya. Fakta-fakta mengenai Malayan Union dihimpunkan untuk memahami sejarah perjuangan dan kebangkitan rakyat Tanah Melayu ketika itu. Esei juga akan menghuraikan serba lanjut mengenai sebab-sebab penentangan rakyat terutama orang Melayu dalam menghalang penubuhan Malayan Union. Karya ini juga akan mengupas dan menganalisis dengan lanjut tentang beberapa aspek yang merangsang kepada penentangan rakyat. Skop bagi penulisan ini akan mengambil kira segala aspek termasuk peranan tokoh, persatuan, gerakan kanan dan kiri dengan mengambil kira perihalan sejarah Tanah Melayu ketika itu. Keseluruhan daripada aspek ini akan di analisis bagi memperolehi satu kesimpulan mengenai kajian.


SEJARAH MALAYAN UNION

Sebelum Perang Dunia Kedua meletus, pentadbiran Tanah Melayu terdiri daripada tiga entiti pentadbiran. Tiga entiti ini terdiri daripada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan juga Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Maka untuk menyatukan ketiga-tiga pentadbiran ini, timbul idea untuk menubuhkan Malayan Union. Idea ini sebenarnya telah muncul sejak zaman pendudukan Jepun dan idea ini telah dibentangkan di peringkat Parlimen British pada Oktober 1945 (Jayum Anak Jawan, 2003). Untuk menjayakan idea pelaksanaan Malayan Union, pihak British telah melantik seorang wakil mereka, Sir Harold MacMichael untuk mendapatkan persetujuan dan keizinan daripada sultan.

Terdapat beberapa sebab untuk pihak British mewujudkan Malayan Union melalui penyatuan ketiga-tiga entiti pentadbiran yang terdahulu. Hal ini tidak lain akan memberi keuntungan kepada pihak British yang menjajah Tanah Melayu. Punca utama untuk British mewujudkan Malayan Union ialah untuk menjimatkan kos pentadbiran. Hal ini kerana, tidak semua negeri-negeri di Tanah Melayu ini kaya dan mampu mentadbir soal ekonomi dengan baik. Oleh itu, melalui gabungan ini, negeri yang kaya dapat menampung perbelanjaan negeri yang miskin. Akhirnya, perbelanjaan dapat dijimatkan kerana pembangunan ekonomi dapat dijalankan secara seimbang.

Sebab yang kedua ialah untuk mengukuhkan kuasa politik British dalam pentadbiran Tanah Malayu. Melalui pentadbiran yang berpusat seperti ini, British dapat menjamin penguasaan yang berterusan terhadap sumber ekonomi Tanah Melayu. Hal ini kerana, apabila Malayan Union ditubuhkan, pihak British akan mempunyai kuasa yang besar melebihi kuasa sultan-sultan, maka mereka mampu menguasai semuanya. Selain daripada itu, atas inisiatif yang sama juga, pihak British akan dapat mengurangkan kuasa pembesar-pembesar tempatan yang selama ini memberi nasihat kepada setiap keputusan yang dibuat oleh sultan.

Selain itu, melalui pembentukan Malayan Union, pihak British dapat membentuk satu pentadbiran yang licin. Hal ini kerana, Malayan Union hanya akan terletak dibawah satu pentadbiran yang berpusat di London. Pentadbiran berpusat ini juga dapat mewujudkan satu sistem yang seragam. Hal ini akan memudahkan lagi kerja-kerja mereka untuk mengawal segala aktiviti termasuk aktiviti ekonomi yang melibatkan kepentingan mereka. Pihak British juga merancang untuk mewujudkan satu negara satu bangsa iaitu bangsa Malayan Union. Perkara ini dapat direalisasikan apabila golongan imigran dan penduduk tempatan menerima Malayan Union sebagai negara mereka sendiri. Melalui cara ini, pihak British dapat melenyapkan identiti bangsa Melayu itu sendiri bukan hanya dengan menjajah negara tetapi juga menguburkan nilai-nilai estetika melayu itu dengan cubaan melenyapkan bangsa Melayu itu sendiri.


PERJANJIAN MALAYAN UNION

Dalam beberapa agenda penubuhan Malayan Union, ciri-ciri asas begitu signifikan terhadap pembentukan ini. Ciri-ciri ini telah menjadi asas kepada perjanjian Malayan Union serta asas terhadap perangkaan Perlembagaan Malayan Union (Jayum Anak Jawan 2003). Antara ciri asas ini ialah semua negeri di Tanah Melayu disatukan di bawah satu pentadbiran kecuali Singapura. Dalam hal ini, penyatuan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu pentadbiran akan merealisasikan objektif penubuhan Malayan Union itu sendiri. Dari perspektif pentadbiran pula, Malayan Union akan ditadbir oleh Gabenor British serta dibantu oleh badan eksekutif dan juga legislatif (Ramlah Adam 1993). Ini bermakna, selepas pembentukan ini, institusi kesultanan Melayu dan juga pembesar tempatan sudah kehilangan kuasa. Sultan hanya berperanan terhadap soal-soal agama, adat istiadat dan tradisi Melayu sahaja. Badan eksekutif yang dikawal sepenuhnya oleh British pula akan mentadbir kerajaan tempatan yang akan diserahkan sepenuhnya dibawah satu pentadbiran pusat. Badan eksekutif ini akan diketuai oleh seorang pesuruhjaya tinggi yang dilantik oleh British. Bagi status kewarganegaraan pula, pihak British telah bersetuju untuk mengguna sistem kerakyatan jus soli. Sistem ini memberikan kerakyatan tanpa tanpa mengira bangsa dan etnik. Mengikut sistem ini, status warganegara akan diberikan kepada mereka yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura serta mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang telah menetap di Tanah Melayu melebihi 10 tahun sebelum 15 Febuari 1941. Menurut Salleh Abbas (1985), inilah kali pertama sesuatu usul mengenai undang-undang kerakyatan dibuat di negara ini.




MACMICHAEL MENGUGUT SULTAN-SULTAN

Pihak British telah melantik seorang wakil kerajaan bagi mendapatkan persetujuan daripada sultan-sultan. Wakil mereka, Sir Harold MacMichael telah dilantik dan diiringi oleh Sir Alec Newboult sebagai jurubahasa baginya. MacMichael telah diamanahkan untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan Melayu sebagai tanda persetujuan mereka terhadap penubuhan Malayan Union. Tandatangan ini akan dimanipulasikan oleh mereka bagi mengisytiharkan perlembagaan baru Malayan Union dan seterusnya disahkan.

Cerita mengenai MacMichael adalah antara kisah yang signifikan kerana merupakan salah satu sebab yang mencetuskan kemarahan rakyat. Pihak istana terutama raja-raja Melayu juga akhirnya bangkit menentang dengan menghantar surat bantahan ke London (Ramlah Adam, 1993).

Bagi mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu, Sir Harold MacMichael telah menggunakan pelbagai taktik. Beliau telah memaksa sultan-sultan supaya menandatangani Perjanjian Malayan Union. Beliau telah mengugut sultan-sultan dengan cara ingin membongkar rahsia sultan-sultan yang menyokong pendudukan Jepun di Tanah Melayu kepada pentadbiran British. Oleh kerana terdesak, sultan-sultan Melayu telah bersetuju dan menandatangani perjanjian rancangan (Ramlah Adam, 1993).

Cara MacMichael memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan ini ternyata telah menyimpang jauh daripada adat dan budaya kita yang mana tidak kenal pada erti paksaan. Sesuatu perjanjian itu sepatutnya dimeterai dan dijalankan dengan cara rundingan yang yang berlandaskan persefahaman dan tolak-ansur (Ramlah Adam, 1994). Akhirnya, pada Januari 1946, Sir Harold MacMichael telah berjaya mendapatkan tandatangan daripada sultan-sultan dan kembali ke London. Berdasarkan persetujuan tersebut, pihak British telah membentangkannya di dalam Parlimen oleh Setiausaha Tanah Jajahan pada waktu itu. Perlembagaan tersebut telah diwartakan pada 22 Januari 1946.


KEBANGKITAN SEMANGAT NASIONALISME RAKYAT

Secara kritikalnya, penubuhan Malayan Union ini adalah sesuatu yang amat signifikan terhadap kebangkitan semangat nasionalisme. Hal ini kerana, Malayan Union memangkin kemunculan semangat nasionalisme Tanah Melayu dengan pelbagai sebab dan alasan. Penentangan rakyat serta penyatuan orang Melayu pada ketika itu dilihat sebagai asas kepada kemunculan semangat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pelbagai sebab dan alasan perlu di ambil kira dari setiap aspek bagi meninjau perjuangan orang melayu dalam menentang Malayan Union.

Alasan pertama yang memangkin kemunculan semangat nasionalisme orang Melayu ialah mengenai cara dan sikap wakil British, Sir Harold MacMichael semasa cubaan mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu. Sultan-sultan menandatangani perjanjian tersebut kerana terdesak dan atas ugutan dari MacMichael sendiri. Sekiranya MacMichael menggunakan alasan bahawa sultan-sultan menyokong pendudukan Jepun nescaya orang Melayu akan bangkit menderhaka menentang sultan mereka. Hal ini kerana menyokong pendudukan Jepun dianggap kejam atas kezaliman yang ditanggung oleh orang Melayu pada ketika itu. Maka, atas prinsip Melayu ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’, pastinya rakyat akan bangkit menentang sultan mereka yang dianggap zalim. Selain itu, sultan-sultan tidak dibenarkan sama sekali untuk mendapatkan nasihat yang cukup daripada ahli Majlis Mesyuarat Negeri sehingga kebanyakan sultan hanya menandatangani perjanjian tersebut bersaksikan anakandanya sahaja. Hal ini terjadi di beberapa buah negeri di Tanah Melayu ketika itu (Ramlah Adam, 1993).

Orang Melayu yang pada ketika itu begitu taat pada sultan juga mempertahankan kehilangan kuasa sultan mereka. Mereka menganggap bahawa penghapusan kuasa sultan sebagai penghapusan kedaulatan raja-raja Melayu yang akan melenyapkan kepimpinan tradisional orang Melayu itu sendiri (Ramlah Adam, 1993). Kehilangan kuasa ini bermakna raja-raja Melayu sebagai simbol ketuanan negeri-negeri Melayu telah dilenyapkan dengan kemunculan penjajah British.

Selain daripada isu raja-raja Melayu, isu kerakyatan Malayan Union juga menjadi antara sebab penentangan orang-orang Melayu. Mereka menentang pemberian kerakyatan secara jus soli yang dianggap oleh mereka sebagai terlalu longgar. Akibat daripada pemberian kerakyatan ini, orang Melayu bimbang status quo mereka sebagai penduduk asal Tanah Melayu ini akan terancam dan sekaligus jumlah orang Melayu akan berkurangan sebagai penduduk majoriti negeri ini. Akibatnya, bangsa Melayu akan menjadi satu masyarakat kecil di tanah air sendiri dan ini dianggap oleh mereka sebagai satu penjajahan ke atas Tanah Melayu (Ramlah Adam, 1993).

Isu warisan terutama mengenai nilai-nilai dan adat resam orang Melayu turut menarik perhatian orang Melayu pada waktu itu. Mereka menganggap warisan itu akan hilang asal usulnya terutama apabila bertentangan dengan semangat penubuhan Malayan Union untuk membentuk bangsa Malayan Union di bawah pentadbiran British (Jayum Anak Jawan, 2003). Bagi Dato Onn sendiri sebagai seorang pemimpin Melayu, beliau menganggap bahawa Malayan Union akan melemahkan bangsa Melayu, negeri Melayu dan kebudayaan Melayu pada masa hadapan.


PERANAN KARYA PENULISAN DAN PERSATUAN

Kebangkitan semangat nasionalisme yang timbul dalam diri masyarakat masih belum cukup gagah untuk meniup semangat anti penjajah. Kebanyakan rakyat ketika itu masih lagi percaya bahawa kita tidak mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa bantuan dari pihak British (Ramlah Adam, 1994). Namun begitu, bagi mereka yang sudah sedar, mereka menganggap niat British untuk membantu ke arah berkerajaan sendiri sebagai tidak ikhlas dan hanya untuk menguatkan lagi dasar penjajahan mereka ke atas Tanah Melayu.

Semangat menentang dasar Malayan Union ini dilihat mula ditiup dari hasil-hasil tulisan dan karya-karya yang dihasilkan pada ketika itu. Akhbar harian seperti Warta Negara, Utusan Melayu dan Majlis menjadi salah satu sumber penyebaran mesej kepada orang Melayu untuk bersatu menentang Malayan Union. Akhbar ketika itu memainkan peranan utama sebagai pengkritik awal dan penghebah kepada keburukan Malayan Union (Ramlah Adam, 1993). Sementara itu, banyak karya yang dihasilkan oleh golongan intelektual Melayu yang turut membangkitkan kesedaran bangsa Melayu untuk bangkit bersatu. Salah satu karya yang terkenal ialah Testemen Politik A.P.I yang dikarang oleh Ibrahim bin Haji Yaakob.

Peranan hasil-hasil penulisan ini dilihat menjadi satu pemangkin dalam usaha menyedarkan orang Melayu. Hasilnya, orang Melayu mula bangkit dan kebanyakan persatuan-persatuan Melayu mula aktif semula. Namun begitu, persatuan yang sekadar bersifat kenegerian masih menjadi batu penghalang buat orang-orang melayu untuk bersatu. Hinggalah munculnya seorang anak Johor yang dikenali dengan nama Dato’ Onn bin Jaafar.

Dato’ Onn merupakan orang pertama yang bertanggungjawab dalam memimpin gerakan Melayu menentang Malayan Union. Pengaruh beliau dikalangan raja-raja Melayu dan orang Melayu membolehkan beliau mengumpul kekuatan untuk menyatukan semua orang-orang Melayu melalui persatuan-persatuan. Akhirnya, kongres Melayu pertama dirancang bagi menghimpunkan semua tokoh-tokoh persatuan Melayu bagi menggerakkan orang rakyat terutamanya orang Melayu agar bangkit menentang Malayan Union.

Kongres yang dijalankan itu telah dihadiri oleh kebanyakan persatuan di semua negeri-negeri Melayu. Hasilnya kongres telah mengambil keputusan menentang Malayan Union kerana tidak mengikut semangat perlembagaan, menentang kemahuan rakyat, mengambil kuasa raja-raja Melayu dan mentadbir negeri-negeri Melayu yang membelakangi Piagam Atlantik yang akan menyebebkan Tanah Melayu menjadi jajahan British (Tunku Abdul Rahman Putra, 1987).

Buat kali pertama dalam sejarah, kebanyakan persatuan-persatuan terutama persatuan orang Melayu telah bangun untuk bersatu. Konsep persatuan mereka yang sebelum ini yang hanya bersifat kenegerian tidak mampu untuk menumbangkan penjajah. Namun atas kesedaran politik mereka telah bangun untuk sama-sama bersatu dengan berkongres buat kali pertama. Ini adalah salah satu wadah penting kepada gerakan nasionalisme dan perjuangan orang Melayu. Kongres inilah yang menyatukan rakyat melalui persatuan-persatuan yang mereka anggotai. Maka, situasi ini sangat signifikan dalam menghuraikan permulaan bagi penyatuan orang rakyat dalam perjuangan menentang Malayan Union.



TOKOH-TOKOH NASIONALISME

Dari perspektif perjuangan tokoh pula, semangat nasionalisme ini mula ditiupkan dari negara luar. Bagi konteks semangat nasionalisme menentang penjajahan, negara kita mempunyai hubungan rapat untuk dikaitkan dengan Indonesia. Tokoh-tokoh seperti Bung Tomo, Tan Malaka dan Sukarno memberikan impak yang besar terhadap perjuangan menentang penjajah di negara kita (Zulhasril Nasir, 2007). Sebagai negara jiran yang terdekat, semangat rakyat Indonesia yang bangun menentang penjajahan Belanda ketika itu memberikan rangsangan yang tinggi kepada orang Melayu untuk bangkit menentang penjajahan. Hujah serta pidato tokoh-tokoh ini memberi impak yang besar terhadap gerakan di negara ini. Kata- kata seperti “ Merdeka 100%” dan “Merdeka dengan Darah” amat berkesan dalam mencetuskan kebangkitan orang Melayu ketika itu. Dr Burhanuddin sendiri dalam satu ucapannya di Rapat Terbuka telah melahirkan kata-katanya yang terkenal hingga ke hari ini (Mohamed Salleh Lamry, 2006):


“Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.”

Perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu pula boleh di bahagikan kepada dua yakni gerakan kanan dan kiri. Gerakan kanan ini adalah gerakan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn, Ibu Zain dan Haji Anuar Malik manakala gerakan kiri dipelopori oleh pejuang seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan juga Shamsiah Fakeh. Kedua-dua gerakan ini mempunyai peranan dalam membangkitkan kesedaran di kalangan orang Melayu dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Namun begitu, perbezaan bagi kedua-dua gerakan ini adalah melalui prinsip dan matlamat perjuangan (Insun Sony Mustapha, 1999).

Gerakan kanan adalah gerakan yang bersifat konsisten dalam perjuangan mereka. Namun begitu, gerakan kiri mempunyai kisah yang amat menarik berasaskan prinsip dan matlamat perjuangan mereka. Gerakan ini yang menggunakan prinsip ‘gergaji dua mata’ dalam perjuangan mereka ternyata dapat membangkitkan rasa semangat dan mendesak rakyat bangun menuntut perubahan (Ramlah Adam, 1994). Perjuangan tokoh-tokoh ini adalah sangat signifikan dalam gerakan nasionalisme Tanah Melayu. Pengaruh yang ada pada setiap tokoh dijadikan medium yang terbaik untuk membangkitkan kesedaran rakyat.

Demikian juga dengan pengaruh dan ideologi perjuangan tokoh-tokoh dari timur tengah. Gerakan Turki Muda dan pejuang seperti Mohamad Abduh. Idealogi mereka yang dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui golongan intelektual yang pulang khususnya dari Al-Azhar telah menghidupkan semangat nasionalisme melalui pemahaman tentang erti perjuangan dan pembebasan dari penjajah. Asas-asas perjuangan mereka seterusnya disebarkan melalui pusat-pusat ilmu seperti Maktab Perguruan Sultan Idris, Sekolah Pertanian Serdang dan Sekolah Teknik Kuala Lumpur (Zulhasril Nasir, 2007).


KESIMPULAN

Secara keseluruhan, kita dapat melihat bahawa penjajahan merupakan satu asas kepada kebangkitan semangat nasionalisme. Apabila penjajahan itu melenyapkan hak rakyat dan menindas secara keseluruhannya maka semangat itu datang dengan sendirinya untuk memperbaiki kehidupan di tanah air sendiri. Begitulah dalam konteks kebangkitan semangat nasionalisme di negara ini bahawa penubuhan Malayan Union itu sebenarnya merupakan asas kepada kebangkitan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Nasib malang rakyat pada ketika itu mematangkan fikiran mereka untuk bangkit mempertahankan hak mereka sebagai rakyat tanah air sendiri. Selain itu, semangat yang ditiupkan dari luar juga menambahkan lagi api dalam jiwa rakyat untuk bersatu. Negara-negara jiran yang ketika itu turut dijajah sama-sama berkongsi idealisme untuk memerdekakan negara ketika itu.

Sementara itu, persatuan-persatuan juga turut berperanan untuk menyatukan rakyat kerana atas kesedaran bahawa perjuangan itu hendaklah bangkit serentak. Maka, orang Melayu ketika itu menyertai persatuan-persatuan yang ada untuk memperjuangkan hak-hak yang sememangnya telah di rampas oleh penjajah. Walaupun persatuan ini kebanyakannya hanya bersifat kenegerian, akan tetapi persatuan merupakan satu medium untuk rakyat mula berpolitik.

Tokoh-tokoh seperti Dato Onn, Dr. Burhanuddin, dan Ahmad Boestamam merupakan antara pemimpin-pemimpin persatuan yang bergerak pada ketika itu. Di atas kesedaran perjuanganlah mereka akhirnya membawa persatuan-persatuan pimpinan mereka untuk sama berganding bahu di atas satu wadah perjuangan menentang penjajahan. Walaupun ada di antara persatuan yang mempunyai perbezaan ideologi dan prinsip perjuangan, namun atas nama perjuangan menuntut perubahan dan kemerdekaan mereka bergabung bagi menentang Malayan Union.

Penubuhan Malayan Union ini boleh dianggap signifikan kerana kebangkitan semangat nasionalisme ketika itu merupakan titik permulaan kebangkitan rakyat hinggalah kemerdekaan dapat dicapai. Kebangkitan semangat nasionalisme ketika itu sememangnya merupakan impak terhadap penubuhan Malayan Union. Sebagai satu bentuk penjajahan baru yang dianggap oleh rakyat, semua persatuan bergabung dan hasil gabungan itulah yang akhirnya menumbangkan era penjajahan British di negara ini.

Ringkasnya, kita dapat melihat bahawa permulaan kebangkitan semangat nasionalisme adalah berpunca dari konsep Malayan Union itu sendiri. Rakyat Tanah Melayu pada waktu itu cukup marah dengan isi-isi perjanjian Malayan Union yang dianggap menghina kedudukan sultan dan juga sebagai salah satu unsur menguatkan kedudukan penjajah British. Peranan tokoh-tokoh, persatuan-persatuan dan karya persatuan pula adalah elemen tambahan yang menyokong kebangkitan semangat nasionalisme Tanah Melayu. Himpunan dari elemen-elemen inilah yang telah membawa satu perubahan kepada Tanah Melayu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka pada hari ini.

Wednesday, October 8, 2008

BUAT PAK LAH DAN ANAK MENANTU

Hanya ini selepas Pak lah umumkan tidak akan bertanding dan berundur Mac depan!

Friday, October 3, 2008

POLITIK TEMPOYAK DAN AIR LONG CHAN

Tahun ini agak berlainan kerana pendeta menyambut hari raya di Kampung Solok Paya Lebar, Ramuan China Besar, Masjid Tanah. Banyak keistimewaan di kampung ini yang mana merupakan sebuah kampung pinggiran dalam kampung. Mengapa begitu? Nama ‘Solok’ itu dikatakan kerana kedudukannya yang terceruk di kawasan Kampung Paya Lebar. Maka apabila kampung ini agak terceruk, ditambahkan perkataan ‘solok’ pada Kampung Paya Lebar itu dan dinamakannya Kampung Solok Paya Lebar.

Namun begitu tiada perbezaan ketara antara kedua-dua kampung ini. Natijahnya, walaupun berlainan nama namun ianya bagai satu kampung. Uniknya dikampung ini ketika hari raya adalah ‘gulai tempoyak’ di pagi raya. Jika di tempat lain ‘rendang’ menjadi hidangan utama di pagi raya, tetapi disini dan kawasan sekitarnya penangan selera ditambah dengan satu menu istimewa yakni gulai tempoyak. Gulai ini istimewa dengan pelbagai jenis campuran daun ulam seperti pucuk ubi, daun labu, daun kaduk, petai dan yang terpenting tempoyak. Pasti lawas setelah menikmatinya dengan lemang dan ketupat.

Kampung Paya Lebar dan Solok Paya Lebar ini banyak kisah yang menarik yang boleh dikongsi. Pendeta sebenarnya agak sedih dengan keadaan kampung ini. Sejarahnya, kesedaran politik di kampung ini memang tinggi. Juga ramai ahli politik yang berasal dari kampung ini. Baik sang pemerintah atau si pembangkang semuanya ada. Kumpulan al-Jaafari juga berasal dari sini. Sejarahnya, al-Jaafari sendiri antara golongan kelompok yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di kampung ini. Beliau yang berpendidikan salah sebuah pondok di Rembau menjadi antara golongan yang pertama menyertai PAS Melaka. Hebatnya politik disini hingga pernah Dr Burhanuddin yakni Yang Dipertua PAS ketika itu datang mengadakan rapat umum di Masjid Tanah. Hasilnya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Muncul pula kumpulan al-Jaafari yang merupakan golongan yang membawa permulaan perjuangan ABIM di negeri Jebat Si Pembela.

Maka al-Jaafari yang yang dikenali itu antaranya Along, Alang, Andak, Anjang dan Uda. Antara mereka itu, ada yang langsung turun ke kancah politik kepartian sebagai politikus tetapi kebanyakannya tidak. Namun, sirah kampung ini memang tinggi pemikiran politiknya dan bukan sekadar politik omongan di kedai kopi seperti kampung lain. Mengikut kisahnya, semasa menyambut kemerdekaan dahulu tahun 1957, terdapat pintu gerbang dibina di kampung ini sebagai tanda kepuasan perjuangan menuntut kemerdekaan melalui politik. Di kampung ini jugalah tinggalnya salah seorang calon bebas bernama Putih (seorang Sidang Kampung) yang pernah menentang Ketua Menteri Melaka ketika itu, Ghafar Baba. Lekat namanya “Putih Payung” kerana menggunakan simbol teduhan hujan itu di kertas undian. Begitulah hebatnya jiwa dan ideologi penduduk di kampung ini dahulu kala.


Namun kini, segalanya berbeza. Paya Lebar sudah mandul politiknya. Ideologi penduduknya mati dan tiada pemimpin muda yang dilahirkan. Mungkin kerana kebanyakan yang disini sudah janda kematian suami. Tapi benar, rosak politik itu dengan Machivellian. Hingga agama dan hukum juga tercabul. Lebih hina dan jijik daripada demokrasi yang kononnya disodomi. Ayat populis! Hingga ke akar umbi merebak kerosakannya. Bagaimana perlantikan imam masjid juga boleh dipolitikkan? Jika yang dilantik itu tinggi ilmunya tidak mengapa, tapi jika setakat lepasan sekolah menengah agama bagaimana? Khutbah hari raya pun tersilap hingga heboh cerita sekampung. Imam itu ‘favourite’ sebab dapat sokongan JKKK. Untung kerana hanya Imam yang mendapat sokongan JKKK maka akan bertahan lama walaupun ada calon yang lebih baik. Hadis sahih mana diguna atau kitab mana dirujuk JKKK perlu beri sokongan maka imam itu dipilih? Imam itu mestilah diantara yang terbaik bacaannya dan tinggi ilmunya antara kamu itu yang sebetulnya. Bukan antara yang hebat dan kuat sokongannya kepada kamu!

Cerita politik ini sama dengan kisah Long Chan. Kisah air ‘klasik’ negeri Melaka. Nilai estetika botol kaca itu tiada gantinya dengan perisa ‘soda’. Kilangnya di Melaka dengan jualan kira-kira 50 sen sebotol. Sekali beli satu peti di sebuah kedai di Pekan ‘Koboi’ Lubuk China. Politik dan Long Chan tidak pernah selesai. Politik lama berganti dengan politik baru dan Long Chan sekarang sudah ada pelbagai perisa dan berbotol lain pula. Namun, politik agak ke hadapan dengan kisahnya yang keluar setiap hari dan Long Chan tetap hanya keluar ketika musim raya saja.

Apa agaknya yang bakal terjadi pada kampung ini? Long Chan mungkin dapat bertahan tetapi apa yang bakal berlaku dengan situasi politik akan datang? Apakah tiada perubahan yang bakal berlaku dan akan teruskah segalanya akan di politikkan termasuk hal-hal agama dan hukum? Jika sudah bacul berideologi yang relevan, ingat sajalah tentang syurga dan neraka untuk selesaikan segala persoalannya atau mungkin menunggu orang kampung dari ahli geng al-Jaafari menjadi Ketua Menteri!