Tuesday, September 28, 2010

Terima Kaseh Atas Solidariti Semua.

28 September 2010 - Tarikh penting, Hari Keputusan Kes 'UKM4'.

Saya hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, ditemani keluarga dan teman-teman rapat. Teman-teman, mahasiswa Sains Politik tahun akhir semuanya hadir ke mahkamah untuk memberikan sokongan.

Sebaik di mahkamah, ditemuramah oleh wartawan daripada MerdekaReview.com. sambil makan tengahari. Perbincangan banyak merangkumi soal gerakan mahasiswa, permasalahan, isu dan kes yang berlaku, juga soal pengaruh lanskap politik terhadap pergerakan mahasiswa dan anak muda.

Selesai temuramah pada jam 1.30 ptg, saya terus ke Lobi Mahkamah, menyambut teman-teman yang hadir. Anggota polis juga sudah siap memenuhi segenap ruang mahkamah. Teman serumah, Sdr Izmil memberitahu, kebanyakan teman-teman yang hadir sudah menunggu di tingkat atas, hadapan bilik bicara.

Sebaik tiba di atas, saya terkejut dengan kehadiran yang sangat luar biasa. Laluan dipenuhi oleh teman-teman yang hadir. Kata sokongan dan doa agar kemenangan itu muncul tidak putus-putus dari semua sepanjang laluan ke bilik bicara.

Namun, akhirnya keputusan tidak memihak kepada saya dan 3 teman lain - King Chai, Ismail dan Azlin.

Ramai yang melihat saya kecewa. Namun, bagi saya kekecewaan itu hal biasa. Kekecewaan itu juga di tutup habis dengan semangat dan sokongan yang di tunjukkan oleh semua yang hadir.

Solidariti yang ditunjukkan semalam bagi saya adalah sesuatu yang jauh lebih berharga daripada kemenangan kes. Solidariti itu adalah petanda awal bahawa anak muda dan mahasiswa akan bangkit meneruskan perlawanan.

Jika sebelum ini, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) ini menakutkan mahasiswa. Tapi hari semalam, akta ini juga telah menyatukan anak muda dan mahasiswa untuk terus bangkit melawan.

Tiada perkara lain yang lebih menggembirakan saya selain solidariti itu.

Saya ucap jutaan terima kaseh pada seluruh teman-teman yang hadir - keluarga, teman-teman jurusan Sains Politik, aktivis mahasiswa SMM, rakan-rakan dari SAMM, para aktivis sosial, ahli akademik dan juga politisi yang hadir.

Harapan tiada yang lain melainkan harapan dan keyakinan bahawa perjuangan itu pasti terus!

Terima kaseh sekali lagi dan jumpa 7hb Oktober 2010.




No comments: