Saturday, April 18, 2009

THE MACHIAVELLIAN THEORY

1.0 PENGENALAN

Falsafah dari segi etimologi berasal dari perkataan Yunani iaitu gabungan akar kata philos dan sophia iaitu bermaksud mencintai hikmah. Ilmu falsafah mempunyai perkaitan yang rapat terhadap pengembangan sesuatu ketamadunan dan budaya masyarakat. Kemunculan kegemilangan ketamadunan Yunani, telah dijana oleh kekuatan falsafah oleh tokoh-tokoh zaman sofistik[1] seperti Pythagoras (580-490 SM) dan Heraclitus (535-475 SM), kemudian kemunculan falsafah sebagai penggerak tamadun diperkukuhkan lagi oleh kemunculan para ahli falsafah terkemuka seperti Socrates (469-399 SM), Plato (428-348 SM) dan Aristotle (384-322 SM) yang sudah sedia maklum memberikan intipati kearah pembentukan sistem politik dan keadilan kepada seluruh rakyat melalui idea-idea kontroversi yang dikemukakan[2].

Perkataan politik pula berasal daripada perkataan Yunani politikos adalah berkenaan negara dan begitu juga dengan perkataan polites dan politeiea yang bermaksud negara dan hak warganegara. Maka secara langsung kita mengetahui bahawa falsafah politik membicarakan soal sesebuah organisasi politik, kuasa dan sebagainya. Kemunculan gerakan pencerahan dan pembaharuan di Eropah barat pada abad ke 18 secara umumnya berpunca daripada pertumbuhan minat yang mendalam oleh para ideolog di mana ketika itu terdapat seruan untuk membebaskan masyarakat Eropah barat dari cengkaman dogmatik agama. Hal ini memperlihatkan bagaimana pergerakan manusia dalam mencari kebahagiaan mereka sendiri dalam berpolitik. Hal ini menyebabkan Plato menganggap manusia sebagai political animal dalam sesebuah negara yang saling bekerjasama dalam mencapai kebahagiaan atau mewujudkan sebuah negara dan masyarakat yang ideal (Ahmad Sunawari Long 2006:164). Pada abad ini telah muncul tokoh-tokoh aliran rasional seperti Descartes (1596-1650) dan kemunculan pencerahan di Eropah barat juga memungkinkan kemunculan tokoh-tokoh seperti Machiavelli (1469-1527) yang mengemukakan idea politik yang terpisah dari pengaruh agama. Maka penulisan ini akan melihat idea-idea Machiavelli dengan lebih mendalam dan kritikal. Juga tidak ketinggalan, esei ini akan memperlihatkan idea serta kritikan filasuf lain sebagai perbandingan dan melihat idea-idea Machiavelli secara keseluruhan.


2.0 RIWAYAT HIDUP

Niccolo Machiavelli (1469-1527) merupakan seorang filasuf yang masyhur oleh kerana nasihatnya kepada pemerintah yang tetap ingin berkuasa dan mempertahankan rejim kekuasaannya perlu menggunakan tipu muslihat, dusta serta disertai dengan penggunaan kekerasan yang kejam[3]. Bermula saat itu, Machiavelli dikenali dan masyhur dengan kritikan dan kutukan sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak kurang juga dengan pujian-pujian yang mengangkat dirinya sebagai seorang yang pragmatik dan realis tulen. Machiavelli dilihat sebagai filasuf yang berani dengan paparan tentang keadaan dan berpegang pada hakikat sebenar yang berlaku. Hasil karya dan penulisannya benar-benar dekat dengan filasuf juga para politikus.

Niccolo Machiavelli telah lahir di Florence, Itali pada tahun 1469. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang agak terkemuka kerana ayahnya merupakan seorang ahli peguam. Namun begitu, keluarganya bukanlah sebuah keluarga yang sangat berada meskipun ayahnya berada dalam kelompok bangsawan. Selama masa hidup Machiavelli, Itali merupakan sebuah negara yang lemah dari sudut ketenteraan tetapi cukup kaya dengan sumber alam dan Florence merupakan kota yang pesat berkembang[4]. Situasi ketika itu adalah saat Renaissance Itali tatkala Itali terbahagi kepada negeri-negeri dan daerah yang kecil yang berbeza sama sekali dengan negeri yang bersatu seperti Perancis, Sepanyol dan Inggeris. Itali ketika itu didominasi oleh lima kuasa besar utama yang mana salah sebuah kuasa itu ialah Florence (Little, Gingell & Winch 2000:1)

Florence merupakan sebuah negara republik dibawah pemerintahan Lorenzo de’ Medici (1449-1492) ketika Machiavelli memegang kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran sivil Florence pada tahun 1498. Kematian Lorenzo menyebabkan takhta kerajaan republik itu jatuh kepada Piero Soderini (1450-1522) dan keluarga Medici diusir dari Florence. Sekian lama Machiavelli mengabdikan diri kepada pemerintah Soderini, beliau telah menyertai pelbagai misi diplomatik pernah ke Perancis dan Jerman serta negeri-negeri dalam Itali[5]. Tahun 1512, Republik Florence telah digulingkan dan Medici kembali memerintah dan memegang tampuk kekuasaan. Machiavelli telah dipecat dari jawatannya dan kemudian telah ditahan atas tuduhan konspirasi menentang pemerintah yakni Medici. Machiavelli diseksa namun tetap mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut dan akhirnya beliau telah dibebaskan. Selepas itu, Machiavelli hidup sendirian disebuah perkebunan kecil di San Casciano tidak jauh dari Florence.

Sekian lama beliau tinggal bersendirian, Machiavelli berkarya dengan menulis beberapa buah buku dan yang terhebat hingga ke hari ini ialah ‘The Prince’ atau Sang Penguasa yang ditulis pada tahun 1513. Karya yang lain ialah seperti ‘The Discourses upon the First Ten Books of Titus Livius’, ‘The Art of War’, ‘A History of Florence’ dan ‘La Mandragola’.



3.0 IDEA UTAMA MACHIAVELLI


3.1 KUASA

Pentafsiran dan idea Machiavelli berkenaan hal kuasa adalah sama sebagaimana pentafsiran Pareto dan Mosca berkenaan kuasa. Machiavelli melihat kuasa sebagai sesuatu untuk dipertahankan oleh setiap pemerintah. Ini disifatkan alami manusia atau ‘human nature’ bagi setiap manusia yang bergelar pemerintah dan elit yang memegang tampuk kuasa. Machiavelli tidak mentafsir dan menganalisis tentang man atau manusia secara alami tetapi berkenaan political man atau ahli politik[6]. Maka sebagai seorang political man, kuasa itu perlu direbut dan perlu dipertahankan. Menurutnya lagi, kuasa dengan cara paksaan dan tekanan itu harus dilakukan dalam tingkah laku politik. Machiavelli memahami bahawa politik adalah perebutan kekuasaan lantas berkeyakinan bahawa pemerintah hendaklah meletakkan sesuatu beban kepada rakyat sebagai pengukuhan bagi kekuasaan yang telah dimiliki.

Menyedari tentang ini, Machiavelli menulis “The Prince”, sebagai nasihat darinya kepada pemimpin republik tentang bagaimana untuk mempertahankan kekuasaan yang dimiliki. Karya kontroversi ini menyebabkan pelbagai tanggapan kepada Machiavelli sama ada yang baik dan buruk. Namun, penulis berpendapat bahawa banyak kekhlilafan dalam menginterpretasi idea-idea Machiavelli. Kesilapan besar ialah apabila pentafsiran itu membawa maksud Machiavelli menghalalkan segalanya bagi mempertahankan kekuasaan, menolak moral sekaligus menolak agama. Sedangkan penulisan Machiavelli pada ketika itu memberi gambaran tentang masalah masyarakat Florence yang mengalami kemerosotan nilai-nilai moral[7]. Walaupun dasar penulisannya dilihat benar-benar bercorak sekular namun gagasan ideanya tidak menggambarkan beliau sebagai seorang ateis kerana beliau tetap percaya pada tuhan dan menganuti agama katolik sebelum beliau mati.

Matlamat menghalalkan cara seringkali menjadi sebutan dengan merujuk kepada konsep Machiavellian. Machiavelli mengakui bahawa mandapatkan kuasa secara kejam, ganas dan jahat tidak akan mendapat keabsahan daripada rakyat. Kaedah terbaik menurut Machiavelli ialah dengan kaedah Lion and Fox. Beliau menghujahkan bahawa manusia mempunyai dua sifat yang saling bertentangan dan hal ini mudahkan siapa jua memiliki sifat yang ganas, kejam, licik serta bijak seperti mana kaedah atau konsep “Lion and Fox” tadi. Pemerintah harus bijak mengaburi mata rakyat dengan kebaikan dan harus bijak menyembunyikan kesalahan atau kekejaman yang mereka lakukan bagi mengekalkan kekuasaan. Penguasa yang ideal bagi Machiavelli ialah Achilles yang belajar dari Chiron[8].

Menilai dan memahami idea Machiavelli perlu berdasarkan pentafsiran yang berada dalam satu kerangka perspektif sejarah kerana Machiavelli berkarya berdasarkan pengalaman sepanjang kehidupannya ketika kurun ke-4 dahulu (The Machiavellians 1943)[9]. Bagi isu mempertahankan kekuasaan, Machiavelli menekankan bahawa kekuatan dari sudut ketenteraan itu sangat penting. Hal ini berdasarkan pengalaman beliau melihat sendiri perebutan kuasa di Itali dan menganggap kekuatan ketenteraan sangat penting. Beliau juga mengambil contoh Sparta yang memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat dan menjadikan wilayah itu benar-benar kuat. Bagi Machiavelli, “tiada damai tanpa persiapan untuk berperang” maka tentera negara harus sentiasa bersedia dan terlatih. Machiavelli dilihat terpengaruh dengan teori perang daripada Achilles dan Caesar.

3.2 POLITIK, MORAL DAN ETIKA

Tidak dapat dinafikan bahawa idea-idea Machiavelli mengenai politik merupakan sesuatu yang sering menimbulkan pelbagai kontroversi dan perdebatan mengenai kesesuaian dan kepatutan idea beliau dari segi moral dan etikanya. Daripada tahap perlaksanaan sesuatu tindakan politik sehingga cara untuk memperolehi serta mengekalkan kuasa merupakan sesuatu yang amat digeruni di dalam minda pemikiran semua. Machiavellisme, atau idea-idea Machiavelli yang hanya memberi tumpuan kepada kecekapan dan kebolehan sesuatu kehendak politik itu boleh dicapai berbanding dengan soal moraliti atau etika dalam perlaksanaannya. Oleh itu, hasil daripada tindakan-tindakan tersebut wujud diktum yang sering digunakan untuk menerangkan idea-idea Machiavelli, iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’ atau “The end justifies the means”. Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi aspek kepada moraliti dan etika yang cuba disampaikan oleh Machiavelli apabila beliau cuba untuk menerangkan idea-idea beliau tentang bagaimana seseorang itu boleh memperolehi kuasa dengan cekap dan efektif serta bagaimana kuasa-kuasa itu boleh dikekalkan[10].

Idea Machiavelli dapat dilihat dalam karya “The Prince”, iaitu sebuah buku yang telah ditulis oleh Machiavelli untuk pemerintah-pemerintah baru dan tidak berpengalaman seperti Lorenzo de’ Medici sebagai sebuah buku panduan kepada Lorenzo untuk menasihatinya bagaimana untuk mengekalkan kuasa keluarga Medici di Florence pada abad ke-16 (Curry & Zarate 2007: 49-50). Dalam buku tersebut, Machiavelli telah menggunakan contoh tokoh-tokoh seperti Nabi Musa, Cyrus, Theseus, Romulus serta Philip dari Macedonia untuk memberi ilustrasi kepada pemerintah-pemerintah bagaimana tokoh-tokoh ini berjaya mendapat kuasa serta bagaimana mereka dapat mengekalkan penguasaan mereka ke atas pemerintahan masing-masing dengan cekap dan efektif.

Bagi Machiavelli, apabila seseorang pemerintah berjaya mendominasi atau mengambil kuasa untuk memerintah sekumpulan manusia, pelbagai masalah akan mula timbul dan tanpa persetujuan dan penerimaan daripada rakyat jelata, pemerintah itu akan kehilangan bantuan daripada rakyat sendiri semasa mengalami kesusahan. Oleh itu, Machiavelli percaya bahawa seseorang pemerintah yang ingin berjaya perlu memilih sama ada seseorang rakyat itu disayangi atau dihapuskan secara habis-habisan kerana jika seseorang rakyat itu diberi hukuman yang ringan, maka dia masih berupaya untuk bangun semula dan mengambil tindakan balasan untuk menentang pemerintah. Oleh itu, untuk memastikan bahawa seseorang pemerintah itu selamat daripada penentangan, rakyat itu perlu diberi hukuman yang begitu berat sekali sehingga peluang untuk dia bangun semula untuk menentang pemerintah adalah sifar (Curry & Zarate 2007: 52-53).

Selain daripada itu, Machiavelli juga menggunakan Cesare Borgia sebagai seorang pemerintah yang perlu dicontohi untuk menjelaskan idea beliau tentang bagaimana kuasa itu boleh diperlohi dan dikekalkan. Cesare Borgia (1476-1507), merukapan anak luar nikah kepada Pope Alexander VI, atau lebih dikenali sebagai Rodrigo Borgia (1431-1503) sebelum menjadi Pope pada tahun 1492. Cesare Borgia amat disanjungi oleh Machiavelli atas kecekapan Cesare dalam mematahkan mana-mana penentangan yang wujud bawah pentadbiran beliau serta bagaimana beliau berjaya untuk menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif[11]. Selain itu, Cesare Borgia juga berjaya untuk merosakkan sebuah perancangan untuk membunuh beliau dan merampas kuasa daripada beliau. Cesare telah menjemput semua orang yang cuba berkomplot untuk membunuh beliau ke sebuah jamuan makan malam dan di situ Cesare telah membunuh setiap orang ahli komplot itu semasa mereka sedang makan (Curry & Zarate 2007: 34-35).

Contoh-contoh seperti tindakan Cesare Borgia telah memberi sebuah imej yang ganas dan extrim kepada idea-idea Machiavelli. Walau bagaimanapun, Machiavelli telah menyatakan pendapat beliau bahawa beliau tidak menyarankan cara penyelesaian masalah yang extrim sebagai jawapan kepada segala-gala permasalahan. Beliau berpendapat bahawa ia hanya digunakan apabila perlu untuk menjaga serta melindungi kesejahteraan dan kebebasan rakyat. Oleh itu, salah satu persepsi yang salah pada kebiasaannya berkenaan idea-idea Machiavelli ialah beliau menghalalkan apa-apa cara atau tindakan untuk mencapai sesuatu matlamat dalam politik. Machiavelli telah berkata dengan begitu tegas dalam penulisan beliau bahawa seseorang pemerintah tidak boleh membunuh rakyat sendiri secara sesuka hati atau mengkhianati rakan-rakan yang berada di sekelilinginya kerana tindakan-tindakan sebegitu tidak dapat membantu seseorang pemerintah untuk mengekalkan imej yang baik, yang amat diperlukan oleh seseorang yang ingin berkuasa ke atas pemerintahannya. Malah, jika dilihat dengan tepat, idea Machiavelli untuk bertindak zalim, ganas dan sebagainya itu haruslah disesuaikan mengikut bentuk-bentuk kerajaan yang diperintah atau dimiliki.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa idea-idea moraliti dan etika Machiavelli adalah amat berbeza berbanding dengan konsep moraliti dan etika yang kontemporari atau anggapan dan kepercayaan orang lain[12]. Bagi Machiavelli, apa-apa keganasan dan kekejaman yang telah dilakukan oleh seseorang pemerintah itu mestilah sesuatu, yang akhirnya, boleh membawa kebaikan kepada rakyat jelata. Oleh itu, Machiavelli percaya bahawa tindakan-tindakan yang ganas dan kejam itu hanya perlu diambil oleh seseorang pemerintah dalam usaha untuk memperolehi kuasa serta merampas kuasa daripada sebuah pemerintahan yang kejam dan korup. Akibat daripada itu, tindakan-tindakan ini hanya perlu dilakukan sekali dan tidak ada keperluan untuk meneruskan tindakan-tindakan kejam sebegitu (Curry & Zarate 2007: 58-59).

Hal yang semikian, Machiavelli berkata bahawa seseorang pemerintah itu akan melihat bagaimana sesetengah kepercayaan atau keperibadian boleh menghancurkan dirinya dan memusnahkan pemerintahannya serta bagaimana sesetengah keperibadian boleh membantu pemerintah itu mengekalkan penguasaannya ke atas pemerintahannya. Contohnya, seseorang pemerintah perlu biasakan diri untuk difikirkan sebagai kejam apabila dia mengambil tindakan hukuman yang sangat berat dan kejam ke atas beberapa orang pengkhianat atau pengacau supaya masalah-masalah yang timbul tidak akan terus berkembang. Sekiranya tidak, pemerintah yang cuba untuk memberi imej yang baik hati akan memusnahkan dirinya sendiri serta pemerintahannya jika dia memberikan peluang kepada idea-idea serta tindakan pengkhianat dan pengacau itu terus berkembang dan mengancam pemerintahannya. Hal ini akan membawa pelbagai kesusahan kepada komuniti dan rakyat sejagat. Oleh itu, bagi Machiavelli, adalah lebih baik jika seseorang pemerintah itu dilihat sebagai kejam demi kebaikan semua.

Moraliti dan etika, secara tradisinya, adalah terbentuk berdasarkan sistem kepercayaan agama Kristian semasa zaman Machiavelli. Oleh sebab moraliti dan etika Machiavelli adalah amat berbeza daripada tahap atau garis panduan moraliti yang telah digariskan oleh agama Kristian, maka Machiavelli sering dianggap sebagai seorang yang jahat dan kejam. Idea-idea beliau sering diantagoniskan sebagai terlalu kejam dan ekstrim walaupun pada hakikatnya idea-idea Machiavelli adalah demi kebaikan, kesejahteraan dan perlindungan rakyat jelata di bawah sesebuah pemerintahan.

3.3 BENTUK KERAJAAN


Antara bentuk kerajaan yang diperkatakan Machiavelli ialah tiga bentuk kerajaan iaitu kerajaan republik, kerajaan warisan dan kerajaan gabungan. Hal ini adalah kerana bentuk kerajaan sedemikian yang dilihat Machiavelli berlaku pada zaman kehidupannya. Negara atau wilayah adalah dimana tempat manusia berlindung dikenali sebagai kerajaan. Kerajaan republik adalah dimana kekuasaan hanya ada pada seorang penguasa dan pemerintahan berkenaan dilihat oleh Machiavelli akan membawa kebebasan kepada sesebuah negara dan rakyatnya. Manakala bagi kerajaan warisan pula atau lebih dikenali sebagai kerajaan turun temurun ialah sebuah kerajaan yang di perintah oleh seorang penguasa atau raja yang telah diwarisi kekuasaanya dan undang-undang serta cara pemerintahanya telah difahami rakyat sejak dahulu lagi.Manakala kerajaan gabungaan pula adalah sebuah kerajaan yang baru dibentuk atau melalui pengabungan wilayah baru.

Kerajaan warisan ialah sebuah kerajaan yang diperintah oleh raja atau penguasa secara turun-temurun. Pemerintahan turun temurun ini adalah merupakan kerajaan yang sudah sedia terbentuk dan raja tidak perlu untuk bekerja keras untuk mempertahankan kekuasaanya tetapi hanya perlu menjaga hati dan kebajikan rakyat supaya rakyat dapat memberikan taat setia kepada raja dan menyayangi raja. Kerajaan sedemikian dilihat merupakan sebagai sebuah kerajaan yang paling selamat dan raja tidak perlu bimbang akan hilang kekuasaanya. Hal ini adalah kerana tidak akan ada rakyat yang akan memberontak kepada pemerintahan raja yang baik dan di sini raja perlu bijak untuk mengambil hati rakyat. Kerajaan sedemikian hanya mempunyai potensi untuk direbut oleh kekuasaan luar sekiranya mendapat bantuan rakyat. Tetapi sekiranya kekuasaan raja itu sudah kukuh dan lama bertapak disatu- satu kawasan, maka adalah sangat sukar untuk mengugat kekuasaan raja atau pemerintah tersebut[13]. Keadaan ini dapat dibuktikan bahawa selagi raja memerintah dengan tidak mengabaikan hak rakyat dan kebajikan rakyat,pemerintah akan tetap disokong oleh rakyat dan penguasaan raja terhadap wilayahnya dapat dikekalkan.

Manakala kerajaan baru adalah sebuah kerajaan yang dibentuk akibat daripada jatuhnya kerajaan yang lama. Kerajaan baru ini juga terdiri daripada kerajaan baru gabungan dan kerajaan baru sepenuhnya. Kerajaan baru ini adalah seperti kerajaan Milan yang dibentuk Frencesco Sforza (1401-1466) dan kerajaan baru gabungan ini adalah gabungan daripada kerajaan warisan yang digabungkan dibawah kekuasaan seorang raja seperti yang berlaku ke atas kerajaan Neples yang bergabung dengan Raja Sepanyol. Pengabungan baru dengan kerajaan lama akan menjadikannya lebih mudah dibelenggu masalah kekacauan. Hal ini berlaku adalah kerana rakyat akan mengulingkan kerajaan lama dan menggantikan dengan kerajaan yang baru yang dilihat dapat memberikan pemerintahan yang lebih baik kepada rakyat dan menjaga kebajikan mereka. Sungguhpun begitu, sekiranya mereka tidak mendapat apa yang diinginkan, mereka akan lebih cenderung untuk memberontak atau membantu kuasa lain untuk menggulingkan raja mereka yang lama untuk kerajaan yang baru[14]. Wilayah Milan terlepas daripada Perancis adalah kerana waris kerajaan yang lama tidak dihapuskan sepenuhnya (The Prince Terjemahan Muhd.Abu Bakar 1989:3-5). Hal ini yang menyebabkan mereka bangkit untuk menentang dengan mendapat kembali sokongan rakyat[15]. Selain itu, perbezaan adat dan bahasa juga amat menyulitkan pemerintah untuk mengekalkan kuasanya. Cara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan melemahkan kekuasaan Negara kuat dan membela Negara-negara yang lemah supaya kekuasaan pemerintahan tidak digugat.

4.0 PERBANDINGAN TOKOH

Bagi David Hume (1711-1776)[16] dalam karyanya bertajuk Treatise Of Human Nature dan History Of England berpendapat bahawa bentuk kerajaan politik terawal adalah diasaskan melalui perjanjian tak langsung dan bergantung kepada penerimaan secara sukarela, bukan secara paksaan. Keabsahan pemerintahan boleh wujud dalam segala bentuk perjanjian – formal atau tidak formal, dan langsung atau tidak langsung. Namun, seiring dengan peredaran masa, proses membentuk kerajaan berubah secara ketara sejak dari awal hingga akhir, bergantung secara teori atau praktikal berdasarkan perjanjian kontrak, tetapi mempunyai lebih kesan dari segi wujudnya paksaan dan desakan. Dari segi cara pengekalan kuasa, Machiavelli menyatakan pemerintah harus bersifat liberal, berperikemanusiaan dan mencintai kebenaran. Namun, pada masa yang sama, Machiavelli turut menggariskan berberapa ciri lain yang harus dimiliki pemerintah seperti sifat kedekut, melakukan kejahatan dan tidak takut kepada kutukan rakyat[17]. Dari sudut moral, ciri-ciri tersebut dianggap teruk sekali, namun bagi Machiavelli ia penting sebagai asas utama dalam mengekalkan kuasa. Sebagai seorang realis, Machiavelli melihat bahawa hal ini benar-benar berlaku apabila seseorang pemerintah menduduki kekeuasaannya dan ia disokong oleh Robert Michels (1876–1957) dengan konsep The Iron Law of Olirgarchy[18].

Pemerintah harus lakukan apa sahaja termasuk perbuatan keji dan tidak berperikemanusiaan atas nama kebaikan rakyat sejagat. Malah Machiavelli merasakan tidak mengapa mengenakan hukuman terhadap segelintir individu yang wujud dalam masyarakat, sekiranya individu tersebut mampu menggugat kestabilan Negara. Berbeza dengan pemerintah terbaik seperti yang digambarkan oleh Aristotle yakni pemerintah itu seharusnya seorang kelebihan berbanding yang diperintah, boleh membawa kebahagiaan kepada rakyat dan mengambil tahu keadaan rakyat, negara dan organisasi. Hal ini kerana prinsip Aristotle yang disimpulkannya adalah kebahagiaan rakyat sebagai kebahagiaan negara (Ahmad Sunawari Long 2006:167). Berkenaan keabsahan pula, Humes menyatakan sumber terkuat bagi keabsahan politik adalah melalui long possession of title. Maksudnya di sini keabsahan diperoleh hasil daripada tempoh pemerintahan yang panjang, di mana kerajaan yang bersandarkan kepada prestasi yang dilihat dari segi sejarah[19]. Sekiranya kerajaan yang wujud itu mempunyai reputasi dan nama yang baik di mata rakyat, maka semakin cerah peluang kerajaan atau pemerintah mengekalkan kuasanya. Selain itu, sumber lain pengekalan kuasa adalah present possession (penguasaan semasa), conquest (penaklukan), succession (keturunan) dan positive law (lantikan melalui pihak berkuasa).

5.0 KESIMPULAN

Di sebalik gagasan-gagasan idea Machiavelli dalam The Prince tentang cara mempertahankan kekuasaan, sebenarnya Machiavelli juga mengungkap cara-cara pemerintah mempertahankan absolutisme kekuasaan. Kesannya adalah bahawa gagasan Machiavelli akan sangat penting dan menjadi ukuran buat pemerintahan negara autokrasi, kezaliman dan kekejaman. Sangat jauh dari tujuan asal Machiavelli menulis The Prince tentang sebuah negara yang kukuh dan boleh berdiri sendiri, banyak para penguasa setelah zamannya pada akhirnya terjebak pada politik kekuasaan semata. Padahal Machiavelli sebenarnya sangat membezakan bagaimana seorang penguasa bertindak pada masa damai dengan pada masa darurat. Ini yang cuba ditonjolkan Machiavelli dalam Discourse of Livy yang penulis kira sebagai panduan kepada bentuk-bentuk kerajaan yang digambarkan dalam The Prince.

Semangat keadaan darurat Machiavelli telah memberikan gagasan tentang perlunya pengaturan dan kawalan keadaan darurat dalam sesebuah negara. Dewasa ini kebanyakan negara yang tidak mengendahkan hal kemungkinan berlaku darurat atau kekacuan dalam negara. Sedangkan Machiavelli menekankan bahawa kekuatan ketenteraan itu sangat penting dalam sesebuah kerajaan yang ingin bertahan lama. Pemikiran politik dalam The Prince juga memberikan inspirasi tentang cara-cara diplomasi politik di semua peringkat. Menurut Ahmad Suhelmi gagasan Machiavelli memberikan inspirasi bagi terciptanya aliran realisme (Suhelmi 2001:132) kerana andaian-andaian yang ada kebanyakannya diserap daripada apa yang pernah dialami dalam pemikiran dan kehidupan Machiavelli. Akhirnya sumbangan terpenting pemikiran Machiavelli dengan masa kini adalah tentang pemisahan masalah moral dan politik. Moral diganti dengan undang-undang universal dan perlembagaan. Politik hanya diatur berdasarkan undang-undang dan perlembagaan dan bukan lagi oleh moral kerana sifatnya yang subjektif dan sukar untuk mencapai ketetapan yang mutlak. Maka ternyata bahawa Machiavelli adalah seorang realisme yang meletakkan keselamatan, kemajuan raja dan negara tinggi daripada yang lain.

[1] Asal dari perkataan sophos yang bermaksud cerdik pandai. Pada pertengahan abad ke-5 Masihi timbul aliran baru dalam falsafah Yunani yang sifatnya lain sama sekali dengan zaman sebelumnya itu. Aliran itu dinamai orang sofisme atau sofistik dan orangnya dikenal sebagai sofis. Sofis berasal dari perkataan sophists atau kita sebut sebagai sofis dalam bahasa kita tapi perlu di bezakan dengan sufi. Lihat Mohammad Hatta (1982).

[2]Idea-idea yang dikemukakan oleh Socrates dianggap begitu kontroversi oleh pihak pemerintah Greek di mana beliau mempersoalkan kewujudan Dewa-Dewi yang dianggap sebagai mitos secara literal. Sebagai contoh, mitos ini dapat dilihat melalui pemberian perwatakan manusia kepada Tuhan seperti dari segi rupa bentuk, perasaan cemburu, seks, kekuasaan.

[3] Karya terkenal Machiavelli ialah II Principe dan diterjemahkan buat kali pertama dalam bahasa Inggeris pada 1640 dengan judul “The Prince” manakala dalam bahasa Melayu hanya dalam kurun ke-20 iaitu Penguasa: Surat Seorang Negarawan kepada Pemimpin Republik. Lihat Shaharir Mohamad Zin (2008).

[4] Florence merupakan salah satu kota yang berkembang kerana perdangangan yang kian pesat kembali selepas Perang Salib. Florence berkembang menjadi negara-kota (Polis). Lihat Little, Gingell & Winch (2000).

[5] Machiavelli diutus sebagai duta oleh Soderini untuk pelbagai misi diplomatik untuk meningkatkan kemampuan pertahanan dan keamanan Republik Florence. Hal ini kerana keluarga Medici yang ketika itu melarikan diri ke Sepanyol telah mengadakan Louis XII dari Perancis, Paus Julius II dan Kaisar Maximillian I bagi membangunkan kekuatan merampas kembali Florence. Lihat Muhammad Abu Bakar (1989).

[6] Pentafsiran ini dilihat bersamaan dengan Adam Smith yang mentafsirkan economic man. Beliau menghuraikan soal human nature itu dengan mengatakan economic man sentiasa mengkehendaki keuntungan dan itu adalah hukum kapitalis. Perihal ini seperti mana hukum alami seorang penguasa yakni untuk mencari dan mengekalkan kekuasaan yang ada. Lihat The Machiavellian.

[7] Kemerosotan moral ketika itu adalah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti skandal moral ketua-ketua gereja, interpretasi semangat dan penghayatan kekristianan dan sebagainya. Maka agama kuno Rom menarik perhatian Machiavelli. Beliau bukan tertarik kerana perdebatan soal kepercayaan itu benar atau tidak tetapi tertarik kerana agama antikitu memuliakan tindakan manusia. Agama yang menyokong manusia penuh dengan aksi ini juga membawa kepada pemujian Machiavelli kepada Romulus yang dalam mitos agama kuno Rom yang membunuh saudaranya Romus demi merebut dan mempertahankan kuasanya.

[8] Chiron adalah makhluk berkepala manusia berbadan dan berkaki kuda dalam mitologi Yunani kuno. Ertinya, seorang penguasa harus memiliki watak manusia dan watak kebinatangan pada saat yang sama. Machiavelli menulis bahwa dengan belajar dari makhluk seperti Chiron, penguasa diharapkan akan mengetahui bagaimana menggunakan sifat manusia dan sifat binatang.

[9] Lihat Machiavelli’s Method dalam The Machiavellians (1943).

[10] Dalam The Prince, Machiavelli menerangkan berkenaan pelbagai bentuk kerajaan dan cara menegakkannya dalam bab I. Ini ditulis dalam surat beliau kepada Yang Mulia Lorenzo de’ Medici. Lihat Muhammad Abu Bakar (1989).

[11] Contohnya, salah seorang leftenan dalam tentera Cesare, Rimirro de Orco, telah berkelakuan ganas dengan membunuh tanpa mengikut arahan di Romagna dan hal sedemikian telah membawa pelbagai masalah kepada pemerintahan Cesare. Atas arahan Cesare Borgia, Rimirro telah dibunuh dan dibiarkan di tempat awam untuk dijadikan sebagai suatu ajaran kepada orang lain supaya tidak berkelakuan seperti Rimirro.

[12] Machiavelli membincangkan tentang moral dalam kerangka pengalaman hidup beliau di tengah-tengah situasi ketakutan di bidang agama serta kemerosotan moral masyarakat. Hal ini menyebabkan beliau tidak lagi meletakkan persoalan moral sebagai yang utama sebaliknya persoalan kestabilan dan pengekalan sebagai yang paling utama. Lihat Muhammad Abu Bakar (1989). Hal ini menyebabkan kesilapan dalam menginterpretasi penulisan Machiavelli kerana tidak meletakkan diri seperti mana yang disebut dalam The Machiavellians, “We must make our judgment in a proper historical perspective, remembering that he wrote more than four centuries ago”.

[13] Hal ini berlaku kepada putera Ferrara di Itali yang berjaya mempertahankan wilayah mereka daripada serangan orang-orang Venice pada tahun 1484 dan serbuan paus pada tahun 1510 adalah kerana tempoh masa yang lama ia telah menguasai wilayah tersebut. (The Prince terjemahan Muhammad .Abu Bakar 1989: 3-4)

[14] Louis XII, Raja Perancis dengan mudah dapat menakluki Milan tetapi dengan mudah juga Milan terlepas kerana harapan dan kehendak rakyat tidak dapat dipenuhi maka mereka lebih cenderung untuk menggulingkanya.antara kesilapan yang dilakukan oleh Raja Perancis itu ialah tidak mengambil langkah yang tegas kepada rakyatdan pemerintahan raja yang menindas. Lihat Muhammad Abu Bakar (1989).

[15] Casere Borgia yang menghapuskan seluruh keturunan raja yang lama untuk mengekalkan kekuasaanya dan melantik Remero yang merupakan panglima yang zalim untuk mengembalikan keamanan. Tetapi sesudah segalanya pulih seperti sediakala, Remero dibunuh dan akibatnya Borgia disanjung rakyat kerana dapat menghapuskan kezaliman Remero dan di sayangi rakyat. Lihat Muhammad Abu Bakar (1989).

[16] Lihat Modern Political Thought (2000).

[17] Lihat Ahmad Sunawari Long (2006:175) tentang ciri-ciri pemerintah terbaik.

[18] Iron Law of Oligarchy adalah teori Michels tentang elit yang tidak mahu melepaskan kekuasaan apabila sampai ke puncaknya. Pemerintah akan sedaya upaya mengekalkan kekuasaannya walau sekuat manapun hasrat dan wawasan yang bersifat demokratik namun akhirnya akan menjadikan ia oligarki.

[19] Ciri yang ditunjukkan ini adalah setara dengan ciri kerajaan warisan yang digambarkan oleh Machiavelli dalam The Prince.
BIBLIOGRAFI

Suhelmi, Ahmad. 2001. Pemikiran Politik Barat: Kajian Sejarah Perkembangan
Pemikiran Negara, Masyarakat dan Kekuasaaan. Jakarta: PT Gramedia
Pustaka Utama.

Sunawari Long, Ahmad. 2006. Sejarah Falsafah. Bangi: Penerbit UKM.

Little, A & Gingell, J & Winch, C. 2000. Modern Political Thought. London:
Routledge.

Machiavelli, Niccolo. 1989. Penguasa. Terj. Muhammad Abu Bakar. Kuala
Lumpur: DBP.

Hatta, Mohammad. 1982. Alam Fikiran Yunani. Kuala Lumpur: DBP.

Curry, P. & Zarate, O. 2007. Introducing Machiavelli. Cambridge: Icon Books.

Burnham, James. 1943. The Machiavellians: Defenders of Freedom. New York:
The John Day Company.

Kamarudin, Russli. 2002. Realisme, Niccolo Machiavelli dan Al-Ghazali:
Suatu Perbandingan. Dalam Ghazali Mayudin. Politik Malaysia: Perspektif
Teori dan Politik. Bangi: Penerbit UKM.

Kamlin, Muhammad. 1986. Pengantar Pemikiran Politik Barat. Bangi: Penerbit UKM.