Tuesday, November 10, 2009

PIDATO UMUM - Sastera Pasca Reformasi


PIDATO UMUM Seno Gumira Ajidarma
Sastera Indonesia Periode Reformasi: Antara Substans & Estetika


Jumaat, 13 November 2009
8.30 mlm - 10.30 mlm
KL & Selangor Chinese Assembly Hall, Jln Maharajalela.
Anjuran: Frinjan




SEMUA DIJEMPUT HADIR

Friday, October 23, 2009

WACANA UNTUK SEMUA ANAK MUDA



Pendapat orang muda jarang mendapat tempat. Pandangan orang muda sukar mendapat ruang. Suara orang muda kurang pula diberi peluang. Menyedari hal ini, Penerbitan Gerakbudaya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan suatu forum perbincangan dengan membariskan beberapa orang tokoh muda dari pelbagai latarbelakang sebagai panelis untuk berbincang dan menyuarakan fikiran mereka tentang persoalan-persoalan “panas” yang telah dan sedang melanda tanah air kita dewasa ini.

Apa pandangan orang muda tentang soal etnik? Apa pendapat orang muda tentang soal agama? Apa pula fikiran orang muda tentang soal Raja? Apakah pula pemahaman orang muda tentang demokrasi? Adakah etnik, agama dan Raja memberi kesan terhadap perkembangan demokrasi di negara kita ini? Adakah kesannya negatif atau positif? Adakah ianya menghalang atau membantu di dalam proses pendemokrasian negara kita? Apa kata orang muda? Apa analisa orang muda? Apa suara orang muda?

Untuk mengetahui suara orang muda di dalam membincangkan persoalan-persoalan “panas” ini, jom kita ramai-ramai datang, hadir dan sertai forum orang muda ini. Walau pun panelisnya orang muda tetapi forum ini terbuka untuk semua, muda dan tua, baru dan lama.

Berikut adalah maklumat tentang forum orang muda ini:

Tarikh : 24 Oktober 2009 (Hari SABTU)

Masa : 2.30 Petang – 5.00 Petang

Tempat : KL & Selangor Chinese Assembly Hall, No. 1, Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur (Bangunan sebuah berwarna putih di hadapan Stesyen Monorail Maharajalela).

Berikut ialah biodata ringkas para panelis muda di Forum Orang Muda:

Sdr Fahmi Reza:

Fahmi Reza ialah seorang pereka grafik dan pembikin filem dokumentari yang menggunakan seni sebagai medium untuk membangunkan kesedaran di kalangan orang muda ke arah perubahan sosial dan politik yang lebih adil dan demokratik. Beliau telah menghasilkan dua buah filem dokumentari sejarah perjuangan politik radikal yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” dan “Revolusi 48”. Filem dokumentari beliau yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” (http://10tahun.blogspot.com) telah menjadi sebuah filem dokumentari “cult” yang cukup popular di kalangan anak-anak muda.

Sdr Shazni Munir Mohd Ithnin:

Shazni Munir adalah pemimpin mahasiswa yang masih menuntut di Universiti Malaya dan aktif dalam gerakan mahasiswa di tingkat nasional. Selain dari menerajui Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan memimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), beliau juga merupakan Pengasas Bersama Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Beliau juga turut aktif di dalam bidang penulisan dan idea serta cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Perubah Zaman (http://shaznimunir.blogspot.com)

Sdr Lee Kai Loon:

Lee Khai Loon adalah bekas aktivis mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia. Beliau pernah menerajui organisasi pemuda DEMA semasa beliau mahasiswa dan beliau jua pernah bertugas di Hong Kong sebagai anggota sekretariat Asian Students Association (ASA). Sekembalinya beliau daripada Hong Kong beliau mendirikan Youth For Change (Y4C) dan menjadi salah seorang daripada anggota sekretariatnya. Kini beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan dan Ahli Maljis Perbandaran Selayang.

Sdr Mohd Hariszuan Jaharudin:

Mohd. Hariszuan adalah mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik di UKM. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas ruang wacana bebas blog Diskusi Santai Kopi (Diskopi). Di samping aktif menulis di Diskopi beliau juga aktif di dalam Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Di KAMI beliau menerajui Biro Majlis Diskusi dan Dialog (MADILOG). Selain daripada itu beliau juga terlibat aktif di dalam penyelidikan pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bagan Pinang. Idea dan cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Diskopi (http://diskopi.wordpress.com)

Komentar Forum: Bro TukarTiub a.k.a Hishamudin Rais

Hishamuddin Rais adalah orang tua yang perawakan, otak dan jiwanya tak pernah tua. Beliau adalah pengasas mazhab Non- Governmental Individual (NGI) dan pengarang buku agitasi khusus buat orang muda “Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya” dan buku separa-intelektual “Keganasan, Penipuan & Internet”. Beliau sekarang aktif menulis di blog separa-tabloid http://tukartiub.blogspot.com yang sudah pun menjadi “cult classic”.

Sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi: Ms Lee Siew Hwa di 03-7957 8342/8343 atau 016-465 5107; Shahrir Halim di 012- 321 5803 atau Mr Chong Ton Sin di 016-379 7231.

Website: http://www.gerakbudaya.com

BERSAMA GERAKBUDAYA
MEMBANGUNKAN BUDAYA WACANA DI KALANGAN ORANG MUDA

Saturday, September 19, 2009

SALAM EID MUBARAK



Semoga syawal yang mulia ini memberi seribu rahmat buat kebahagiaan anda dan keluarga. Berdoalah agar syawal yang mulia memberikan kekuatan penuh kepada perjuangan anak muda Malaysia!

Tuesday, August 25, 2009

BUAT PEMENANG PERMATANG PASIR

Oleh Usman Awang.
(buat mereka yg menang pilihanraya)


Khabar telah tiba berterbangan,
Tuan-tuan terjulang dalam kemenangan,
Segala janji dalam manis kata-kata:
"Kami diturunkan untuk membela rakyat jelata."

Derai sorak dizaman ini,
Belum bererti menjadi pasti,
Kalau hanya pemimpin sendiri,
Sedang kami tertindas lagi.

Penuh jamuan dan pesta indah,
Puji sanjung dengan tawa madah,
"Kita menang manghadapi perjuangan,
Zaman merdeka sudah terbayang".

Tapi sejarah bisa berulang lagi,
Dalam sorak kemenangan lupakan diri.
Ah, masing-masing mencari tempat sendiri,
Tegak di atas kemelaratan kami.

Itulah bayangan zaman ini,
Kulit hanya, isi tak berganti.

1954

Sunday, August 23, 2009

SALAM RAMADHAN MUBARAK

video

Wednesday, August 19, 2009

MAHASISWA

oleh Usman Awang
(dari khemah pemogokan)


MAHASISWA dari kota tanahair bangunlah!
angkat matamu dari buku
melampaui dinding tembok
semua menunggu
mengajakmu
bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup.

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

1961

Monday, July 6, 2009

MENYEMBUHKAN BANGSA YANG SAKIT

Rencana Kritik Untuk Renungan Semua
Oleh Hilman Idham,

Penulisan ini ditulis sebaik sahaja selesai mengkhadam esei penulisan tokoh reformasi Indonesia, Amien Rais. Tajuk sama saya kemukakan kerana saya kira begitu cocok dengan permasalahan di negara ini. Namun penulisan ini saya kupas dalam kerangka yang lebih kecil; khas untuk masyarakat kampus. Menyembuhkan bangsa yang sakit adalah karya Amien Rais tentang penyakit yang melanda bangsa Indonesia yang sudah terlalu parah. Penyakit yang saya kira mampu meranapkan masa depan mana-mana negara juga rakyat terbanyak. Namun, menurut Amien Rais keparahan itu mampu disembuhkan melalui satu kalimah yakni reformasi. Di negara kita, reformasi itu sinonim dengan Anwar Ibrahim. Beliau adalah pencetus kepada gelombang reformasi 1998 yang menjadi asas kepada perubahan lanskap politik yang berlaku hari ini. Kita tinggalkan perkaitan itu kerana penulisan ini lebih rancak dan sihat dengan kritik untuk perubahan anak muda khususnya masyarakat kampus.

Perjuangan Amien Rais membawa agenda reformasi didokong oleh kebanyakan anak muda dan mahasiswa. Mahasiswa lantas bangkit berdiri bersama rakyat memperjuangkan idea-idea perubahan mereka demi kesejahteraan rakyat. Rejim Soeharto jatuh akibat penafian kuasa mahasiswa dan di negara kita penafian itu tetap berlaku dan tiada tindak balas yang hebat dari mahasiswa. Soal pendemokrasian di kampus kita sama sekali berbeda dengan Indonesia kerana demokrasi di kampus kita sudah hampir lenyap. Kerana itu demokrasi Indonesia sudah jauh di hadapan. Penulis melihat perihal ini benar-benar terpasak kukuh dan sekalipun AUKU dimansuhkan namun rohnya akan tetap menidakkan tindakan dan pemikiran mahasiswa daripada terus kritikal.

Kebanyakan mahasiswa hari ini hanya berdiam dan pasif dengan idea apatah lagi dengan tindakan. Kebanyakan mereka lebih selesa dengan apa yang ada, juga yang telah ditetapkan oleh universiti. Mahasiswa tidak lagi independen dalam mencari hala tuju dan merencana masa depan mereka sendiri. Semuanya sudah ditetapkan oleh universiti dan mahasiswa hanya duduk diam belajar dan kemudian keluar mencari kerja meskipun kegawatan ekonomi melanda dengan kebanyakan mahasiswa yang tamat pelajaran hanya menganggur. Maka, mahasiswa merelakan diri mereka mengikut arus yang tidak mereka ciptakan sendiri. Begitu juga dengan soal mahasiswa sebagai pemimpin masa depan. Jika hari ini mahasiswa menolak kesempatan untuk berpengalaman merencana masa depan mereka, itu bermakna mahasiswa sendiri mempertaruhkan masa depan mereka dan negara di tangan pemimpin yang baru mahu mula belajar bagaimana merencana masa depan rakyat dan negara.


Masalah-masalah yang dihadapi masyarakat kampus

Kesediaan mahasiswa untuk mendepani cabaran akan datang harus diletakkan ditempat yang teratas dalam usaha merencana masa depan yang baik dan gemilang. Saya begitu khuatir dengan kesediaan ini kerana tidak dapat menyaksikan kesediaan mahasiswa berpartisipasi dengan segala pembuatan dasar atau perancangan dalam hal mahasiswa sendiri apalagi dengan partisipasi mahasiswa dalam arena pendemokrasian di kampus. Terdapat pelbagai masalah mahasiswa yang bakal membawa kepada rentetan kegagalan Malaysia mencipta masa depan yang baik. Masalah-masalah yang dihadapi masyarakat kampus sudah terlalu banyak.

Antaranya ialah masalah demokrasi kampus dan penyemaian semangat kepandiran. Masalah taklid juga begitu hebat menyelubungi mahasiswa akibat tindakan pihak universiti yang tidak toleran dengan mahasiswa. Hal ini menyempitkan pemikiran dan menjadikannya lebih jumud dan rigid. Begitu juga dengan masalah demokrasi di kampus dengan kongkongan peraturan yang menafikan hak-hak mahasiswa untuk berpartisipasi sama ada dalam soal dan isu di kampus atau nasional. Proses demokratisasi kita di kampus masih jauh daripada apa yang diharapkan, universiti juga hilang wibawanya akibat pelecehan pentadbiran yang tidak putus-putus, kecenderungan untuk mempertahankan mahasiswa yang mendukong pentadbiran dan kerajaan ditambah lagi dengan ketidakpekaan mahasiswa sendiri dengan isu-isu nasional dan kampus.

Tidak semua masalah yang ditonjolkan dalam penulisan ini. Hanya sebagian yang menonjol dengan jelas.

Masalah Demokrasi Kampus

Tulisan Mohamad Abu Bakar, artikel Falsafah Perjuangan Mahasiswa dalam majalah Nadi Ilmu terbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia ketika era 70an banyak memberi kesan kepada penulisan dalam mengupas persoalan tajuk ini..

Demokrasi dalam kampus pernah mencapai tahap yang hebat suatu ketika dahulu, sebelum dan selepas Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1970 diperkenalkan. Demokrasi kampus sebenarnya tidaklah terlalu bermasalah kerana tidak semua hak-hak yang terangkum sebagai esensi utama demokrasi disekat atau dikongkong oleh pentadbiran. Masalah-masalah demokrasi yang utama ialah soal kebebasan bersuara, berhimpun, juga kebebasan akademik yakni perihal yang dilihat oleh saya sebagai yang paling buruk.

Sifat dan aksi mahasiswa sangat berbeza jika dilakukan perbandingan secara serius. Semua orang mengakui hal ini dan tiada siapa yang mempertahankannya. Permasalahan demokrasi kampus hari ini adalah rentetan dari sistem universiti yang mengabaikan suara dan pendapat mahasiswa yang bangkit mengemukakan pandangan mereka dengan berani. Penafian ini bagi saya adalah sikap bongkak pentadbiran yang tidak mahu menerima teguran atau idea-idea mahasiswa yang sering diperlekehkan sebagai idea dan teguran budak mentah dan baru setahun jagung. Ini adalah satu set ketidakpercayaan pentadbiran terhadap golongan mahasiswa biarpun golongan ini adalah golongan yang terpelajar dalam kalangan masyarakat. Hal ini yang saya perihalkan sebagai penafian hak mahasiswa untuk merencana masa depan sendiri. Semuanya perlu dilakukan mengikut kehendak pentadbiran universiti yang seolah-olah tidak pernah melakukan kesilapan walau sekali. Mahasiswa hanya sekadar mengikut apa yang telah disusun dan direncana oleh universiti.

Jika dilihat secara tegas, hal ini mempunyai kesinambungan yang baik dalam usaha menggelapkan masa depan mahasiswa dan negara. Sekatan-sekatan yang dilakukan menolak sama sekali partisipasi mahasiswa dalam segala bidang dan ruang aktivisme. Memang tidak semuanya disekat atau sudah dipinda sebahagiannya (AUKU) tetapi mahasiswa tetap tidak akan melakukan sebarang aksi kerana roh yang sudah di tiupkan bahawa segala apa yang dilakukan adalah bertentangan dengan peraturan dan bakal menerima hukuman bagi yang melakukannya. Maka suasana kampus; sebagai zaman peralihan mereka yang seharusnya dinikmati oleh mahasiswa tidak lagi menjelma. Hanya suasana seperti itu yang akan memupuk intelektualisme dan personaliti mahasiswa menjadi yang lebih hebat. Demikian yang disaksikan sebagai peranan sebenar mahasiswa oleh Robert Liebert;

“In the university milieu, he is subjected to what has been described as the ‘subversive’ function of the university: to expose, interrelate, and ultimately question the foundations of the society”.

Mahasiswa adalah sebagai satu badan semak dan imbang (check and balance) bagi sesebuah universiti. Kerana itu kebiasaannya, mereka dilihat sebagai penentang atau pembangkang kepada pentadbiran universiti. Kita akui bahawa tidak semua yang dirancang dan cadangkan oleh mahasiswa itu adalah terbaik dan betul, tetapi kita juga harus akui bahawa tidak semua yang dilakukan oleh pentadbiran itu betul dan terbaik buat mahasiswa. Maka harus ada satu ruang partisipasi bagi semua pihak agar setiap rencana menjadi yang terbaik.

Demikian juga dengan kebebasan akademik yang saya perihalkan sebagai fenomena paling buruk yang bakal merosakkan masa depan negara. Hasilnya, Malaysia tidak akan mampu menghasilkan tokoh dan pimpinan negara yang hebat dan berkualiti pada masa akan datang. Melihat kepada suasana dan persekitaran universiti hari ini, semuanya bakal musnah jika tidak dibangunkan kembali. Universiti hari ini tinggal sekadar bilik kuliah dan kolej kediaman serta bangunan milik pentadbiran. Mahasiswa hanya datang ke kuliah, kemudian kembali ke asrama dan ke bangunan pentadbiran untuk membayar yuran pengajian. Berbeza dengan mahasiswa yang dahulunya menjadikan bangunan pentadbiran sebagai sasaran utama berdemonstrasi! Namun, bukan itu yang mahu kita bicarakan. Universiti hari ini tiada lagi diskusi-diskusi yang kritikal, tiada lagi menghasilkan pimpinan mahasiswa dan pensyarah yang tulisannya kritikal dan hebat, tiada lagi pensyarah-pensyarah yang tegas dan hebat mempertahankan hujah-hujah akademik mereka. Semuanya tunduk kepada kekuasaan AUKU yang menutup ruang akademik. Sedangkan pensyarah yang memberikan pendapat kepada media juga diberikan amaran apa lagi pelajarnya.

Mengapa hal ini berlaku? Prof D.J. Harris dari Univerisiti Nottingham berpendapat, apabila kita membicarakan hal-hal akademik khususnya hal undang-undang secara kritikal, kita tidak dapat lari daripada tindakan memalukan kerajaan. Prof Abd Aziz Bari dalam Politik Perlembagaan pula menyifatkan bahawa hal ini bukanlah sesuatu yang disengajakan kerana jika kita teliti secara kritikal atau tidak sekalipun, kerajaan adalah badan yang paling banyak menafikan hak-hak orang awam. Maka, kita merumuskan bahawa hanya komentar yang tidak kritikal kepada pihak-pihak itu yang akan dibenarkan.

Kebebasan akademik seharusnya diberikan kepada semua bagi menjamin masa depan negara kerana universiti adalah tabung ilmu masyarakat. Kadang kala kita sedikit jumud dengan mengatakan hanya sarjana-sarjana sains sosial yang disekat. Ia juga sebenarnya turut berlaku pada sarjana-sarjana sains fizikal. Sebagai contoh, kawalan alam sekitar dan sains nuklear dan sebagainya turut disekat bila berbicara soal dasar kerajaan. Mengapa mereka harus disekat sedangkan mereka adalah orang-orang yang terdidik dengan ilmu-ilmu yang mengkhusus kepada soal dasar tersebut. Kerana itu Prof. Andrew Harding menghujahkan bahawa akta-akta yang mengawal seperti Akta Penerbitan, Akta Mesin Cetak, juga termasuk AUKU membuatkan kebanyakan pensyarah berfikir beberapa kali sebelum memberi komentar. Prof P. Ramasamy dan Allahyarham Rustam Sani juga percaya bahawa AUKU telah menyekat suasana yang sihat dan bebas dalam membentuk kematangan masyarakat kampus kerana ia bukan saja memberi impak negatif kepada aktivisme pelajar tetapi juga pensyarah-pensyarah. Percayalah bahawa suatu hari nanti hal ini bakal memberi kesan dan masyarakat akan merasainya.


Taklid, akibat fenomena Pandir.

Taklid ini saya takrifkan sebagai jumud dan membabi buta. Sikap mahasiswa yang hilang pendirian dari segenap aspek adalah fenomena yang berlaku akibat semangat kepandiran yang tersemai di segenap pelosok kampus. Pemikiran yang jumud serta mempelopori sesuatu isu secara membabi buta adalah asas kepada kehancuran generasi akan datang. Logiknya, sikap dan semangat ini juga menjadi penyebab persatuan-persatuan mahasiswa terutama di dalam universiti tidak lagi mempunyai kredibiliti bagi mewakili mahasiswa. Persatuan-persatuan pelajar hari ini tidak lagi mahu mengutarakan pendirian atau pandangan masing-masing kerana terdapat sokongan atau pendirian tentang satu-satu isu itu kerana sikap taklid dan jumud. Mahasiswa tidak lagi kritikal lantas bertindak sebagai agen yang menggagaskan idea-idea baru serta mengutarakan pandangan-pandangan yang kritikal. Mahasiswa hari ini ternyata gagal mencipta masa depan sendiri. Taklid itu bakal melumpuhkan seluruh daya kreatif mahasiswa yang harus ada dalam satu-satu gerakan.

Begitu luasnya sikap taklid dalam kalangan mahasiswa sedangkan mereka adalah masyarakat yang terpelajar dan tinggal di dalam universiti. Belum lagi kita fikirkan bagaimana masyarakat belia yang tidak berkelayakan masuk ke universiti. Maka hal ini adalah proses induk kepada kehancuran masa depan negara.


Perkauman walau sudah lebih 50 tahun Merdeka

Belajar dan tinggal di kampus Universiti Kebangsaan tidak semestinya bebas daripada sifat dan nilai-nilai perkauman. Berbeda sama sekali dengan perkataan kebangsaan. Mungkin dalam era 1 Malaysia ini kita harus belajar supaya mengubah dan memperbaiki dasar dan perkara asas dalam universiti supaya berpadu dengan lebih kuat. Bukan hanya bergantung pada struktur yang seolah-olah perkauman itu tidak wujud sama sekali dalam masyarakat kampus. Arus perubahan yang melanda politik negara setelah lebih 50 tahun merdeka adalah sebagai instrumen yang harus kita ambil iktibar dan tauladan.

Mahasiswa adalah aset yang paling berharga dan harus dipelihara. Namun bukan untuk dipelihara oleh universiti, tetapi mahasiswa harus memelihara diri sendiri. Saya kira perkauman di kampus adalah hasil konstuksi sistem dan persekitaran universiti yang tidak menggalakkan semangat perpaduan. Baik dari soal politik kampus, sistem pembelajaran, kolej kediaman mahupun mata pelajaran hubungan etnik, masih tiada yang sihat dan menggalakkan semangat perpaduan.

Begitu juga dengan perkaitan masalah taklidisme tadi. Sokongan mahasiswa terhadap parti-parti politik juga mendukung perkembangan masalah perkauman yang dashyat di universiti. Tiada masalah untuk mahasiswa menyatakan sokongan masing-masing kepada mana-mana parti politik. Namun masalah taklidisme ini tadi yang membawa kepada kepada perkauman. Kita harus melihat struktur politik negara ini yang masih lagi berlandaskan kepada perkauman. Maka, sokongan yang membabi buta terhadap parti ini kadangkala membawa kepada keruhnya hubungan baik antara kaum baik di dalam mahupun di luar universiti. Di tambah pula apabila kebanyakan parti politik memanipulasi semangat perkauman untuk melariskan parti mereka.

Pernah saya terfikir. Mengapa mahasiswa harus terikut-ikut dengan politik di luar. Benar tidak salah dan harus diingat bahawa ia juga tidak semestinya betul. Mengapa mahasiswa yang terpelajar dengan nilai-nilai perpaduan, semangat bermasyarakat dan soal integrasi antara kaum terikut-ikut dengan nilai perkauman yang di api-apikan oleh politikus di luar? Apakah mahasiswa sudah tidak kritikal dengan pandangan-pandangan ini. Bila di fikir-fikirkan maka itulah jawapannya yakni taklidisme atau membabi buta.