Thursday, December 16, 2010

Melepaskan Keterikatan Universiti


Selepas pendedahan penglibatan sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Perhimpunan Agung UMNO, keadaan sudah mulai reda dan tidak ada bising-bising lagi tentang kes UKM4.

Situasi ini saya fikir mungkin atas dua sebab; Pertama, kerana universiti sendiri terlibat dengan hal keterlibatan mahasiswa di Perhimpunan Agung UMNO dan tidak mahu isu ini diperbesarkan sebagaimana kes UKM4 dan kedua kerana usul membenarkan mahasiswa menganggotai parti politik dalam Perhimpunan Agung itu diterima baik oleh sebahagian besar perwakilan yang hadir.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilihat sudah mulai menjadi kritikan dan wacana bukan hanya wakil oposisi dan aktivis mahasiswa, tetapi juga publik. Biar tidak disebut secara langsung, namun isi dan kritikan terhadapnya pasti dibangkitkan tiap kali bercakap tentang pendidikan negara.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO, soal mahasiswa ini turut diperbincangkan.

Hal yang sama juga muncul dalam perbahasan usul semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat yang baru selesai berlangsung.

Namun, ada satu perkara yang punya signifikans yang besar bagi saya dan tidak dibangkitkan oleh mana-mana politisi. Maka menjadi tanggungjawab untuk menolak hal ini kepada khalayak publik.

Hal yang sangat penting ini diyakini adalah agenda besar jika kita mahu adakan revolusi pendidikan di negara kita. Mungkin kerana itu belum ada politisi yang mahu bawa idea ini ke hadapan biarpun seorang politisi muda yang seharusnya peka dengan sentimen di kampus dan mahasiswa.

Dengan sedar saya menulis, biar telah diingatkan oleh teman-teman bahawa “kau akan dianggap tidak berpijak di bumi nyata”.

Perkara besar ini – idea untuk melepaskan keterikatan universiti daripada parti politik. Maksudnya, segala keputusan dalam hal-hal universiti tidak dibuat oleh parti politik biarpun secara kolektif dalam perhimpunan agung atau kongres parti.

Hal ini sudah lama dibangkitkan. Pertama kali saya lihat melalui kemarahan beberapa teman rapat tentang isu membenarkan mahasiswa berpolitik. Isu ini diperbincangkan dalam mesyuarat kabinet. Setelah gagal – Timbalan Menteri mahu ia dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Kemarahan timbul atas persoalan yang saya kira paling asas. Mengapa keputusan tentang hal kita (mahasiswa) ini harus dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat sebuah parti politik? Apakah universiti ini kepunyaan parti politik atau bagaimana?

Ternyata punya tangan yang mencampuri urusan mentadbir pelajar di kampus – dan ia bukan lagi “tangan ghaib”. Jelas sekali, keputusan yang bakal dibuat juga adalah keputusan politik.

Kabinet yang dipilih memutuskan–Pak Menteri yang dilantik jalankan perintah–Naib Canselor yang dilantik juga menjalankan perintah–Masharakat kampus cuma tinggal ikut perintah.

Ini adalah kegagalan besar dalam sistem pendidikan negara. Punca utama kegagalan perkembangan ilmu dan intelektualisme. Ingat, bukan hanya mahasiswa, akademia turut dikawal supaya tidak kritikal dan kreatif.

Saya ulang sebuah puisi;

Khabar-khabar telah tiba berterbangan,
Tuan-tuan terjulang dalam kemenangan,
Segala janji dalam manis kata-kata:
‘Kami diturunkan untuk membela rakyat jelata.’

Derai sorak di zaman ini,
Belum bererti menjadi pasti,
Kalau hanya pemimpin sendiri,
Sedang kami tertindas lagi.

Puisi Usman Awang ini saya kira cukup indah bagi mengungkap situasi hari ini.

Buat Menteri, Timbalan Menteri dan Naib Canselor yang berkuasa–kamu itu tak punya absah di kampus biar kamu berkuasa. Buatlah kampus ini bagai kamu yang punya. Agar nanti kamu itu bisa dipilih lagi. Biar yang lain (masharakat kampus) menjadi mangsa, agar kamu kekal kuasa.

Lebih mengecewakan–ia turut berlaku dalam Kongres Parti Keadilan Rakyat.

Entah dari mana datang sokongannya, dicadang mahu lantik mantan Timbalan Presiden sebagai Canselor di sebuah kampus. Malang sungguh mahasiswa dan bakal mahasiswa; bila orang seperti ini yang mengaku tercerah dan mahu mencerahkan semua.

Saya lihat, ini masalah dalam pemilihan parti yang akhirnya mereka terbawa-bawa. Yang mengaku tercerah dan mahu bawa pencerahan ini hampir semuanya jenis ikut-ikut.

Harusnya faham cogan kata pencerahan; Sapere aude! – Beranilah menggunakan kefahaman sendiri!

Jangan ikut-ikut nanti jiwa jadi hamba.

Tapi hal ini bukan suatu yang pelik. Yang punya kuasa itu pasti mahu pertahan kekuasaannya. Maka yang menang juga harus fikir cara untuk pertahan kemenangannya.

Saya yakin dan percaya bahawa calon yang mereka cadangkan itu punya kelayakan dan kemampuan. Tapi saya bawa permasalahan yang lebih dasar. Keterikatan universiti dan parti politik itu merosakkan. Kita tidak mahu ia dikawal selia oleh kuasa. Kerana itu kita mahu keterikatan dengan parti politik itu diputuskan. Kita bimbang parti itu berkuasa.

Mungkin hari ini kita punya calon yang berkelayakan, tapi selepas itu bagaimana? Mahu cari siapa sebagai pengganti?

Autonomi itu harus kita serah kembali kepada universiti dan masharakatnya. Kerana itu kita tolak AUKU memberikan kuasa penuh kepada menteri untuk melantik Naib Canselor. Kerana nanti ia akan punya kecenderungan untuk menjaga orang yang melantiknya.

Harusnya, universiti punya satu majlis yang terdiri daripada pentadbir, akademia, dan mahasiswa yang mewakili semua segmen di kampus. Merekalah yang selayaknya mencadangkan, memilih dan membuat keputusan bagi kampus mereka.

Tak perlulah dibincangkan dalam parti politik mahupun kabinet. Tidak perlu keputusan di kampus itu punya keterikatan lagi sama pemerintah. Biarkan ia bebas dan pencerahan di kampus akan berlaku.

Saya cukup yakin dan percaya pencerahan itu akan berlaku setelah keterikatan itu diputuskan.

Maka yakin dan beriktikadlah wahai pendokong pencerahan, bahawa kamu itu perlu membebaskan mereka (masharakat kampus) daripada mengikut pencerahan yang kamu sendiri rangkakan; yang tidak memberi mereka ruang untuk berfikir dan menggunakan kefahaman sendiri!

Bandar Baru Bangi
1 Muharram / 1432 Hijrah

*Tulisan ini turut diterbitkan di JalanTelawi.com

No comments: