Thursday, May 14, 2009

MENGENAL ERTI DEMOKRASI 2

Demokrasi yang terkenal dalam sejarah Amerika diberi oleh Abraham Lincoln yang banyak menggabungkan idea dengan Jefferson dalam perkembangan pemikiran politik Amerika. “Pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.” Istilah tulen pula datang hasil idea Herodotus yakni dari gabungan dua perkataan Greek iaitu Demos dan Kratia yang bermaksud; Rakyat dan Pemerintahan. Pemerintahan oleh rakyat adalah asas bagi terma dan konsep demokrasi. Namun, demokrasi yang sebenar perlu berasaskan beberapa pencirian; soal kuasa terakhir membuat keputusan, peluang yang adil, mengambil kira kepentingan semua, kemenangan bagi yang majoriti semuanya harus diambil kira. Konflik politik yang berlaku seringkali dijadikan alasan demokrasi tidak dapat diteruskan bagi mengekalkan kestabilan negara. Hal ini yang sama berlaku di negara ini tatkala reformasi 1998 beransur deras membawa gelombang demokrasi tulen. Letusan itu akhirnya gagal hasil alasan pemerintah lantas membunuh pendewasaan amalan berpolitik bagi mematangkan arena pendemokrasian.

Friday, May 8, 2009

MENGENAL ERTI DEMOKRASI 1

Sudah banyak pertikaian dan hujah antara yang menghukum dan mempertahankan demokrasi.

Sedang pergolakan politik yang berlaku di peringkat nasional dan internasional, kebanyakan sudah mulai melatah. Memetik kata-kata Tun Mahathir “…the disadvantage of democratic process is that it satisfies no one. Authoritarian rule can at least produce a stable strong government.” Maka, ramai yang mulai percaya dan gusar dengan situasi hari ini lebih-lebih apabila melihat negara-negara jiran yang masih dalam pergolakan. Apakah demokrasi akan menjadikan keadaan huru-hara? Dan apakah benar kata-kata Mahathir bahawa demokrasi tidak menjanjikan kebaikan? Perkataan demokrasi itu adalah satu perkataan yang sudah digundikkan kepada semua orang dan ia adalah perkataan yang paling kacau. Kebenaran yang diketengahkan oleh sarjana Lipset ini dapat diaplikasikan dalam politik negara kita. Pemimpin mana yang berani mengatakan sistem, perjuangan dan pentadbiran mereka tidak demokratik? Baik Mahathir, Najib atau Anwar, semuanya pasti tidak untuk memperakuinya. Semuanya kerana idealisme demokrasi bergerak selari dengan perkembangan konsep negara bangsa, keadilan sosial, kehendak umum, penyertaan rakyat dan hak rakyat.