Thursday, July 31, 2008

PERJUANGAN ATAU PEMBERIAN 2



“……sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah, saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang gerila ini. Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai kemerdekaan……” – Abdullah C.D.

“…… PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaa. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan Malaya……” – Rashid Maidin

“…… Nak berjuang sacara damai atau sebaliknya pada masa itu bukan ditentukan oleh kita semata-mata, tetapi pada pokoknya oleh British. Kalau British sudah mengisytiharkan Undang-undang Darurat, mengharamkan semua parti dan pertubuhan patriotik, melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh negara. Dalam situasi begini, saya rasa, kita tidak dapat tidak mesti mengangkat senjata. Ia dipakskan ke atas kita. Dalam agama Islam pun diizinkan berperang untuk menegakkan keadilan melawan mereka yang zalim……” – Abu Samah

Berikut adalah petikan kata-kata tokoh golongan kiri dalam sebuah buku yang pendeta baca.

Perjuangan sayap kiri seharusnya diangkat martabatnya supaya generasi masa kini lebih memahami dan mengerti sirah perjuangan bangsa. Terus kepada perjuangan golongan kiri yang berjiwa Jebat si pembela. Mereka bermati-matian dengan bermandi darah berjuang demi merdeka. Walaupun mereka komunis tetapi perjuangan mereka tetap ada. Mengapa negara kita tidak seperti Indonesia yang tidak pernah lupa diri dengan menganugerahkan pingat jasa kepada bekas ahli PKI walaupun ramai yang telah pergi. Negara kita bukan hanya tidak beri pingat, Chin Peng pun dilarang menjejakkan diri ke Malaysia.

Mungkin ramai yang serong terhadap komunis dan pendiriannya. Bagi saya terdapat dua golongan komunis yang berpendirian dan yang tidak. Akan tetapi fokus hanya kepada gerakan di negara kita yang berpendirian untuk menuntut merdeka. Kita ambil contoh fakta yang mengatakan komunis golongan sekular yang tidak beragama. Apa rasionalnya? Rejimen 10 Parti Komunis Malaya yang terdiri dari Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Ibrahim Chik, Mat Indera dan lain lagi. Adakah mereka tidak beragama? Nama Rejimen 10 sendiri diberi kerana ditubuhkan pada 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Korban maka itu namanya Rejimen ke 10. Rashid Maidin sendiri sebagai pemimpin rejimen mengambil upah mengajar quran selepas selesai peristiwa Perjanjian Haadyai.

Bukan bermaksud untuk mengatakan bahawa semua golongan kiri adalah komunis. Akan tetapi, prinsip perjuangan mereka semua hampir sama iaitu berjuang menuntut kemerdekaan mengikut prinsip Tan Malaka; ‘Merdeka 100%’. Mereka tidak mahu berkompromi dengan penjajah untuk mendapat kemerdekaan. Inilah yang membezakan perjuangan gerakan kanan dan kiri.

bersambung...

Tuesday, July 29, 2008

PERJUANGAN ATAU PEMBERIAN 1


Adakah semudah itu British memberi kemerdekaan kepada kita? Rundingan yang dilakukan adakah dikira sebagai satu perjuangan? Banyak isu yang harus di kupas secara kritikal dalam membahaskan soal kemerdekaan. Bermula dari sekolah lagi, anak-anak kita telah di ajar bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu dipelopori oleh parti UMNO. UMNO memperjuangkan kemerdekaan hingga ke London dan akhirnya kemerdekaan dicapai pada 31hb Ogos 1957. Hanya itulah yang diketahui oleh generasi muda kini. Semuanya hanya kenal kepada Tunku Abdul Rahman dan Dato’ Onn seolah-olah hanya mereka yang memperjuangkan kemerdekaan. Cuba disoal pula siapa Ahmad Boestamam, Ibrahim Chik, Sutan Jenain dan Shamsiah Fakeh? Pasti tergamam semuanya. Tetapi itulah fungsi sekolah sebagai institusi yang hegemoni. Sekolah hanya menerangkan perkara yang dipelajari dalam silibus untuk memastikan pelajarnya lulus cemerlang.
Perjuangan menuntut kemerdekaan itu terlalu luas skopnya. Terlalu ramai tokoh yang harus dikenali bagi merumuskan segala kejadian. Perjuangan oleh UMNO tidak harus kita nafikan kerana walaupun hanya rundingan yang berlaku tetapi pelaksanaan kata-kata dan janji Tunku untuk memerdekakan negara selepas pilihanraya adalah satu perjuangan.

Namun begitu, mengapa harus kita nafikan perjuangan Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Boestamam mahupun Chin Peng dan Rashid Maidin. Mereka turut berjuang dengan cara mereka sendiri. Sewajarnya, nama mereka ini turut diangkat sehebat nama Tunku dan persatuan mereka juga harus diangkat sebagaimana UMNO yang di julang hari ini. Adakah kerana mereka golongan kiri maka perjuangan mereka dinafikan? Kita harus fahami fakta sebelum membuat sebarang andaian. Siapa yang mula-mula menghidupkan slogan “Merdeka”? Semuanya bermula dengan gerakan kiri sedangkan UMNO pada ketika itu masih berkhayal dengan slogan “ Hidup Melayu”. Pastinya ramai yang terlepas pandang akan hal ini tetapi ketelitian adalah signifikan bagi memahami sejarah perjuangan bangsa merdeka.
bersambung....

Sunday, July 27, 2008

AYUH BERSAMA...

Hari ini, satu lembaran baru dalam hidup. Walaupun baru beberapa ketika ditimpa musibah, namun jiwa tetap gembira kerana beberapa orang teman sudah berganjak paradigmanya. Sudah dua temanku yang kini sama-sama berkongsi gaya penulisan denganku. Harapan agar penulisan kami tidak hanya sekadar omongan dan retorik semata-mata. Biarlah hasil tulisan ini mengajar kami erti yang lebih bermakna untuk mencari erti kehidupan sebenar. Semoga tulisan-tulisan ini mengangkat kami menjadi penulis sehebat Orhan Pamuk, Deliar Noer dan tokoh-tokoh penulisan dunia!

Friday, July 18, 2008

HANG JEBAT VS HANG LEKUK

Sejarah perkembangan baru orde politik tanah air telah terlakar apabila buat pertama kalinya berlaku pertembungan dua idealisme politik yang berbeza. 4.4 juta penonton menonton pertembungan idealisme ini. Namun pertandingan ini tidaklah sehebat pertembungan Tuah dan Jebat, tetapi hanyalah pertembungan Jebat dan Hang lekuk (watak dalam majalah UJANG). Jebat pembela turun dengan penuh bunga silatnya walau tidak berkeris taming sari. Ke mana Taming Sari? Nanti kita fikirkan. Hang Lekuk pula tampak bersedia dari gayanya membuka langkah tapi belum tentu tikamannya terkena Jebat yang lincah. Siapa yang menang? Satu lagi persoalan yang di tanya kepada pendeta oleh teman-teman. Jika di fikir dari logik akal yang diberi oleh tuhan sebagai kurnia hambanya, mana mungkin watak Ujang menang bertarung dengan watak Hikayat Melayu. Mustahil! Ini tidak akan berlaku kerana dari prinsipnya sendiri setiap kali Si Lekuk membuka langkah pastinya pembaca Ujang akan tergelak. Mana mungkin ada manusia yang membaca Hikayat Melayu dan bergelak ketawa. Tapi itu hanya dari logiknya. Ada juga pendapat yang mentafsir dari segi magis. Katanya, Hang Lekuk pasti berjaya kerana Hang Jebat hanya kebal dengan Taming Sari begitu juga Tuah. Sinar Harian 18 Julai menafsir Si Lekuk menang besar dan pandeta sama sekali tertawa melihatnya. Akan tetapi, pendeta percaya bahawa itu hanya tajuknya dan apabila membaca isinya, lantas pendeta memujinya. Benarlah Si Lekuk menang kerana keberaniannya. Tahniah! Si Lekuk memang wajar diberi penghargaan kerana keberaniannya membuka gelanggang. Kasturi, Lekir dan Lekiu semuanya terpaksa menunggu Tuah hidup semula untuk mencantas Jebat dari dunia. Tapi, Lekuk ibarat perwira melompat dari Ujang ke Hikayat untuk beradu dengan tokoh persilatan Melayu. Dari segenap sudut tikamannya ditepis Jebat. Sememangnya ramai yang tahu, sirah pertapaan Jebat terlalu hebat dan begitu tenang dia menangkis tikaman. Balik kepada persoalan ke mana perginya Taming Sari? Pendeta yakin Taming Sari masih di tangan Jebat dan tidak mungkin Jebat bertaming sari menentang jaguh Ujang. Sedangkan pertarungan dengan Tuah sendiri lagi dipulangkan keris itu inikan pula jaguh baru. Pastinya, Taming Sari itu di simpan bagi menanti pahlawan lain turun gelanggang atau mungkin berlaku pertarungan TUAH dan JEBAT sekali lagi dan Jebat tidak akan memulangkan Taming Sari buat kali kedua...
*Lihat video di bawah. (Jebat Si Pembela).

Wednesday, July 16, 2008

PILIHAN MANA YANG BENAR?

Atas nama perjuangan agama dan kebebasan beridealisme, satu pertemuan telah diadakan. Pendeta dijemput agar menyatakan pendirian. Sudah tentu setiap perbincangan itu ada yang kontra. Namun perbincangan tetap baik. Pendeta lantas meminta sedikit pandangan daripada teman. Menunggu SMS darinya, perbincangan diteruskan tentang isu-isu semasa yang menakluk dunia Malaysia hari ini. Dari segi kritikalnya, pendeta masih memerlukan masa untuk mengkhadam semua prinsip perjuangan lantas bersama secara total mengetuai dan mengikuti arus perjuangan itu. Mungkin terlalu besar tanggungjawab untuk dipikul jika bersama dalam perjuangan membuatkan pendeta harus berfikir. Jangan terburu-buru membuat keputusan kerana prinsip yang ku pegang sekali melangkah terus memacu. Hah, SMS tadi sudah berbalas. Balasannya amat positif. Bukan kerana orangnya yang agak istimewa tetapi sememangnya dia amat memahami. Sambung kepada diskusi yang sudah agak panjang, pendeta menyusun hujah supaya setiap hujung pangkal itu lengkap dan dapat diterima. Agak membanggakan, semua prinsip-prinsip pendeta dapat mereka terima. Beralih pula kepada perjuangan yang mendapat tentangan dari lawan. Pendeta berpendapat, kita akan terima tentangan itu kerana kita berlawan bukan kerana kita anak jantan, tetapi kita ada prinsip. Kita berlawan atas dasar prinsip. Kita mahu jadi hebat atas dasar perjuangan. Kita mahu menang kerana kita ada package yang lebih baik. Tapi adat bertanding mestilah adil dan telus. Jika tidak akan ku gempur habis-habisan!

Tuesday, July 8, 2008

PENDIDIK UMMAH


Genap seminggu melenyapkan kekaburan di varsiti, pendeta sudah mula mengorak langkah ke setiap pelusuk lapangan. Terhenti langkahan dihadapan gedung buku dan sengaja melihat karya-karya baru. Akhirnya, terjumpa sebuah karya milik penulis yang berasal dari Bengkalis. Orangnya ku kenal, teman baik ayahanda yang kini menetap di Brunei. Karyanya amat menarik perhatian ku. "Mohammad Natsir ; Pendidik Ummah". Memang sangat menarik tajuk itu. Hanya memerlukan masa sehari untuk pendeta khatamkan. Karya itu mengupas sejarah hidup, perjuangan, dan idealisme Pak Natsir yang juga pemimpin Parti MASYUMI yakni persatuan Islam terbesar Indonesia ketika itu. Beliau lah nasionalis yang menzahirkan pendidikan berteraskan Islam dengan menepati keperluan duniawi dan ukhrawi. Sememangnya perjuangan tokoh ini gah di perkatakan di serata dunia hingga negara matahari terbit juga memberikan pengiktirafan kepadanya. Pak Natsir sememangnya tokoh yang beridealisme hebat, lantang berdebat, dan sentiasa terbuka. Tokoh pejuang ulung bukan hanya di Indonesia tetapi juga di dunia.