Sunday, August 31, 2008

SALAM AL MUBARAK

"Sesungguhnya orang yang bergembira bila menjelang bulan Ramadhan itu tidak akan disentuh api neraka akan jasadnya di akhirat kelak"
Selamat Menyambut Bulan Ramadhan buat semua ahli keluarga, rakan-rakan, dan semua muslimin muslimat. Semoga segala ibadah kita dalam bulan yang berkat dan barakah ini diterima olehNYA..insyaallah, AMIN.

Wednesday, August 27, 2008

PULANG PADA HIDUP ASAL

Hari ini, semuanya kembali kepada asal. Anwar kembali ke Parlimen. Para petugas pilihanraya juga kembali pulang bekerja. Anak-anak kembali bersekolah. Semuanya adalah apa yang berlaku pada hari ini. Bagaimana pula dengan diri seorang pendeta? Bila ingin kembali pada hidup asal? Atau sudah tegar hati ingin terus memburu kota sosialis? Pulang atau tidak jawapan masih buntu mencari satu sinar yang terlalu sukar dijumpai umpama mencari sang lailatulqadar yang hanya kepastiannya dalam bulan Ramadhan.

Tuesday, August 26, 2008

PENANTIAN 10 TAHUN BERAKHIR

KEPUTUSAN PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH (P44):


Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan): 31,195 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258
Peratus keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi

Monday, August 25, 2008

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA


Tarikh 31 Ogos merupakan satu tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia. Ia menandakan kita merdeka dari penjajahan yang sudah sekian lama menzalimi serta menindas. Beberapa hari lagi maka genap 51 tahun kita merdeka, 51 tahun sudah negara tercinta ini bebas dari penjajahan yang menindas. Namun kita melihat selepas 51 tahun keadaan menjadi lebih buruk. Pengangguran bertambah berkali-kali ganda, inflasi berada di paras tertinggi dalam sejarah yang mengakibatkan kenaikan harga barang secara mendadak, manakala kerajaan tidak mampu untuk menurunkan harga minyak ke paras yang munasabah bagi mengurangkan beban rakyat.
Kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO sudah tempang dan gagal memenuhi hasrat rakyat yang inginkan perubahan demi kehidupan yang lebih baik, makmur, harmoni dan adil. Akan tetapi kita kesal demi menggelincirkan proses perubahan, Barisan Nasional sanggup untuk menggunakan politik fitnah dan adu domba.
Saya menyeru penduduk Permatang Pauh agar bersama-sama menolak segala penipuan dan kezaliman yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional. Mari kita kuatkan iltizam serta perkukuh tekad perjuangan di dalam kita melawan fitnah serta perancangan jahat Barisan Nasional yang diketuai UMNO. Marilah kita merdeka dari politik fitnah dan adu domba ini.
Teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan anbiya lainnya seharusnya dijadikan iktibar. Saya menyeru kepada mereka yang terbabit supaya jangan menghina Syariah demi kepentingan politik. Kemukakan bukti dan saksi di Mahkamah Syariah bukannya bersumpah demi memenuhi nafsu politik semata!

26 Ogos 2008, undilah saya demi untuk keluar dari kesengsaraan hidup, rasuah dan kerencatan ekonomi. Bersempena bulan Merdeka ini marilah kita bersama-sama di Permatang Pauh ini mendakap semangat merdeka yang sebenarnya. Kita sampaikan kepada rakyat sudah tiba masanya untuk merdeka dari kesengsaraan hidup, merdeka dari rasuah dan merdeka dari keadaan ekonomi yang lembap. Marilah kita Memerdekakan Rakyat! Demi Memerdekakan Negara!

ANWAR IBRAHIM
posted by anwaribrahim office

SALAM KEMERDEKAAN RAKYAT!

BERHASILKAH KE PUTRAJAYA?

Pilihanraya kecil Permatang Pauh bagaikan sebuah memoir klasik yang bakal menjadi pertembungan terbesar seorang tokoh gerakan sepanjang usianya sehingga ke hari ini. Siapa yang tidak kenal dengan nama Anwar bin Ibrahim? Seorang mahasiswa pemberontak yang memimpin gerakan pelajar tanpa sedikit gentar ketika zaman evolusi sedang bergelora dahulu. Kini, nama ini terpapar di kertas undi yang bakal menjadi penentu lanskap baru poltik tanah air.

Pelbagai faktor perlu diambil kira bagi menentukan siapa juara antara tokoh gerakan dan pejuang Melayu yang fasih berbahasa Lai Teck. Anwar Ibrahim vs Arif Shah Omar Shah. Pelbagai persoalan wujud dalam jangka hayat kempen ini. Adakah benar dakwaan Anwar akan berjaya menjatuhkan kerajaan BN dan menubuhkan kerajaan baru Pakatan Rakyat dengan beliau sebagai PM? Apa akan berlaku sekiranya beliau tewas dalam perebutan tersebut? Semua ini adalah persoalan yang menghantui perasaan rakyat hari ini.

Ramalan paling hebat ketika ini adalah Anwar akan menang tetapi atas majoriti yang kurang berbanding Wan Azizah ketika PRU 12 yang mana tsunami politik terbesar tanah air melanda. Adakah ramalan ini benar atau hanya omongan untuk menyedapkan hati penyokong dan rakyat haluan kiri dan hanya sekadar mengusarkan mereka di pihak kerajaan?

Perspektif apa yang harus dilihat sebagai perincian bagi analisis yang dibuat?

Pertama ialah pola peratusan keluar mengundi. Peratusan keluar mengundi adalah antara elemen panting dalan pengundian. Peratusan keluar mengundi setakat ini dijangka akan lebih tinggi berbanding PRU 12. Mengapa? Terjahan pemikiran bahawa rakyat Permatang Pauh adalah penentu masa depan negara ditambah dengan kempen Pakatan bahawa mereka bukan sahaja mengundi seorang ahli parlimen tetapi juga mengundi seorang yang bakal mengubah hala tuju negara dengan jawatan PM. Harapan rakyat yang bersandarkan kepada mereka pasti menyebabkan semangat yang berkobar untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara. Faktor lain seperti cuaca, tarikh dan sebagainya dilihat tidak cukup menyakinkan untuk mempengaruhi peratusan keluar mengundi secara total.

Kedua ialah trend pengundian. Trend ini adalah berdasarkan faktor tsunami politik yang melanda bahawa undian orang bukan Melayu malah orang Melayu sekalipun masih bersama Pakatan Rakyat. Isu sentimen yang dimainkan dilihat tidak begitu mempengaruhi undian berdasarkan kebangkitan kesedaran politik yang tinggi dikalangan masyarakat Permatang Pauh. Pasca PRU 12 ini dilihat benar-benar merangsang kematangan rakyat unutk berpolitik. Acuan yang telah mereka bina dengan menolak BN dengan majoriti yang agak besar dilihat tidak sedikit pun goyah. Maka kebarangkalian untuk mereka mengubah haluan disaat akhir tidak kelihatan sehingga ke hari ini menjelang tidak sampai 24 jam untuk proses pengundian.

Ketiga adalah kerusi warisan. Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga Anwar adalah keluarga paling dikenali di sekitar Permatang Pauh. Kerusi parlimen itu pernah dimenangi oleh ayahandanya pada tahun 1969 selama satu penggal. Selepas agak lama disandang oleh Hj Zabidi Ali yang mewakili PAS, Anwar dilihat sebagai ‘Giant Killer’ dengan merampas kerusi tersebut bagi mewakili BN dan kemudian beralih kepada Wan Azizah sebagai pejuang kepada nasib Anwar ketika gelombang 1998. Maka faktor ini dilihat antara yang memainkan peranan penting dalam pemilihan wakil penduduk ke Parlimen.

Faktor pemilihan Arif Shah sebagai calon dengan kefasihannya berbahasa Mandarin tidaklah satu faktor yang bakal menghumban undi masyarakat Cina kepada Anwar. Trend pengundian Cina masih tidak berubah walaupun diakui Arif Shah adalah antara wakil Rakyat yang hebat dan berwawasan. Sepanjang tempoh kempen, beliau kelihatan terlalu obsess menggunakan kebolehannya itu sehingga dilihat mengendahkan kepentingan masyarakat Melayu dan India. Ini pasti akan menjejaskan pengaruh dan memberi impak kepada jumlah undian yang bakal diterimanya. Sementara masyarakat pula melihat faktor Anwar yang ternyata sebagai seorang pemidato dan mampu menarik perhatian masyarakat dalam setiap ucapannya.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai satu ancaman terbesar BN mengekalkan kuasanya. Selangkah Anwar ke Parlimen pasti mengegarkan jiwa setiap wakil BN dalam dewan lebih-lebih lagi menjelang pembentangan belanjawan negara. Tarikh keramat 16 September juga pastinya menjadi fantasi rakyat yang mahukan perubahan. Parlimen adalah langkah pertama Anwar sebelum ke Putrajaya. Sebaliknya, kekalahan Anwar pasti akan menguburkan secara langsung karier politik beliau dan putrajaya hanya sekadar impian yang tidak kesampaian.

PENENTU LANSKAP BARU POLITIK TANAH AIR

Tepat jam 12 malam ini segala kempen akan berakhir mengikut lunas undang-undang. Esok merupakan hari pengundian bagi sebuah pilihanraya kecil yang bakal membawa makna yang sangat besar. Penduduk Permatang Pauh umpama membawa harapan seluruh rakyat Malaysia yang bakal menjadi penentu masa depan politik tanah air. Pelbagai analisis dan kajian yang menjadi tafsiran pelbagai pihak dari dalam mahupun luar negara. Namun dalam politik segalanya pasti terjadi. Tiada apa yang mustahil takrifan dari falsafah Machievelli "matlamat menghalalkan cara".

Sunday, August 24, 2008

FANTASTIKA MAYA

Catatan hidup pendeta memang agak ganjil bagi yang tidak memahami apa yang ideologiku maksudkan. Mungkin sukar untuk menerima sesuatu yang bukan ditakdirkan tetapi kadangkala filasuf menafsir bahawa ia memang sukar untuk di luahkan. Mengapa pada zaman ini masih ada manusia yang sukar menerima sesuatu yang konon nya lebih baik? Adakah kebaikan itu membawa kepada keburukan? Apakah tidak ada langsung peluang walau sekali? Runsing untuk difikirkan selalu. Sudah beberapa hari mendiamkan diri dengan mengisi masa berkhayal dengan teman-teman di tasik. Minggu yang agak sibuk mungkin sekadar retorik walaupun hakikatnya memang sangat sibuk. Entah mengapa gundah-gulana mencari dan menelusuri jalan hidup. Hakikatnya pada hari ini, masih belum putus asa mencari jalan bagaimana Marxism dapat menakluki kota sang sosialis!

Tuesday, August 12, 2008

BILA SEMANGAT MUNCUL..

Syabas anak-anak Melayu kini sudah berani bangkit manyatakan hak mereka. Sejarah kini terbukti, mahasiswa mampu berjuang menyatakan pendirian mereka. Sudah sampai masanya anak Melayu bangun dari lena dibuai mimpi ditakluk bangsa Lai Tek walaupun dia berjasa kepada bangsa ini. Sudah sampai juga masanya untuk mahasiswa beridealisme sendiri. Terus berjuang membela nasib masyarakat!

Namun begitu, jangan sesekali dibangkitkan isu perkauman. Semangat perpaduan itu juga perlu memandangkan kita hidup secara bermasyarakat dan muhibah. Bukan untuk mempertikaikan hak istimewa orang Melayu tetapi untuk menjaga perasaan kaum lain. Hegemoni ‘ketuanan melayu’ itu juga harus diperbetulkan agar rakyat lebih jelas. Perkataan ‘ketuanan’ yang menafsirkan ‘tuan’ ini harus dilihat semula. ‘Tuan’ ini adalah perkataan yang berdarjat tinggi tetapi kita harus menelitinya agar tidak tersilap langkah. Analogikan seorang pemimpin dan rakyat dibawahnya. HAMKA ada menyebut bahawa pemimpin ini biasanya disanjung oleh rakyatnya kerana dua perkara. Pertama ialah kerana cahaya pada kerusinya dan yang kedua adalah cahaya pada dirinya. Maksud beliau pada kerusi itu adalah pangkat dan diri itu adalah sahsiah atau pendirian dan prinsip kita. Mahukah kita jika bangsa kita hanya diagungkan kerana kita bangsa tuan? Atau lebih baik jika bangsa kita dipuji kerana nilai-nilai toleransi terpuji?

Fikirkanlah, jangan sampai kita diagungkan hanya apabila kita ‘tuan’. Dalam konteks globalisasi hari ini, segala kemungkinan mungkin terjadi. Ideologi yang sama tidak akan mempunyai pandangan yang sentiasa sama. Namun cukup terkilan apabila bangsaku ini menghina seorang pembaca yang setia. Adakah banyak membaca akan mendatangkan nilai buruk jika bacaannya tidak sealiran dengan mereka? Anak Melayu sebenarnya harus banyak membaca karya-karya perjuangan bangsa. Bangsa ini tidak pernah mengajar generasinya agar menjadi seperti “kacang lupakan kulit”. Bangsa kita tidak hanya berjuang sendirian. Jangan hanya membaca silibus sekolah. Buka minda dan lihat perjuangan bangsa dari pelbagai perspektif, bukan hanya dengan fakta tetapi dengan filasuf dan teori bahawa yang sentiasa terjamin dan merasai selesa itulah paling senang jatuh terlentang!

Saturday, August 9, 2008

JIWA MERDEKA WAJIB TONTON !

(Bagi meneruskan diskusi bertajuk 'MERDEKA: Perjuangan atau Pemberian')

Video ini adalah sebuah dokomentari yang pendeta rasa sangat menarik dan WAJIB ditonton oleh anak-anak pasca merdeka. Dokumentari ini mempunyai nilai yang tersendiri dan tahniah diucapkan kepada krew penerbitannya. Semoga lebih banyak hasil akan diterbitkan untuk terus membawa kisah perjuangan bangsa yang tidak kenal erti gentar dalam perjuangan. Tontonlah dokomentari ini wahai BANGSA MALAYSIA !


Thursday, August 7, 2008

PERJUANGAN ATAU PEMBERIAN 3

Mustafa Hussain dalam memoirnya - Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO; ada berkongsi cerita bahawa perjuangan menyedarkan rakyat untuk bangkit dari mimpi jajahan tidak hanya di kalangan pemimpin sahaja. Malah menurut beliau, semasa beliau singgah makan di pentas ronggeng juga ada lirik ronggeng yang berbunyi:
Anak keling sembahyang sami,
Membawa lilin seorang sebatang,
Kita ini sebagai rumput di bumi,
Dipijak orang pagi dan petang.
Gaya perjuangan ini persis dengan cara pendekatan Grumsei dengan teori hegemoni yang melingkupi aspek penerangan demi kesedaran. Semua karya, penulisan, nyanyian dan lain-lain ketika itu hanya satu tujuannya yakni menyedarkan bangsa dari terus diulit lena jajahan.
Perjuangan ketika itu matlamatnya hanya satu iaitu merdeka. Itulah kepentingan mereka ketika itu. Kemudian baru ditentukan pula sistem pentadbiran negara. Namun, British lebih bijak pendekatannya. konsep bersedia untuk berkerajaan sendiri melalui sistem ahli membenarkan amalan demokrasi acuan mereka di pasak atas bumi kita.

Monday, August 4, 2008

ABH FAMILY

Tahniah diucapkan kepada satu lagi blogroll laman keluarga yang baru diterbitkan. ABH Family merupakan hasil gabungan dua nama asas yakni Abu Bakar dan Halijah. Kedua-dua ini sebagai generasi pertama yang kini telah menghimpunkan puluhan generasi kedua, ketiga dan keempat. Signifikan hasil dari penubuhan laman keluarga ini diharap dapat merapatkan lagi ukhwah sesama keluarga serta memperkenalkan ABH Group sebagai sebuah institusi kekeluargaan yang matang dan aktif dengan aktiviti kekeluargaan. Semoga blogroll ini dapat memberi faedah kepada semua. Tahniah ABH!