Monday, August 25, 2008

BERHASILKAH KE PUTRAJAYA?

Pilihanraya kecil Permatang Pauh bagaikan sebuah memoir klasik yang bakal menjadi pertembungan terbesar seorang tokoh gerakan sepanjang usianya sehingga ke hari ini. Siapa yang tidak kenal dengan nama Anwar bin Ibrahim? Seorang mahasiswa pemberontak yang memimpin gerakan pelajar tanpa sedikit gentar ketika zaman evolusi sedang bergelora dahulu. Kini, nama ini terpapar di kertas undi yang bakal menjadi penentu lanskap baru poltik tanah air.

Pelbagai faktor perlu diambil kira bagi menentukan siapa juara antara tokoh gerakan dan pejuang Melayu yang fasih berbahasa Lai Teck. Anwar Ibrahim vs Arif Shah Omar Shah. Pelbagai persoalan wujud dalam jangka hayat kempen ini. Adakah benar dakwaan Anwar akan berjaya menjatuhkan kerajaan BN dan menubuhkan kerajaan baru Pakatan Rakyat dengan beliau sebagai PM? Apa akan berlaku sekiranya beliau tewas dalam perebutan tersebut? Semua ini adalah persoalan yang menghantui perasaan rakyat hari ini.

Ramalan paling hebat ketika ini adalah Anwar akan menang tetapi atas majoriti yang kurang berbanding Wan Azizah ketika PRU 12 yang mana tsunami politik terbesar tanah air melanda. Adakah ramalan ini benar atau hanya omongan untuk menyedapkan hati penyokong dan rakyat haluan kiri dan hanya sekadar mengusarkan mereka di pihak kerajaan?

Perspektif apa yang harus dilihat sebagai perincian bagi analisis yang dibuat?

Pertama ialah pola peratusan keluar mengundi. Peratusan keluar mengundi adalah antara elemen panting dalan pengundian. Peratusan keluar mengundi setakat ini dijangka akan lebih tinggi berbanding PRU 12. Mengapa? Terjahan pemikiran bahawa rakyat Permatang Pauh adalah penentu masa depan negara ditambah dengan kempen Pakatan bahawa mereka bukan sahaja mengundi seorang ahli parlimen tetapi juga mengundi seorang yang bakal mengubah hala tuju negara dengan jawatan PM. Harapan rakyat yang bersandarkan kepada mereka pasti menyebabkan semangat yang berkobar untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara. Faktor lain seperti cuaca, tarikh dan sebagainya dilihat tidak cukup menyakinkan untuk mempengaruhi peratusan keluar mengundi secara total.

Kedua ialah trend pengundian. Trend ini adalah berdasarkan faktor tsunami politik yang melanda bahawa undian orang bukan Melayu malah orang Melayu sekalipun masih bersama Pakatan Rakyat. Isu sentimen yang dimainkan dilihat tidak begitu mempengaruhi undian berdasarkan kebangkitan kesedaran politik yang tinggi dikalangan masyarakat Permatang Pauh. Pasca PRU 12 ini dilihat benar-benar merangsang kematangan rakyat unutk berpolitik. Acuan yang telah mereka bina dengan menolak BN dengan majoriti yang agak besar dilihat tidak sedikit pun goyah. Maka kebarangkalian untuk mereka mengubah haluan disaat akhir tidak kelihatan sehingga ke hari ini menjelang tidak sampai 24 jam untuk proses pengundian.

Ketiga adalah kerusi warisan. Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga Anwar adalah keluarga paling dikenali di sekitar Permatang Pauh. Kerusi parlimen itu pernah dimenangi oleh ayahandanya pada tahun 1969 selama satu penggal. Selepas agak lama disandang oleh Hj Zabidi Ali yang mewakili PAS, Anwar dilihat sebagai ‘Giant Killer’ dengan merampas kerusi tersebut bagi mewakili BN dan kemudian beralih kepada Wan Azizah sebagai pejuang kepada nasib Anwar ketika gelombang 1998. Maka faktor ini dilihat antara yang memainkan peranan penting dalam pemilihan wakil penduduk ke Parlimen.

Faktor pemilihan Arif Shah sebagai calon dengan kefasihannya berbahasa Mandarin tidaklah satu faktor yang bakal menghumban undi masyarakat Cina kepada Anwar. Trend pengundian Cina masih tidak berubah walaupun diakui Arif Shah adalah antara wakil Rakyat yang hebat dan berwawasan. Sepanjang tempoh kempen, beliau kelihatan terlalu obsess menggunakan kebolehannya itu sehingga dilihat mengendahkan kepentingan masyarakat Melayu dan India. Ini pasti akan menjejaskan pengaruh dan memberi impak kepada jumlah undian yang bakal diterimanya. Sementara masyarakat pula melihat faktor Anwar yang ternyata sebagai seorang pemidato dan mampu menarik perhatian masyarakat dalam setiap ucapannya.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai satu ancaman terbesar BN mengekalkan kuasanya. Selangkah Anwar ke Parlimen pasti mengegarkan jiwa setiap wakil BN dalam dewan lebih-lebih lagi menjelang pembentangan belanjawan negara. Tarikh keramat 16 September juga pastinya menjadi fantasi rakyat yang mahukan perubahan. Parlimen adalah langkah pertama Anwar sebelum ke Putrajaya. Sebaliknya, kekalahan Anwar pasti akan menguburkan secara langsung karier politik beliau dan putrajaya hanya sekadar impian yang tidak kesampaian.

No comments: