"Jangan mencari penyelesaian apa pun dalam penulisan ini. Kamu tidak akan menemuinya. Sesungguhnya, zaman ini tidak memiliki apa-apa. Apa yang sudah diputuskan telah berakhir; revolusi yang akan datang baru hanya pada saat permulaan. Kita tidak bangun, namun hanya merosak; tidak mengisytiharkan penemuan baru, namun membuang kepalsuan yang lama." (Alexender Herzen)
Wednesday, November 12, 2008
ARAH MANA MELAYU MENONGKAH?
Kisah DEB tidak pernah lekang bila tsunami politik baru melanda negara. Semua pihak memberi reaksi dan semua mempertahankan agenda masing-masing. Pak menteri bertahan, Pembangkang mengasak, Cina memacak dan Melayu tetap layu. Mengapa ini hal remeh sebegini timbul? Sepatutnya dengan segala dasar kerajaan, DEB dan sebagainya Melayu sudah lama kaya dan berdaya saing. Dari sudut ekonomi Melayu sudah jauh ketinggalan. Mengapa jika yang layu itu mesti Melayu?
Soal Melayu ini memang menarik kerana aku sendiri orang Melayu, keturunan Melayu walau ada sedikit campuran Cina. Mahathir dalam ulasannya di akhbar Sinar Harian berkenaan debat menjelang pemilihan UMNO mengatakan bahawa Melayu belum benar-benar bersedia untuk menerima keterbukaan demokrasi. Sebelum itu, beliau turut mempertahankan bahawa Melayu belum benar-benar bersedia untuk bersaing dalam dasar ekonomi bebas tanpa sebarang atau pengecilan kuota. Mungkin benar kerana teman-teman rapat sendiri masih tetap mempertahankan kemelayuan mereka dan begitu sensitif apabila Melayu dicabar kedudukannya. Pelbagai reaksi teman dengan nada yang sama mengkritik pemikiran ini berkenaan isu UiTM suatu ketika dulu.
Peperiksaan di varsiti hampir tamat dengan aku mengambil langkah berani berhujah berkenaan kontrak sosial dalam salah satu subjek yang diambil. Hari ini, setelah menjawab dan berhujah berkenaan kontrak sosial ini aku kembali merenung masa depan bangsaku. Jika benar apa yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri, maka bilakah agaknya bangsaku ini akan benar-benar bersedia menghadapi hari-hari mendatang? Aku sendiri masih lagi mencari jawapannya. Barangkali mungkin lebih sukar mencari jawapan ini daripada mencari al-Ghazali seperti yang dicari-cari Pak Lah Badawi.
Aku kini melihat bahawa minda dan pemikiran Melayu sebagai satu wahana penggerak kemajuan bangsaku! Lantas, pemikiran Melayu yang selama ini terpasung dek cengkaman pemerintah adalah punca Melayu hidup layu!
Pemikiran ini harus dibuka supaya Melayu mula bergerak menuju satu landasan yang bakal mempelopori kebangkitan bangsa. Dari pemikiran yang terbuka inilah Melayu boleh dikatakan ‘fit enough’ untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain. Melayu hari ini terlalu rigid dengan bangsa sendiri hingga menelan diri sendiri. Tulisanku hari ini menolak total pandangan Mahathir bahawa Melayu belum cukup bersedia untuk menerima keterbukaan dalam demokrasi. Maka bila lagi Melayu akan bersedia? 10 tahun? 50 tahun? 100 tahun? Sampai bila?
Anak Melayu hari ini jangan lagi terikut-ikut rentak lama. Mulakan dengan sedikit perubahan. Situasi dulu dan kini jauh berbeda. Berfikir secara rasional dalam mencari hala tuju hidup kerana hala tuju kita adalah hala tuju dan masa depan bangsa!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment