Sunday, November 23, 2008

MEMANIFESTASIKAN KONTRAK SOSIAL

Tarikan hari ini adalah apabila membaca akhbar Sinar Harian. Sekali lagi isu kontrak sosial menjadi kupasan. Kali ini, sekali lagi maudu ini dikupas oleh Prof Abd Aziz Bari dengan tajuk ‘Kontrak Sosial yang makan tuan’. Benar, masyarakat hari ini keliru dengan hal ini. Adakah ia benar-benar wujud atau sekadar fantasi dek permainan politik perkauman hari ini. Pendeta melihat bahawa kontrak sosial adalah satu realiti bagi politik negara kita dalam pembinaan perpaduan rakyat menerusi amalan permuafakatan politik.

Mengingati tokoh-tokoh kontraktualis universal seperti Hobbes, John Locke dan Rousseau, semuanya memberi ramuan masing-masing tentang bagaimana masyarakat sivil itu terbentuk. Kecenderungan manusia untuk hidup aman, penjagaan harta rakyat, keterikatan dengan undang-undang dan sebagainya. Namun, perbedaan-perbedaan ini mampu digarapkan menjadi satu hujah yang kukuh.

Kita melihat bahawa isu ‘ketuanan Melayu’ menjadi perbualan masyarakat dan terlalu ramai yang rigid kepadanya. Kita mengambil kata akar dari ‘ketuanan’ itu yakni ‘tuan’. Hal ini yang dibicarakan dalam kontrak sosial. Bagaimana bangsa Melayu dan bumiputera diangkat martabatnya sebagai bangsa tuan. Namun, perkataan tuan ini bukan bermakna terma eksploitasi dan penindasan serta penafian hak itu dihalalkan. Inilah yang disebut berkenaan keterikatan rakyat pada peraturan, “man was born free, and he is everywhere in chains. Maka, di sinilah toleransi dan persefahaman itu digapai antara elit-elit ketika itu. Melayu memberi taraf kerakyatan kepada bangsa asing seperti Cina dan India ketika itu sebagai balasan untuk mereka mengiktiraf bangsa asal penduduk peribumi Tanah Melayu. Mungkin banyak lagi persefahaman yang terhasil namun tiada siapa yang tahu kerana wujudnya kontrak sosial ini hanya sekadar ‘mutual understanding’ antara elit ketika itu dan tidak wujud dalam bentuk ‘binding contract’ atau kontrak bertulis. Mengapa perlu dipersalahkan sejarah kerana ketiadaan kontrak ini secara bertulis. Jika benar sekalipun maka institusi harus mengambil peranan memberi penerangan kepada rakyat!

Tiada apa yang perlu Melayu pada hari ini risaukan. Bahkan, bangsa lain juga tidak perlu gusar dengan segala tohmahan yang mengancam bangsa. Melihat situasi rakyat hari ini terlalu memikirkan kontrak sosial walhal tidak sedar bahawa segala perlindungan telah diberi sepertimana yang temaktub dalam perlembagaan negara. Oleh itu, proses pemahaman tentang perlembagaan itu perlu dipupuk dan bukan setakat dengan hafalan semata-mata. Sesetengah daripada perkara-perkara dalam perlembagaan negara ini boleh dikatakan sebagai satu manifestasi kontrak sosial yang tidak bertulis itu. Hal ini yang menyebabkan kontrak sosial dan perlembagaan itu bagai lagu dan irama yang tidak mampu dipisahkan.

Mengapa perlu ummat Melayu hari ini bimbang akan perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan khususnya berkenaan Melayu dan Islam. Ini yang seringkali di tekankan oleh Abd Aziz Bari tentang keperluan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja untuk mengubah perkara-perkara yang menjaga kepentingan Melayu. Jangan terus menuding jari kepada bangsa lain! Selagi adanya institusi raja dan ahli-ahli Parlimen yang majoritinya Melayu maka segala perlindungan hak dan mengekalan identiti Melayu serta ‘Malay Polity’ itu akan tetap terjamin. Tidak perlulah kita berdemonstrasi bila perbahasan atau forum mengenai perkara-perkara berikut diadakan. Kita harus matang dalam mempelbagaikan pandangan serta idea. Jangan terus diulit mimpi indah dengan elit masih menakluki pemikiran dengan segala konstuksi yang kukuh di minda rakyat. Apakah terlalu agung dan mulia kepingan kertas yang dibukukan sebagai perlembagaan negara? Jika kita ummat Melayu, apakah perlembagaan itu lebih mulia sedangkan al-quran itu sendiri diperbahaskan oleh para ulama’? Dan perlembagaan itu disanjung lebih hebat sehingga tidak boleh dihujahkan langsung. Disini peranan dalam mempelbagaikan idea itu perlu wujud dalam kerangka mematangkan masyarakat dan politik negara. Maka, perlu difahami bahawa perlembagaan itu adalah satu kerangka yang mendasari kehidupan rakyat dan masyarakat plural negara ini.

No comments: