Saturday, February 28, 2009

SIDANG MEDIA PERTAHAN 3 PELAJAR UUM DARI AUKU

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) berpendirian serta mendesak agar dakwaan AUKU terhadap 3 pelajar UUM ini digugurkan. Berikut adalah kenyataan yang disepakati oleh pelbagai gerakan pelajar yang tidak bersetuju dengan tindakan dan dakwaan AUKU yang tidak relevan ini.


Tinggal lagi 48 jam, golongan mahasiswa diseru untuk merayu kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) supaya menggugurkan kes tiga pelajarnya yang didakwa bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas membantah kenaikan tambang bas kampus."Kami harap mahasiswa dan orang ramai dapat menandatangani rayuan segera sebagai tekanan kepada universiti supaya menggugurkan tuduhan terhadap mereka (tiga mahasiswa yang didakwa). "Kami juga meminta mereka turun beramai-ramai ke UUM pada tarikh perbicaraan (Isnin depan) untuk memberikan sokongan kepada mereka," kata penyelaras kampus Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malasia (Dema), Lau Wai Seng.Tiga mahasiswa UUM – Choo Kok Wei, Medecci Lineil Repong dan Tengku Mohd Hasrul Tengku Malek – dipanggil untuk tindakan tatatertib di Bangunan Canselori.Tengku Mohd Hasrul, yang pernah mengetuai jawatankuasa bantahan tersebut, menghadapi tuduhan berbeza iaitu mengkritik pegawai tinggi UUM melalui satu tulisan di blog peribadinya.


Selain Dema, wakil-wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang hadir dalam sidang media di Kuala Lumpur turut menyokong gesaan tersebut.Menjelaskan kempennya itu, Lau berkata, Dema telah memulakannya sejak kelmarin dengan mengedarkan contoh surat rayuan ke seluruh universiti di Malaysia. Surat rayuan tersebut dialamatkan kepada Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi dengan salinan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin. Ia mendesak UUM menggugurkan pertuduhan terhadap tiga mahasiswa berkenaan serta menggesa kontrak perkhidmatan bas antara UUM dan syarikat pengendali Unic Symbol Sdn Bhd (UNIC) didedahkan kepada umum.Pengerusi Dema, Ng Yong Jin berkata, setakat ini, seramai 230 mahasiswa di UUM telah menghantar surat gesaan tersebut.Sementara itu, mengulas kenyataan Mohamed Khalid semalam yang dilaporkan tidak akan campur tangan dalam kes itu, Lau menyifatkan menteri berkenaan sebagai "tidak bertanggungjawab" dan mengeluarkan kenyataan yang "tidak wajar".Menurutnya, kaedah tatatertib yang digunakan oleh UUM mendapat kuasa oleh AUKU. Oleh itu, tambahnya, jika menteri memainkan peranan meminda akta tersebut, masalah tidak akan timbul.


Choo, Medecci dan Tengku Mohd Hasrul antara 10 pelajar yang terlibat dalam jawatankuasa khas memantau harga tambang bas di kampus di Sintok itu. Jawatankuasa itu ditubuhkan bulan lalu selepas mahasiswa membuat bantahan melalui petisyen dalam talian berhubung kenaikan tambang bas di universiti berkenaan daripada RM0.40 sen untuk satu destinasi kepada RM0.55. Tujuh lagi mahasiswa yang menganggotai jawatankuasa itu setakat ini tidak dikenakan apa-apa tindakan. Setakat ini wakil daripada pelbagai front mahasiswa telah tampil memberi sokongan termasuk wakil Solidariti Mahasiswa, Aktivis Mahasiswa Independen dan DEMA yang telah menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM kelmarin. Tindakan selanjutnya termasuk menghantar memorandum ke Parlimen mungkin diambil sekiranya tuduhan tersebut diteruskan terhadap ketiga-tiga pelajar ini.

Thursday, February 12, 2009

SEKATAN DEMI KEMENANGAN PEMERINTAH

Demokrasi negara ini sekali lagi dibaculkan dek karenah sang pemerintah. Sekatan akses maklumat kepada massa dilakukan kerana kian terdesak mencari kekuasaan. Terdesak kerana terbelit akan simpulan sendiri! Krisis politik di negeri Perak yang berlaku menyebabkan jentera pemerintah semakin berkecamuk apatah lagi apabila akan diadakan 2 pilihanraya kecil masing-masing untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau. Modus operandi pemerintah kini tertumpu kepada sekatan-sekatan terhadap akses maklumat kepada rakyat.

Beberapa hari ini dapat kita lihat bagaimana putar alam berlaku di setiap stesen televisyen yang dikuasai sang pemerintah. Hampir setiap jam diulang perkara yang sama bagi menyampaikan pertuduhan demi pertuduhan sekaligus menyemai perasaan benci rakyat kepada penderhaka feudalisme yang ingkar tatkala pemerintah bersembunyi disebalik tugu agung itu. Bersembunyi daripada rakyat dan pemandiran ke atas rakyat terus dijana agar kepercayaan diberi kepada pemerintah lantas menerima keabsahan yang lebih tinggi dari pembangkang.

Kini, segala ruang untuk pembangkang ditutup serapat yang mungkin. Mahathir dan Najib punya modus operandi yang sama. Akhbar atau lidah rasmi lawan terus dirampas diseluruh negara dengan akhbar-akhbar kepunyaan pemerintah terus-menerus meletakkan tema penderhakaan sebagai rencana utama. Mereka sememangnya bijak kerana dengan rampasan yang terus-menerus dilakukan akan menyebabkan pembangkang kehilangan platform untuk menjawab segala pertuduhan ke atas mereka. Maka rakyat akan hilang sumber bagi menilai siapa yang benar dan apa yang sebenarnya berlaku.

Mungkin Pakatan punya kelebihan kerana mempunyai pemidato-pemidato yang hebat untuk menerangkan situasi yang sebenar. Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan benar-benar membunuh arena pendemokrasian negara ini. Larangan mengadakan ceramah-ceramah umum dikuatkuasakan atas alasan meredakan ketegangan yang berlaku. Apakah negara ini benar-benar bergolak atau hanya bergolak dek ciptaan mereka sendiri? Maka, hilang satu lagi pentas bagi pembangkang menyampaikan penerangan kepada rakyat secara terus.

Kini yang tinggal hanya ruang multimedia yang masih merdeka dari jajahan pemerintah. Namun, ruang-ruang yang ditutup oleh pemerintah pasti memberi impak buruk kepada pembangkang. Dengan 2 Pilihanraya Kecil yang bakal berlangsung, pertempuran yang lebih dasyat akan berlangsung. Dengan momentum yang ada tidak akan memberi keselesaan yang Pakatan untuk bergembira. Tambah lagi dengan jentera diperingkat negeri yang telah dirampas sang pemerintah. Pastinya kelebihan akan kemudahan berpihak kepada sang pemerintah. Yang pasti, pertarungan baru bermula!

RAKYAT MALAYSIA PALING BERANI

Tatkala menatap video protes di Kuala Kangsar perasaan begitu taksub dengan seribu kekaguman. Kebangkitan rakyat mempertahankan keabsahan yang diberi daripada di rampas pihak yang mengejar kekuasaan. Melihat rakaman ini menyebabkan pemikiran jauh melangkau ke Palestin. Keberanian rakyat Perak kini setanding umat Palestin yang berhadapan penindasan dan kezaliman. Maka akan terbahagi kepada dua kumpulan makhluk tatkala selesai menonton video ini. Pertama; mereka yang semangatnya berkobar lantas gian untuk bersama rakyat Perak dan kedua; mereka yang murka atas kekacauan yang berlaku. Segala apa yang berlaku adalah proses penyuburan demokrasi. Sememangnya ada yang terus menyatakan ini bukan budaya kita malah jauh sama sekali. Maka budaya yang sebagaimana yang harus kita lakukan bagi menyatakan bantahan?

Sekiranya Palestin memerlukan bantuan maka rakyat Perak adalah yang paling tepat! Kesedaran terhadap keperluan mempertahankan keabsahan yang diberi membangkitkan rakyat Perak dari lena jajahan pemikiran. Apa yang perlu dilakukan adalah menyatakan bantahan walau di ancam kezaliman, penindasan dan kekerasan kekuasaan. Lihat saja rakaman ini, persis rakaman video di Palestin. Apa sang pemerintah tegar meneruskan agenda mereka tatkala rakyat dalam belenggu sebegini? Kekacauan yang berlaku di depan mata mereka sepanjang perjalanan ke istana dan perjalanan turut terhenti seketika akibat terbaringnya wira rakyat di jalanan. Sang pemerintah hilang kepekaan lantas suara rakyat dinafikan sama sekali!

Mungkin keadaan tidak akan jadi sebegini jika mereka sedikit sabar. Sabar menanti persidangan dewan untuk usul undi tidak percaya; Sabar menanti untuk Nizar digulingkan oleh majoriti di dalam dewan; Sabar menanti untuk angkat sumpah MB yang baru. Maka kesabaran itu harus melebihi gelojak nafsu merampas kekuasaan. Maka kelemahan itu disaluti kebangkitan rakyat Perak lantas dinobatkan sebagai rakyat Malaysia paling berani. Apa yang berlaku bakal menjadi sirah agung rakyat biasa yang menjadi pengalaman yang bakal mematangkan demokrasi negara.

Friday, February 6, 2009

KRISIS POLITIK, FEUDALISME DAN KEMATANGAN DEMOKRASI

Kebangkitan rakyat mempertahankan mandat dan keabsahan yang diberi kepada sebuah pemerintahan kelihatan jelas apabila krisis politik melanda negeri Perak. Namun soalnya, apakah rakyat sudah benar-benar bersedia mempertahankan hak demokrasi mereka dengan ‘penderhakaan’ kepada sistem feudalisme? Kecamukan politik di negeri Perak dilihat membawa satu anjakan baru kepada kebangkitan rakyat. Pelbagai persoalan yang timbul dalam benak fikiran setelah kejadian yang berlaku. Antara yang kritikal ialah; apakah keputusan dan situasi yang berlaku menjadi titik tolak kepada penentangan dan penolakan rakyat terhadap sistem feudalisme?

Jika dahulu keputusan Sultan adalah undang-undang yang wajib dipatuhi lantas didaulatkan pula dengan kedaulatan sultan itu sendiri. Hal ini menjadi antara penyebab rakyat patuh dengan taat setia kepada Sultan kecuali Hang Jebat. Natijahnya tidak berlaku hari ini apabila keputusan Sultan lagi disanggah oleh rakyat walau dengan suara-suara lunak ‘memohon sembah derhaka’.

Situasi hari ini turut membawa satu lembar baru dalam arena pendemokrasian negara. Keadaan terus menuntut kematangan dalam arena pendemokrasian. Pengalaman berkrisis ini perlu dihargai dalam usaha memastikan demokrasi terus subur. 20 tahun lagi, peristiwa hari ini akan menjadi lembaran sirah agung kederhakaan rakyat dalam konflik mempertahankan hak dan keabsahan yang diberi kepada sesebuah pemerintahan.

Monday, February 2, 2009

PASCA PRK 2009

Selesai Pilihanraya Kampus 2009 dan kemenangan tetap di tangan sebuah sistem yang terlalu angkuh. Walau bagaimanapun, penambahan beberapa buah kerusi untuk mahasiswa sudah mampu menutup lopongan gegak gempita sorakan sistem yang kian lemah. Bagi melunaskan nafsu membaca setelah sekian lama di kasi, maka buku berkenaan analisis pilihanraya kecil Parlimen Pelabuhan Klang 1979 menjadi permulaan. Anak Jawa Pelabuhan Klang karya Subky Latif, seorang penulis politik yang hebat dan terkenal. Karya itu memang hebat lantas gelojak semangat kembali meningkat setelah selesai menghadam coretan Subky. Perjuangan itu tidak mungkin dirasai dan dikurniakan jika kita dipertahankan oleh sistem. Namun, perjuangan itu terlalu nikmat jika mahasiswa sendiri yang memperjuangkannya.