Thursday, February 12, 2009

SEKATAN DEMI KEMENANGAN PEMERINTAH

Demokrasi negara ini sekali lagi dibaculkan dek karenah sang pemerintah. Sekatan akses maklumat kepada massa dilakukan kerana kian terdesak mencari kekuasaan. Terdesak kerana terbelit akan simpulan sendiri! Krisis politik di negeri Perak yang berlaku menyebabkan jentera pemerintah semakin berkecamuk apatah lagi apabila akan diadakan 2 pilihanraya kecil masing-masing untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau. Modus operandi pemerintah kini tertumpu kepada sekatan-sekatan terhadap akses maklumat kepada rakyat.

Beberapa hari ini dapat kita lihat bagaimana putar alam berlaku di setiap stesen televisyen yang dikuasai sang pemerintah. Hampir setiap jam diulang perkara yang sama bagi menyampaikan pertuduhan demi pertuduhan sekaligus menyemai perasaan benci rakyat kepada penderhaka feudalisme yang ingkar tatkala pemerintah bersembunyi disebalik tugu agung itu. Bersembunyi daripada rakyat dan pemandiran ke atas rakyat terus dijana agar kepercayaan diberi kepada pemerintah lantas menerima keabsahan yang lebih tinggi dari pembangkang.

Kini, segala ruang untuk pembangkang ditutup serapat yang mungkin. Mahathir dan Najib punya modus operandi yang sama. Akhbar atau lidah rasmi lawan terus dirampas diseluruh negara dengan akhbar-akhbar kepunyaan pemerintah terus-menerus meletakkan tema penderhakaan sebagai rencana utama. Mereka sememangnya bijak kerana dengan rampasan yang terus-menerus dilakukan akan menyebabkan pembangkang kehilangan platform untuk menjawab segala pertuduhan ke atas mereka. Maka rakyat akan hilang sumber bagi menilai siapa yang benar dan apa yang sebenarnya berlaku.

Mungkin Pakatan punya kelebihan kerana mempunyai pemidato-pemidato yang hebat untuk menerangkan situasi yang sebenar. Namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan benar-benar membunuh arena pendemokrasian negara ini. Larangan mengadakan ceramah-ceramah umum dikuatkuasakan atas alasan meredakan ketegangan yang berlaku. Apakah negara ini benar-benar bergolak atau hanya bergolak dek ciptaan mereka sendiri? Maka, hilang satu lagi pentas bagi pembangkang menyampaikan penerangan kepada rakyat secara terus.

Kini yang tinggal hanya ruang multimedia yang masih merdeka dari jajahan pemerintah. Namun, ruang-ruang yang ditutup oleh pemerintah pasti memberi impak buruk kepada pembangkang. Dengan 2 Pilihanraya Kecil yang bakal berlangsung, pertempuran yang lebih dasyat akan berlangsung. Dengan momentum yang ada tidak akan memberi keselesaan yang Pakatan untuk bergembira. Tambah lagi dengan jentera diperingkat negeri yang telah dirampas sang pemerintah. Pastinya kelebihan akan kemudahan berpihak kepada sang pemerintah. Yang pasti, pertarungan baru bermula!

1 comment:

Daddy said...

Assalamualaikum...

Salam keimanan dan kemanusiaan buat pencinta kedamaian... Masalah utama sejak lama dahulu ramai Orang Melayu sayang dan percaya kepada Perjuangan Bangsa sehingga mengenepikan perjuangan keimanan dan kemanusiaan... Mereka terlupa dan terlalai sehigga yang dijuang tak dapat dan yang ditinggal semakin menjauh.. (Keimanan dan kemanusiaan. Sekian wassalam