Falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai masyarakat terpelajar, juga fungsi mereka sebagai rakyat dewasa serta situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada pergolakan dunia semasa – Prof Mohamad Abu Bakar
Sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang timbul khususnya isu yang sering menjadi bualan politik segenap masyarakat di Malaysia. Sebagai gabungan koalasi anak muda dan mahasiswa seluruh negara, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga tidak mahu ketinggalan.
Berperanan sebagai sebuah koalasi yang menggabungkan pelbagai front mahasiswa dan anak muda, SMM sememangnya harus lebih peka dan responsif dengan setiap isu yang bangkit. Sebagai salah seorang pimpinan dalam SMM, saya turut berasa bertanggungjawab untuk memberi pandangan dan menyatakan pendirian secara peribadi dan yang lebih penting pendirian SMM sebagai platform yang mewakili sebahagian besar anak muda dan mahasiswa.
Walau bagaimanapun, sedikit kekecewaan terasa kerana kurangnya pemahaman masyarakat tentang peranan yang harus dijalankan oleh mahasiswa atau anak muda. Salah tafsir juga sering berlaku kepada perjuangan yang dibawa oleh mahasiswa dan anak muda. Kaitan dan tuduhan bahawa kumpulan mahasiswa ini di dalangi oleh parti oposisi adalah perkara biasa yang sering dimomok oleh pemerintah.
Tidak dapat dinafikan bahawa mahasiswa juga anak muda mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendukung mana-mana pihak yang menolak tindakan pemerintah. Anak muda dan mahasiswa lebih cenderung untuk mendukung parti oposisi dan menolak pemerintah yang dilihat zalim, mengongkong dan authoritarian. Situasi dan keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di Indonesia, Korea dan kebanyakan negara lain.
Konsep kebebasan, keadilan, hak asasi, demokrasi, dan reformasi adalah inspirasi kepada mahasiswa dalam pelbagai jenis persekitaran dan suasana. Hal ini diterangkan oleh Prof. Mohamad Abu Bakar dalam artikel Falsafah Perjuangan Mahasiswa, Majalah sulung Ilmu Masyarakat, terbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia sekitar tahun 70 an.
Mahasiswa dan anak muda adalah sebahagian daripada masyarakat sivil yang berperanan untuk menyuarakan soal hak, kebajikan serta kesusahan masyarakat. Berpegang pada prinsip demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial adalah tunjang kepada idealisme dan perjuangan mahasiswa dan anak muda.
Ini kerana mahasiswa dan anak muda adalah kumpulan yang tidak mempunyai kepentingan dan sebarang tanggungjawab dalam parti politik. Maka tidak ada sebarang sebab untuk anak muda juga mahasiswa ini mempertahankan mana-mana parti atau pihak yang tidak berpegang kepada prinsip-prinsip yang seharusnya mereka pertahankan.
Sememangnya, mahasiswa sering dimomokkan sebagai alat parti oposisi bagi menentang parti pemerintah. Mengapa ini berlaku?
Hal ini kerana idea-idea reformasi, demokrasi, kebebasan bersuara, berhimpun, hak asasi dan penolakan kepada segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang dibawa oleh parti oposisi adalah lebih dekat dengan prinsip yang dipegang oleh mahasiswa dan anak muda. Mahasiswa menolak pemerintah kerana kegagalan mereka mempertahankan prinsip dan tindakan mereka seringkali berkontradik dengan prinsip yang dipegang oleh mahasiswa.
Selain itu, menurut Prof. Norman Cantor, “students wanted to enshrine the individual and to tear down giant institutions to return to humanism”. Hal ini adalah antara sebab mengapa tindakan mahasiswa sering dilihat sebagai anti kepada pemerintah.
Begitu juga menurut pandangan Robert Liebert tentang mahasiswa; “he is subjected to what has been described as the subversive function of the university: to expose, interrelate, and ultimately question the foundations of the society”.
Situasi kini juga sudah berbeda selepas 8 Mac apabila beberapa negeri ditawan oleh parti oposisi dan kini berkerajaan. Mahasiswa sebagai salah satu agen semak dan imbang harus tetap memainkan peranannya untuk mengawal tindakan pemerintah yang dulunya sebagai barisan oposisi. Lalu, apabila mereka tidak mempertahankan apa yang mereka perjuangkan dahulu, kritikan dan kecaman daripada mahasiswa itu adalah perkara biasa yang harus diterima secara sihat.
Sebaliknya,kesedihan hari ini adalah apabila perjuangan mahasiswa sering dikecam sebagai tidak berpendirian atau ‘lalang’ kerana turut tidak bersetuju dan bertindak menentang tindakan parti oposisi. Hal ini adalah sangat kritikal kerana perjuangan ini turut diheret ke dalam kancah siyasah kepartian.
Mungkin juga hal ini terjadi kerana momokan bahawa mahasiswa ini diperalatkan oleh parti oposisi. Maka hari ini apabila mahasiswa mengecam beberapa tindakan parti oposisi maka masyarakat terus menilai bahawa mahasiswa sebagai tidak berpendirian. Tidak kurang juga dengan peranan media yang merancakkan isu seolah-olah mahasiswa sudah hilang kepercayaan kepada parti oposisi.
Mahasiswa sebagai golongan anak muda yang terpelajar harus terus menjalankan peranan sebagai badan semak dan imbang kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan bagi membangunkan negara Malaysia sebagai negara yang ideal.
Mahasiswa harus terus mempertahankan prinsip yang disepakati bersama terutama dalam soal demokrasi, hak asasi dan kebebasan. Ini adalah perkara asas yang seharusnya dipertahankan oleh seluruh masyarakat lebih-lebih lagi pihak kerajaan. Mahasiswa juga harus terus dan tidak tinggal untuk bertindak sebagai suara masyarakat.
1 comment:
wah..
hebat2!
Post a Comment