Sudah hampir dua minggu Pilihan Raya Kampus 2010 berakhir. Pro Mahasiswa memegang tampuk kuasa mahasiswa di kebanyakan kampus-kampus baru. Aspirasi pula terus mencengkam kampus-kampus besar yang penuh dengan sejarah perjuangan mahasiswa.
2010- Tahun Mahasiswa bangkit. Bermula dengan perlawanan menentang sistem E-Undi, hingga ke setiap demonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus. Rentetan episod tiga minggu berturut-turut mahasiswa ditangkap polis.
15-01-2010, seorang ditangkap di depan Bangunan Kementerian Pengajian Tinggi.
23-01-2010, sembilan ditangkap di depan Sogo.
29-01-2010, dua ditangkap di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ramai yang keliru dengan apa yang berlaku. Setiap minggu mahasiswa sekitar lembah Klang berhimpun. Melaung sorak dan menumbuk ke langit. Semakin hampir dengan tarikh pilihan raya semakin banyak yang turut serta.
Di Sogo paling hebat! Polis hanya seperti pengawal di pintu depan kampus. Tiada yang ambil peduli. Mahasiswa bergumpal dengan mereka mempertahankan kain rentang yang membawa mesej Mahasiswa Malaysia Tuntut Demokrasi Kampus, Kebebasan Berakademik, Ketelusan Pentadbiran dan Autonomi Universiti. Tergamam masyarakat melihat hiruk pikuk itu. Akhirnya, sembilan ditahan dan dituduh merusuh!
Sekali lagi, malam keputusan pilihan raya diumumkan, keadaan terus-terusan panas. Mahasiswa UKM mengepung Pusat Teknologi Maklumat (PTM). Mahasiswa UM mengepung Naib Canselor. Semua menuntut penjelasan untuk segala penyelewengan yang berlaku sepanjang perjalanan pilihan raya. Lebih kasihan, tujuh mahasiswa UPM dibatalkan kemenangan kerana kempen di facebook.
Kecoh di blog, twitter dan facebook, cerita dan update mahasiswa dari kampus masing-masing. Biar sudah tamat Pilihan Raya, masih lagi banyak berita. FRU masuk UKM dan tangkap dua mahasiswa. Mahasiswa UM tawan Bangunan Canselori. Mahasiswa UKM usung keranda ke Canselori. Demonstrasi dan protes setiap hari! Hingga pensyarah di kuliah kata mahasiswa sudah gila!
Namun, harus mengerti mengapa mahasiswa semacam gila?
Ada kata sinis bahawa mahasiswa ini gila kerana taksub dengan parti oposisi dan parti itulah yang mencaturnya segala tindakannya. Kelakuan sama sepertimana ketika Perak jatuh ke tangan pemerintah. Ada kata yang sebut mahasiswa ini tidak boleh terima kekalahan. Juga tidak ketinggalan yang menyebut tentang perlakuan untuk cari publisiti.
Kiranya semua persoalan ini harus diselesai segera. Soal mahasiswa dan parti oposisi itu perkara biasa. Dari dulu hingga kiamat tetap akan begitu. Ini bukan masalah mahasiswa adalah agen oposisi. Ini soal prinsip yang di dokong itu sama dengan yang di teriak oleh parti oposisi.
Soal demokrasi yang dituntut, soal kebebasan yang dimahukan, soal penyelewengan yang mahu dihancurkan sama dengan agenda yang dibawa oleh parti oposisi. Dan siapa pun yang berperanan sebagai oposisi akan pasti membawa suara yang sama.
UMNO juga berubah nada mahu hapuskan penyelewengan bila menjadi oposisi di Selangor. Pakatan Rakyat juga alergi kepada demonstrasi yang mahu menjatuhkan pimpinannya bila sudah menjadi pemerintah di beberapa negeri.
Cuma yang statik itu mahasiswa. Kata Robert Liebert, mahasiswa tetap berperan sebagai elemen subversif dalam kampus yang lantang menentang pemerintah atau pentadbiran universiti dalam immediate surrounding mereka yakni kampus untuk membawa suara dan luahan masyarakat.
Soal mahasiswa tidak boleh menerima kekalahan dan juga soal mahasiswa mahukan keadilan juga harus diteliti. Harus dilihat apakah kewajarannya. Mahasiswa menolak keputusan Pilihan Raya kerana apa?
Kerana undang-undang dan peraturannya membodohkan. Bagaimana mahu kempen pilihan raya jika tidak boleh kumpul lebih lima orang? Bagaimana mahu kempen pilihan raya jika tidak boleh rapat umum? Bagaimana sudah tiga kali kiraan undi calon A menang, tapi kiraan keempat calon B pula yang menang?
Ada rasa lawak. Ada rasa bodoh. Dan ada rasa jijik menulis pengalaman pilihan raya di gedung ilmu yang seharusnya berlangsung jauh lebih baik kerana title-nya sebagai pusat ilmu pengetahuan.
Namun, hakikatnya ia tetap berlaku. Dan pasti setiap pembodohan dan ketidakadilan itu akan menghasilkan perlawanan yang hebat. Kudrat anak muda bergelar mahasiswa itu memang terbukti bisa menggegarkan.
Nah! Ia berlaku kali ini setelah hampir sepuluh tahun menyepi. 2010 adalah tahun hebat. Tahun yang harus kekal supaya dapat kebangkitan itu berlangsung terus.
Demokrasi mati tapi kesedaran itu semakin tinggi. Yang pasti, jika kebobrokan itu terus berlangsung, maka ia akan menerima hukuman dari pertentangan yang akan terus berlaku.
Cerita ini pasti tidak akan berhenti. Penyelewengan, penipuan dan pembodohan ini harus dihentikan segera. Mahasiswa bangkit apabila sudah tidak tahan diperlakukan seperti budak. Perlawanan itu akan terus berlaku. Mahasiswa juga akan terus menuntut hak dan keadilan buat mereka.
Perjalanan dan peraturan pilihan raya juga harus segera diperbetulkan. Demokrasi, keadilan dan integriti harus diangkat sebagai yang utama dalam pilihan raya. Jika tidak, perlawanan itu pasti terus!
Tulisan ini untuk kolum JalanTelawi.com
http://jalantelawi.com/?p=1291
No comments:
Post a Comment