Sunday, December 14, 2008

AWAS...RAKYAT SEDANG DIPANDIRKAN !

Petikan daripada akhbar Sinar Harian hari ini tanggal 15 Disember 2008 benar-benar meningkatkan kecamukan dalam diri. Hari ini, sekali lagi usaha untuk memandirkan rakyat sedang dijalankan. Berkisar mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang akan berlangsung pertengahan Januari ini, maka seluruh jentera sang pemerintah digerakkan termasuk melalui media. Kali ini, kenyataan dua pemimpin pemerintah dilihat mula mengatur langkah melalui penerapan semangat kepandiran kepada rakyat. Jika sebelum ini semangat kepandiran diterapkan dikalangan orang Melayu, namun kini situasi agak berbeda. Mereka masih cuba memandirkan rakyat!

Dua kenyataan yang berbeda, oleh pemimpin yang berlainan dan ditempat yang juga berlainan. Pertama, ‘Politik negara akan bergolak sekiranya sang pemerintah kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu’. Kedua, ‘ Demokrasi negara lebih matang jika rakyat memilih pemerintah kekal di Kuala Terengganu’.

Berdasarkan dua kenyataan berikut, kita seharusnya berfikir dengan teliti. Adakah politik negara tidak bergolak sekarang? Adakah dengan hanya mengundi partai pemerintah demokrasi negara akan lebih matang? Mengapa isu-isu perkauman hanya timbul apabila sang pemerintah gagal dalam pilihanraya? Persetankan segala kenyataan mereka! Berfikir dengan intelek dan bukan dengan perasaan dan nilai totok kepartaian!

Bagaimana kita menilai kematangan demokrasi itu? Dengan sejarah, evolusi dan reformasi yang berlaku dalam beberapa senggatan waktu. Benarkah politik negara akan berkocak jika pemerintah kalah, lantas menyebabkan ekonomi merudum dan mendatangkan seribu satu keburukan kepada ekonomi nasional? Ekonomi negara pasti merudum sekiranya politik bergolak dan ini sememangnya berlaku dimana-mana sekalipun. Pastinya, ekonomi sekarang sememangnya sedang merudum dek kerana kecamukan politik nasional. Namun, lebih signifikan lagi adalah kerana aturan, stategi serta usaha menangani permasalahan ekonomi itu tidak dijalankan dengan baik dan telus, maka itu antara hasil signifikansi kemerosotan ekonomi nasional.

Maka, artikel ini di tulis dalam keadaan sedikit emosi. Emosi kerana sang pemerintah begitu fokus dengan usaha memandirkan masyarakat dan rakyat! Mereka memasung minda rakyat bahawa hanya mereka mampu berbakti kepada rakyat. Untuk pembaca, matanglah menilai dan jangan bermain dengan emosi dan pemikiran yang dikecamukkan oleh sang pemerintah!

Berfikir dengan rasional dan teruskan perubahan dan jajahan minda. Bebaskan minda kita yang dipasung dan dipandirkan wenang-wenangan. Teruskan usaha pembebasan pemikiran rakyat kerana minda yang bebas mampu membawa perubahan kepada yang lebih syumul dan baik.

No comments: