Tuesday, December 2, 2008

KEMATANGAN ARENA PENDEMOKRASIAN POLITIK NEGARA

Negara hari ini berdepan pelbagai permasalahan dan konflik dalam politik tanah air khususnya arena pendemokrasian negara. Sudah hampir 52 tahun kita merdeka dengan garapan sistem kolonialisasi yang begitu mencengkam rakyat hingga ke hari ini. Apa tidaknya, segala konstruksi masyarakat, politik dan ekonomi semuanya terangkum dalam satu kerangka yang begitu sukses dalam memasung minda dan pemikiran rakyat dan masyarakat. Ditambah pula dengan corak hegemoni sang pemerintah dan para politikus yang bijak mengekspolitasi keadaan dan semuanya atas kepentingan dan agenda masing-masing. Persoalannya, sejauh manakah kematangan dalam arena pendemokrasian negara setelah hampir 52 tahun kemerdekaan itu diraikan? Adakah negara kita benar-benar di atas landasan dan acuan demokrasi yang syumul dan matang atau sebaliknya? Dan apakah segala pengalaman politik negara ini benar-benar mematangkan politik negara?

Kita harus objektif dengan melihat dari pelbagai sudut terutama bila berbahas dan berdiskusi berkenaan demokrasi dan politik. Kedua-dua entiti ini sama sekali berbeda intipatinya. Demokrasi itu adalah sistem yang partisipasinya bebas dan harus dari semua pihak manakala politik dirujuk sebagai suatu seni. ‘Politic is the art of the possible’ dan ‘Politic is the art of compromise’. Hal ini yang menjadikan politik itu begitu unik kerana segalanya mungkin berlaku dan hanya yang bijak mampu memenanginya. Hal ini yang menjadi titik tolak mengapa politik begitu signifikan dalam mencorakkan arena pendemokrasian.

Ramai yang memperbahaskan tentang tahap ‘matang’ ini. Apa yang dimaksudkan dengan kematangan demokrasi dan apakah ukuran bagi kita menilai tahap demokrasi yang dikatakan matang itu? Secara umumnya, cukup sekadar sistem kita ini benar-benar merangkumi ciri-ciri demokrasi yang baik. Kebebasan, keadilan, kesamarataan dan berlandaskan undang-undang perlu dinilai semula bagi menepati ciri demokrasi yang syumul dan natijahnya demokrasi itu akan dilihat matang dari kaca mata rakyat.

Bagaimana kita mengukur sejauh mana tahap kematangan demokrasi tanah air? Segala permulaan seharusnya diteliti melalui sejarah kerana sejarah adalah sebaik-baik pendeta dalam kehidupan. Sejarah negara hasil konstuksi kolonialisasi British dilihat begitu mengehad corak kehidupan rakyat. Cengkaman hasil konstruk itu terpasak kukuh sehingga ke akar umbi struktur kemasyarakatan. Semuanya seperti sudah diaturkan dan dicorakkan. Maka, kesenian itu tidak langsung wujud sehingga perubahan itu terlalu sukar untuk berlaku. Pengalaman politik negara juga tidak begitu mematangkan. Setelah hampir 52 tahun hari pembebasan itu barulah perubahan dalam politik itu baru dilihat sedikit kejelasan.

Mengapa ukuran sedemikian diberi?

Kita melihat bahawa kemunculan politik baru itu hanya berlaku dan jelas pada akhir 1998. Sebelum itu, keadaan politik negara tidak ada yang istimewanya dengan kemenangan pasti ditangan BN. Sedikit perubahan politik di Kelantan itu tidak begitu menonjol dengan ekploitasi kerajaan pusat terhadap negeri diselindung dengan baik dan cekap. Perlembagaan negara juga masih tiada evolusinya hasil kurangnya perbahasan yang berkesan dan perbedaan pendapat yang menuntut kemunculan nilai intelektual dalam masyarakat. Kita mahukan kepelbagaian idea dalam merealisasikan sistem yang bersifat kerakyatan dan tidak jumud. Hari ini kita baru melihat sedikit sebanyak tercabarnya perlembagaan itu bila berlaku perubahan politik tanah air. Tercabar dan cabaran itu sepatutnya dilihat dari satu sudut yang positif bagi mencapai tahap kematangan dan bukannya di bahaskan dengan begitu emosional.

Setelah 8 Mac, kita baru melihat bagaimana pelbagai kemunculan para intelektual dalam membicarakan hal-hal demokrasi. Contohnya, tentang perlantikan Menteri Besar, sistem negara persekutuan dan lain-lain. Hal ini terjadi bila berlaku perbedaan antara parti-parti pemerintah di pusat dan negari dan lebih jelas apabila merudumnya prestasi BN dalam pilihanraya. Segala perkara yang termaktub dalam perlembagaan itu baru benar-benar teruji setelah sekian lama mendiami kitab undang-undang yang juga hasil konstruksi penjajah. Bagi mereka yang sudah lama berada ditampuk kekuasaan sememangnya agak janggal apabila hilang kuasa dan ini menguji parti pemerintah samada parti junjungan mereka itu bersikap sebagaimana rupa. Ini kerana parti yang berlandaskan demokrasi syumul pasti akan terus diangkat dan disanjung.

Hari ini, negara kita masih lagi mengorak langkah kearah kematangan arena pendemokrasian dan proses ini baru sahaja bermula. Pembangkang yang berkesan di parlimen turut membantu proses kematangan ditambah juga oleh gelombang politik baru yang sedikit sebanyak memberi impak yang signifikan dalam arena ini dengan menjadi pendobrak ke arah pemikiran yang bebas dari segala anasir yang memasung minda rakyat. Dalam erti kata lainnya, ia menjana pembentukan masyarakat intelektual seterusnya dalam cubaan melenyapkan masyarakat pandir yang jumud dan rigid. Perubahan-perubahan seperti inilah yang membawa negara kearah satu proses kematangan yang sangat dituntut oleh rakyat. Keterbukaan pemerintah untuk mengizinkan rakyat berbicara soal kehidupan mereka secara kritikal akan membantu meningkatkan lagi tahap kematangan demokrasi ini. Bukan sahaja membantu arena pendemokrasian tetapi juga mampu melenyapkan amalan kepandiran dikalangan rakyat disamping menuntut rakyat bersikap kritikal terhadap pemerintah dan mewujudkan masyarakat intelektual yang hebat!

No comments: