"Jangan mencari penyelesaian apa pun dalam penulisan ini. Kamu tidak akan menemuinya. Sesungguhnya, zaman ini tidak memiliki apa-apa. Apa yang sudah diputuskan telah berakhir; revolusi yang akan datang baru hanya pada saat permulaan. Kita tidak bangun, namun hanya merosak; tidak mengisytiharkan penemuan baru, namun membuang kepalsuan yang lama." (Alexender Herzen)
Friday, December 31, 2010
2011 - Mulakan Dengan Solidariti.
Selamat Menyambut Tahun Baru 2011 buat seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat Malaysia.
Ayuh kita raikan tahun baru kita dengan menghadiri Himpunan Mahasiswa Untok Malaysia.
Tarikh: 01.01. 2011, Sabtu.
Masa: 9 pagi.
Tempat: Dataran MBPJ (Berhadapan Amcorp Mall)
Acara: Sukan Rakyat, Mengecat Banner Gergasi, Pidato Berantai.
Hadir-lah dengan semangat dan jiwa baru.
Hadir-lah sebagai tanda solidariti.
Hadir-lah untok Malaysia.
Ayuh semua turun, kita hadirkan diri!
Thursday, December 16, 2010
Melepaskan Keterikatan Universiti
Selepas pendedahan penglibatan sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Perhimpunan Agung UMNO, keadaan sudah mulai reda dan tidak ada bising-bising lagi tentang kes UKM4.
Situasi ini saya fikir mungkin atas dua sebab; Pertama, kerana universiti sendiri terlibat dengan hal keterlibatan mahasiswa di Perhimpunan Agung UMNO dan tidak mahu isu ini diperbesarkan sebagaimana kes UKM4 dan kedua kerana usul membenarkan mahasiswa menganggotai parti politik dalam Perhimpunan Agung itu diterima baik oleh sebahagian besar perwakilan yang hadir.
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilihat sudah mulai menjadi kritikan dan wacana bukan hanya wakil oposisi dan aktivis mahasiswa, tetapi juga publik. Biar tidak disebut secara langsung, namun isi dan kritikan terhadapnya pasti dibangkitkan tiap kali bercakap tentang pendidikan negara.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO, soal mahasiswa ini turut diperbincangkan.
Hal yang sama juga muncul dalam perbahasan usul semasa Kongres Parti Keadilan Rakyat yang baru selesai berlangsung.
Namun, ada satu perkara yang punya signifikans yang besar bagi saya dan tidak dibangkitkan oleh mana-mana politisi. Maka menjadi tanggungjawab untuk menolak hal ini kepada khalayak publik.
Hal yang sangat penting ini diyakini adalah agenda besar jika kita mahu adakan revolusi pendidikan di negara kita. Mungkin kerana itu belum ada politisi yang mahu bawa idea ini ke hadapan biarpun seorang politisi muda yang seharusnya peka dengan sentimen di kampus dan mahasiswa.
Dengan sedar saya menulis, biar telah diingatkan oleh teman-teman bahawa “kau akan dianggap tidak berpijak di bumi nyata”.
Perkara besar ini – idea untuk melepaskan keterikatan universiti daripada parti politik. Maksudnya, segala keputusan dalam hal-hal universiti tidak dibuat oleh parti politik biarpun secara kolektif dalam perhimpunan agung atau kongres parti.
Hal ini sudah lama dibangkitkan. Pertama kali saya lihat melalui kemarahan beberapa teman rapat tentang isu membenarkan mahasiswa berpolitik. Isu ini diperbincangkan dalam mesyuarat kabinet. Setelah gagal – Timbalan Menteri mahu ia dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.
Kemarahan timbul atas persoalan yang saya kira paling asas. Mengapa keputusan tentang hal kita (mahasiswa) ini harus dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat sebuah parti politik? Apakah universiti ini kepunyaan parti politik atau bagaimana?
Ternyata punya tangan yang mencampuri urusan mentadbir pelajar di kampus – dan ia bukan lagi “tangan ghaib”. Jelas sekali, keputusan yang bakal dibuat juga adalah keputusan politik.
Kabinet yang dipilih memutuskan–Pak Menteri yang dilantik jalankan perintah–Naib Canselor yang dilantik juga menjalankan perintah–Masharakat kampus cuma tinggal ikut perintah.
Ini adalah kegagalan besar dalam sistem pendidikan negara. Punca utama kegagalan perkembangan ilmu dan intelektualisme. Ingat, bukan hanya mahasiswa, akademia turut dikawal supaya tidak kritikal dan kreatif.
Saya ulang sebuah puisi;
Khabar-khabar telah tiba berterbangan,
Tuan-tuan terjulang dalam kemenangan,
Segala janji dalam manis kata-kata:
‘Kami diturunkan untuk membela rakyat jelata.’
Derai sorak di zaman ini,
Belum bererti menjadi pasti,
Kalau hanya pemimpin sendiri,
Sedang kami tertindas lagi.
Puisi Usman Awang ini saya kira cukup indah bagi mengungkap situasi hari ini.
Buat Menteri, Timbalan Menteri dan Naib Canselor yang berkuasa–kamu itu tak punya absah di kampus biar kamu berkuasa. Buatlah kampus ini bagai kamu yang punya. Agar nanti kamu itu bisa dipilih lagi. Biar yang lain (masharakat kampus) menjadi mangsa, agar kamu kekal kuasa.
Lebih mengecewakan–ia turut berlaku dalam Kongres Parti Keadilan Rakyat.
Entah dari mana datang sokongannya, dicadang mahu lantik mantan Timbalan Presiden sebagai Canselor di sebuah kampus. Malang sungguh mahasiswa dan bakal mahasiswa; bila orang seperti ini yang mengaku tercerah dan mahu mencerahkan semua.
Saya lihat, ini masalah dalam pemilihan parti yang akhirnya mereka terbawa-bawa. Yang mengaku tercerah dan mahu bawa pencerahan ini hampir semuanya jenis ikut-ikut.
Harusnya faham cogan kata pencerahan; Sapere aude! – Beranilah menggunakan kefahaman sendiri!
Jangan ikut-ikut nanti jiwa jadi hamba.
Tapi hal ini bukan suatu yang pelik. Yang punya kuasa itu pasti mahu pertahan kekuasaannya. Maka yang menang juga harus fikir cara untuk pertahan kemenangannya.
Saya yakin dan percaya bahawa calon yang mereka cadangkan itu punya kelayakan dan kemampuan. Tapi saya bawa permasalahan yang lebih dasar. Keterikatan universiti dan parti politik itu merosakkan. Kita tidak mahu ia dikawal selia oleh kuasa. Kerana itu kita mahu keterikatan dengan parti politik itu diputuskan. Kita bimbang parti itu berkuasa.
Mungkin hari ini kita punya calon yang berkelayakan, tapi selepas itu bagaimana? Mahu cari siapa sebagai pengganti?
Autonomi itu harus kita serah kembali kepada universiti dan masharakatnya. Kerana itu kita tolak AUKU memberikan kuasa penuh kepada menteri untuk melantik Naib Canselor. Kerana nanti ia akan punya kecenderungan untuk menjaga orang yang melantiknya.
Harusnya, universiti punya satu majlis yang terdiri daripada pentadbir, akademia, dan mahasiswa yang mewakili semua segmen di kampus. Merekalah yang selayaknya mencadangkan, memilih dan membuat keputusan bagi kampus mereka.
Tak perlulah dibincangkan dalam parti politik mahupun kabinet. Tidak perlu keputusan di kampus itu punya keterikatan lagi sama pemerintah. Biarkan ia bebas dan pencerahan di kampus akan berlaku.
Saya cukup yakin dan percaya pencerahan itu akan berlaku setelah keterikatan itu diputuskan.
Maka yakin dan beriktikadlah wahai pendokong pencerahan, bahawa kamu itu perlu membebaskan mereka (masharakat kampus) daripada mengikut pencerahan yang kamu sendiri rangkakan; yang tidak memberi mereka ruang untuk berfikir dan menggunakan kefahaman sendiri!
Bandar Baru Bangi
1 Muharram / 1432 Hijrah
*Tulisan ini turut diterbitkan di JalanTelawi.com
Thursday, September 30, 2010
Buang Prasangka - Fokus Pada Matlamat Akhir.
Perbincangan ini berkisar tentang gerakan dan aktivisme mahasiswa di Malaysia; khusus soal pergerakan, masalah dan jalan terbaik menyelesaikannya. Saya fokus tentang Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan saya berikan beberapa pandangan khusus soal masalah dan penyelesaian. Harapan agar semua berlapang dada dan berubah ke arah yang lebih baik.
Beberapa permasalahan yang saya dilihat begitu ketara ialah soal sifat plural dalam kumpulan sendiri. Maksud yang saya cuba bawakan ialah kepelbagaian aliran dan pandangan dalam satu kumpulan - SMM. Kita punya front daripada aliran Islam, yang lain-lain saya kira tidak punyai ideologi yang cukup jelas. Termasuk front yang saya pimpin sendiri.
Hal ini membawa pandangan yang berbeza-beza daripada kalangan aktivis. Malah ia turut menjadi masalah buat beberapa pimpinan yang saya fikir maseh belum capai tahap yang seharusnya sebagai seorang pimpinan. Mahu di bezakan kerana ia dilihat Islamis, atau sosialis, atau liberal, atau langsung tidak punya faham ideologi yang jelas.
Ini adalah masalah yang agak ketara dan jelas. Perbezaan yang bagi saya harus diraikan ini menjadi buruk apabila dijadikan sebab dan masalah untuk tidak boleh bekerjasama.
Kedua soal kreativiti dalam hal aktivisme. Saya fikir hal ini adalah antara yang signifikan dan harus di ambil perhatian. Bagaimana untuk menarik mahasiswa dan anak muda yang lain untuk turut menyertai dan memahami faham perjuangan kita? Pandangan saya, mereka tidak akan tertarik jika kita tidak punya cara dan gaya yang pelbagai. Justeru harus ada kreativiti.
Kreativiti ini juga akan muncul dengan meraikan kepelbagaian antara kita. Justeru bagi saya solidariti itu hal yang sangat penting. Jika setiap individu dan front itu terpencar maka kekuatan itu akan lemah berbanding kita kita bersatu dan bersolidariti.
Mudahnya segala prasangka itu harus dibuang. Kepelbagaian itu harus diraikan dan dihormat dengan penuh adab. Matlamat kita adalah memastikan kebersamaan semua dalam gerakan. Itu yang utama sebelum kita lanjutkan.
Tuesday, September 28, 2010
Terima Kaseh Atas Solidariti Semua.
Saya hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, ditemani keluarga dan teman-teman rapat. Teman-teman, mahasiswa Sains Politik tahun akhir semuanya hadir ke mahkamah untuk memberikan sokongan.
Sebaik di mahkamah, ditemuramah oleh wartawan daripada MerdekaReview.com. sambil makan tengahari. Perbincangan banyak merangkumi soal gerakan mahasiswa, permasalahan, isu dan kes yang berlaku, juga soal pengaruh lanskap politik terhadap pergerakan mahasiswa dan anak muda.
Selesai temuramah pada jam 1.30 ptg, saya terus ke Lobi Mahkamah, menyambut teman-teman yang hadir. Anggota polis juga sudah siap memenuhi segenap ruang mahkamah. Teman serumah, Sdr Izmil memberitahu, kebanyakan teman-teman yang hadir sudah menunggu di tingkat atas, hadapan bilik bicara.
Sebaik tiba di atas, saya terkejut dengan kehadiran yang sangat luar biasa. Laluan dipenuhi oleh teman-teman yang hadir. Kata sokongan dan doa agar kemenangan itu muncul tidak putus-putus dari semua sepanjang laluan ke bilik bicara.
Namun, akhirnya keputusan tidak memihak kepada saya dan 3 teman lain - King Chai, Ismail dan Azlin.
Ramai yang melihat saya kecewa. Namun, bagi saya kekecewaan itu hal biasa. Kekecewaan itu juga di tutup habis dengan semangat dan sokongan yang di tunjukkan oleh semua yang hadir.
Solidariti yang ditunjukkan semalam bagi saya adalah sesuatu yang jauh lebih berharga daripada kemenangan kes. Solidariti itu adalah petanda awal bahawa anak muda dan mahasiswa akan bangkit meneruskan perlawanan.
Jika sebelum ini, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) ini menakutkan mahasiswa. Tapi hari semalam, akta ini juga telah menyatukan anak muda dan mahasiswa untuk terus bangkit melawan.
Tiada perkara lain yang lebih menggembirakan saya selain solidariti itu.
Saya ucap jutaan terima kaseh pada seluruh teman-teman yang hadir - keluarga, teman-teman jurusan Sains Politik, aktivis mahasiswa SMM, rakan-rakan dari SAMM, para aktivis sosial, ahli akademik dan juga politisi yang hadir.
Harapan tiada yang lain melainkan harapan dan keyakinan bahawa perjuangan itu pasti terus!
Terima kaseh sekali lagi dan jumpa 7hb Oktober 2010.
Monday, September 27, 2010
KENYATAAN MEDIA | 27 September 2010
KEADILAN SENTIASA BERSAMA MAHASISWA
Setelah membuat keputusan untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya telah meletakkan seluruh pengharapan saya kepada sistem perundangan dan penghakiman negara ini. Hal ini berikutan ketidak adilan dan kezaliman yang berlaku terhadap saya dan 3 orang teman yang lain.
Justeru pada hari esok, Selasa, 28hb September 2010, pada jam 2 petang – adalah hari keputusan dan penghakiman terhadap kes kami ‘UKM 4’. Dengan pengharapan yang besar, kami berempat akan hadir ditemani keluarga dan sahabat terdekat ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan kes berkenaan. Inshaallah, kami berempat telah bersedia dan akan terus tabah menghadapi sebarang kemungkinan.
Pada pandangan saya, kes ‘UKM4’ bukan hanya isu dan pengalaman ketidak adilan yang berlaku terhadap kami berempat, tetapi juga kes yang melibatkan seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia.
Kes ‘UKM4’ juga bukanlah sekadar kes untuk mahasiswa menuntut hak dan kebebasan berpolitik, tetapi kes ini adalah perjuangan seluruh anak muda dan mahasiswa bagi mendapatkan hak dan kebebasan untuk berakademik, hak dan kebebasan untuk bergerak, hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan, juga hak untuk berpolitik.
Hal ini jugalah yang berlaku kepada kami berempat –mahasiswa Sains Politik, yang dilarang turun ke lapangan pilihan raya, untuk mendapatkan ilmu yang praktik tentang politik. Juga dibataskan pergerakan kami dengan tidak boleh berada di kawasan pilihan raya atas sebab kami adalah mahasiswa.
Seluruh hak dan kebebasan ini telah dirampas oleh institusi yang dinamakan universiti. Hal ini jugalah yang dilihat oleh para mahasiswa, ahli akademik dan rakyat Malaysia sebagai perkara yang membantutkan pencapaian dan prestasi mahasiswa yang seharusnya lebih baik. Oleh yang sedemikian, saya menyeru seluruh anak muda dan mahasiswa, atas nama ‘student unity’ untuk terus berjuang mempertahankan hak dan kebebasan kita yang sepatutnya.
Saya dengan yakin dan percaya bahawa keadilan sentiasa bersama mahasiswa.
Terima kasih,
Hilman Idham,
Presiden,
Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).
Kenyataan Media - 21 September 2010.
KENYATAAN MEDIA | 21 September 2010
TAHUN 2010 – TAHUN KEBANGKITAN MAHASISWA
Sepanjang tahun 2010, kita telah melihat pelbagai peristiwa yang melibatkan mahasiswa telah berlaku. Daripada kes Pilihan Raya Kampus sehinggalah kes mahasiswa yang berprofil tinggi seperti kes UKM 4. Kebanyakannya melibatkan perlawanan antara mahasiswa dan pentadbiran universiti serta pemerintah.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memandang serius terhadap semua kes yang berlaku sepanjang tahun ini termasuklah 2 kes mahasiswa berprofil tinggi – ‘Rosmah Puaka’ dan ‘UKM 4’. Hal ini menuntut sehingga kes ini dibawa ke mahkamah.
Justeru, SMM ingin mengingatkan seluruh mahasiswa dan anak muda Malaysia, kes ‘Rosmah Puaka’ keputusan kes ‘primafacie’ akan dibuat pada 24hb September ini. Bagi kes ‘UKM 4’ pula, keputusan dan pengadilan oleh hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan dibuat pada 28hb September 2010. Solidariti Mahasiswa Malaysia menyeru seluruh mahasiswa, anak muda serta rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan semangat kepada kedua kes ini.
Kedua kes ini adalah pemangkin kepada kebangkitan seluruh mahasiswa di Malaysia. Kes ‘Rosmah Puaka’ dan ‘Kes UKM4’ adalah kes yang melibatkan penindasan dan kezaliman terhadap mahasiswa. Atas nama ‘Student Unity’, SMM mengesa seluruh mahasiswa bersatu, biar daripada pelbagai latar dan fahaman agar menuntut keadilan buat mahasiswa.
Oleh yang sedemikian, SMM akan melakukan mobilasi mahasiswa, untuk berkumpul di Mahkamah untuk mendengar keputusan bagi kedua kes ini. Kita juga menyeru agar seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat Malaysia hadir untuk menyatakan sokongan mereka.
Terima kasih,
Hilman Idham,
Ahli Majlis Pimpinan,
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Zaman Gelap Universiti - Dihukum kerana Menuntut Ilmu.
Tulisan ini saya buat mereka yang akan hadir perbicaraan dan keputusan kes UKM 4 pada Isnin ini.
Selesai sertai Pertandingan Pidato anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor di Auditorium MPAJ. Saya bawakan tema “Pencerahan” (Enlightenment) idea tokoh falsafah Jerman, Immanuel Kant. Tajuknya Pembodohan dan Pencerahan.
Dalam orasi kali ini saya bawakan pengalaman sepanjang tiga tahun di kampus – dari Julai 2008 hingga hari ini.
Isnin ini, tanggal 2 haribulan Ogos, saya dan tiga orang teman sekuliah ? Woon King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar sebutan kes dan kemungkinan besar keputusan akan di umumkan terus oleh Yang Arif hakim.
Juga saya bawakan situasi dan keadaan zaman gelap kampus universiti di negara kita. Bagi saya ini suatu petanda buruk yang bakal meranapkan masa depan negara.
Ketika saya tahun satu, dengan harapan dan kesungguhan mendaftar ke kampus. Apa yang saya cita-citakan adalah ke kampus untuk hadir kuliah, untuk turut aktif berpersatuan, untuk sertai diskusi-diskusi mingguan, dan untuk belajar dikritik dan mengkritik.
Namun, saya tidak pernah puas dan selesa dengan keadaan kampus yang kuliahnya kosong dan retorik, anak mahasiswa yang aktif itu digelar pengganas, diskusi-diskusi mingguan itu hampir tiada, segala kehidupan direncanakan dan pensyarah itu alah sekali bila dikritik.
Bagi saya, inilah zaman gelap universiti.
Dalam orasi itu saya sebutkan bahawa jawapan kepada kegelapan dan pembodohan itu adalah pencerahan.
Pencerahan yang mana asasnya harus membebaskan. Bermula dengan pembebasan akal fikiran – yang mana dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai perkara yang paling tidak memudaratkan.
Maka pencerahan di kampus itu harus bermula dengan membebaskan pemikiran mahasiswa daripada proses pembodohan. Undang-undang dan peraturan zalim yang membentuk budaya selesa dalam ketidakmatangan – pembodohan itu harus terus dimansuh.
Isnin ini bakal jadi sejarah. Sama ada pertuduhan terhadap saya itu gugur atau akan balik semula untuk dibicarakan di Mahkamah Universiti.
Sebulan yang lalu, saya digantung daripada jawatan Yang Di Pertua kelab Sains Politik. Minggu lepas, sudah timbul isu bahawa Kelab Sains Politik yang saya asaskan itu dibubarkan.
Apa yang berlaku adalah seakan suatu bentuk hukuman ke atas saya.
Saya dihukum oleh universiti kerana saya aktif berpersatuan dan memegang jawatan Yang Di Pertua. Saya di hukum kerana mencari ilmu politik yang praktik di lapangan pilihan raya. Kelab Sains Politik dihukum dan dibubarkan kerana saya adalah Yang Di Pertua dan saya adalah pengasasnya.
Namun, jawapan yang mereka berikan adalah; saya dihukum kerana saya terlibat dengan kempen politik, dan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Tidak pula salah bagi segolongan pensyarah di kampus saya yang turut menyertai parti politik dan berpolitik secara terang-terangan walaupun golongan pensyarah ini turut termasuk dalam AUKU.
Saya tidak katakan salah untuk pensyarah atau pentadbir ini juga turut menyertai parti politik. Malah saya turut menyokong penyertaan mereka.
Lihat saja baru-baru ini, timbul suara pembaharu daripada beberapa pimpinan dalam parti pemerintah yang mahukan penyertaan guru, mahasiswa, dan pensyarah dalam politik kepartian itu dibenarkan.
Idea ini harus dilaksana segera supaya ia membebaskan anak muda, mahasiswa, guru dan pensyarah daripada belenggu pembodohan hegemoni sesetengah pihak.
Terdapat juga anak mahasiswa yang lantang memperjuangkan agar jangan dibenarkan penyertaan politik ini berlaku seperti perjuangan sebuah kumpulan yang dinamakan “Kaukus Siswa Melayu UKM” – kumpulan yang dilihat pro-pentadbiran universiti. Mereka yang seakan sudah selesa dengan keadaan kampus sekarang.
Maka merekalah seperti yang dikatakan oleh Immanuel Kant sebagai golongan yang selesa dengan ketidakmatangan – pembodohan yang berlaku. Oleh kerana itulah mereka tidak mahu bebas dan berjuang mempertahankannya.
Untuk saya, tidak ada yang lebih penting bagi menyelesaikan zaman gelap universiti ini melainkan percerahan yang bermula dengan pembebasan akal fikiran yang rasional.
Masharakat kampus ini harus dibiarkan bebas menggunakan akal fikiran sendiri. Mereka harus dibiarkan bebas merencana masa depan sendiri. Mereka juga perlu bebas untuk membuat pilihan.
Kebebasan inilah yang akan membuatkan mereka berani menggunakan kefahaman sendiri dan inilah tindakan yang bakal membawa pencerahan.
Maka beranilah anak muda, masharakat kampus dan mahasiswa untuk menggunakan kefahaman sendiri – Sapere Aude!