Masa menyusun pergerakan di peringkat kampus sudah berakhir. Maka perlu juga penyusunan semula di peringkat nasional. Setuju atau tidak, gerakan mahasiswa hari ini harus berbeza dari yang lepas.
Atas tujuan itulah kita adakan Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010. Kongres ini bukanlah sekadar publisiti untuk menarik perhatian media supaya memberi tumpuan kepada perjuangan mahasiswa.Kongres ini punya satu matlamat yang lebih utama untuk mendapat kesepakatan yang besar dan belum pernah dilakukan di negara Malaysia. Tujuannya juga untuk menjawab segala kekeliruan masyarakat tentang apa dan bagaimana gerakan mahasiswa di Malaysia ini bergerak.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) – wadah perjuangan mahasiswa yang terbesar di negara ini. SMM sebagai sebuah front koalasi mahasiswa hasil penyertaan lima kumpulan/front mahasiswa; GAMIS, PKPIM, KAMI, DEMA dan KARISMA.Kumpulan yang tidak punyai ikatan peraturan yang mengawal setiap front yang turut serta dalam koalasi. Namun, SMM punyai lima nilai atau prinsip asas perjuangan yang telah dipersetujui bersama oleh semua front. Maka, setiap front harus taat atas prinsip yang telah dipersetujui bersama ini.
Kesepakatan dan kebersamaan setiap front dalam SMM adalah matlamat nombor wahid bagi kongres ini. Juga perlu difikirkan, bagaimana untuk memupuk kebersamaan itu hingga ke peringkat kampus. Keperluan untuk memantapkan koalasi di kampus atas nama Pro-Mahasiswa itu sudah jadi wajib. Kita harus perbetulkan kesilapan mahasiswa sekitar reformasi 98. Reformasi 1998 menyatukan seluruh mahasiswa hanya di peringkat nasional namun sebaliknya tidak di peringkat kampus.
Kita mempunyai kepentingan untuk lebih mantap di peringkat kampus kerana soal hak dan keperluan mahasiswa itu lebih banyak berlingkar di kampus berbanding di peringkat nasional. Tapi itu bukan bermakna kita harus terus tinggalkan perjuangan di peringkat nasional. Maka, kongres ini sebagai bukti bahawa kita punya semangat dan seribu jalan untuk bersatu dan bersama atas nama mahasiswa dalam lingkungan kampus dan juga di tingkat nasional.
Kongres ini menjayakan tiga acara penting. Pertama, ruang penerangan dan perbincangan untuk memantapkan SMM. Sesi ini adalah yang terawal dan mengambil masa yang paling lama. Tidak mudah kerana perlukan perbahasan yang panjang untuk merencana dan menyusun semula perjuangan di nasional. Masa yang panjang itu untuk pastikan semua front bersama.
Kedua, ialah perbincangan dan rencana untuk setiap kampus. Ruang ini buat Pro-Mahasiswa, badan yang dibentuk di bawah SMM untuk setiap kampus. Rencana dan pergerakan mereka ini punyai signifikans yang besar sekali. Kumpulan ini yang harus bergerak secara lebih progresif di kampus. Ini kerana tanggungjawab mereka besar untuk terus menjalankan program, aktiviti dan bertemu terus dengan mahasiswa di kampus.
Ruang ketiga adalah buat Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Kumpulan ini baru masuk penggal ke 2 penubuhannya. MPMN adalah ruang buat semua perwakilan mahasiswa yang menang pilihanraya di kampus masing-masing bersatu, merencana, dan membumikan setiap agenda mahasiswa di kampus mereka.
Perwakilan-perwakilan telah berbincang, bagaimana harus mereka merealisasikan segala idea dan prinsip yang dibawa oleh perjuangan mahasiswa di setiap kampus. Menjayakan kongres ini bukan hanya satu tanggungjawab, tetapi ia amanah untuk memastikan kebangkitan semula mahasiswa itu berlaku. Sebagai titik mula yang bakal menggerakkan lebih ramai anak muda dan mahasiswa. Mungkin gerakan itu hanya akan bangkit dalam masa 10 atau 15 tahun ke hadapan. Namun, 2010 ini harus jadi titik mulanya. Begitu besar harapan untuk bangkit, dan sebesar itu juga musibah yang hadir. Sehari sebelum kongres, program seakan hampir kandas!
Jumaat-19/03/2010, pengurusan Dewan Centrum menolak untuk diadakan kongres pada keesokannya. Sebab utama kerana telah dipanggil dan diberi taklimat oleh pihak ‘keselamatan’ bahawa anak mahasiswa tidak dibenarkan menjalankan apa-apa acara sekalipun. Jika mahu, harus punyai permit polis dan batalkan Izzah sebagai perasmi.
Namun dengan janji perjuangan itu pasti terus, acara berpindah ke Petaling Jaya. Dewan Banquet MBPJ langsung disiapkan biarpun tanpa kerusi empuk buat mahasiswa. Sekitar jam 8 malam – notis larangan untuk mahasiswa hadir telah dikeluarkan pihak HEP Universiti Malaya (UM). UM memang kebiasaannya akan mendahului dalam usaha-usaha bodoh sebegini. Tapi ada juga baiknya.
Kebiasaan seperti itu membuatkan mahasiswa mereka lebih berani dan tidak punya kerisauan. Mereka pasti akan hadir. Malah kerisauan itu lenyap bila mendapat khabar ketibaan teman-teman dari Sabah dan Sarawak. Teman-teman dari Utara, Selatan dan Pantai Timur juga berutus sms memberi khabar bahawa mereka sudah dalam perjalanan.
Sabtu- 20/03/2010, Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional bermula seawal 9.30 pagi. Atas semangat solidariti juga, teman-teman dari Patani, Singapura dan Indonesia hadir. Semangat tinggi teman-teman yang hadir telah melenyapkan segala rasa tidak senang kerana bimbang ada gangguan. Lebih bermakna, kongres ini adalah kongres pertama gerakan mahasiswa Malaysia biar seluruh peserta duduk di lantai!
Sekitar tengahari – Hati mulai risau kembali. Notis larangan keluar lagi. Dan kali ini di kampus UKM, UPM, USIM dan lain-lain. Yang pastinya kampus ini mahasiswanya jarang digertak. Gertakan itu ternyata berjaya apabila hampir 50 orang pulang kerana bimbangkan hukuman.
Namun ia tidak beri sebarang masalah. Masih ada hampir 500 orang aktivis yang berani dan setia. Kongres berlangsung terus! Aktivis yang tinggal terus berkongres hingga resolusi. Kemudian kongres di tutup dengan penuh semangat menyanyikan lagu perjuangan.
Sekitar jam 6- Kongres selesai. Yang lebih penting adalah matlamat dan objektifnya tercapai. Rencana juga tuntas. Mahasiswa Malaysia juga telah bersatu dengan sebuah solidariti yang lebih kemas. Harapannya pergerakan selepas ini lebih progresif dan menggugat. Karena semua rencana sudah tersusun, kini hanya tinggal untuk mahasiswa bergerak ke hadapan.
No comments:
Post a Comment